RAMADHAN BULAN TARBIAH..

August 25, 2009

SIRI ARTIKEL RAMADHAN

RAMADHAN BULAN TARBIAH

OLEH:RUZAIN SYUKUR B MANSOR

(B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM,

KPLI j-QAF IPTEKNIK

http://www.akademipenulisbebas.wordpress.com

Bulan ramadhan yang dinanti kini muncul buat Ummat Muhammad SAW yang inginkan seribu keberkatan dan keampunan dariNYA.Allah berfirman di dalam Al-Qur’an berbunyi:

 ”Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” Surah Al-Baqarah:Ayat 183

Maka jelas kepada kita suatu perintah yang perlu dipatuhi yang pastinya mempunyai seribu satu rahsia khusus untuk Muslim yang beriman iaitu perintah berpuasa.Bulan Ramadhan yang pastinya menjadi medan tarbiah diri merangkap penguat iman dan jatidiri.

Kehadiran bulan ini sepatutnya menjadi suatu medan untuk menguji tahap keimanan dari segenap sudut dan aspek. Sifat mahmudah seperti kesabaran, ketaqwaan, rasa syukur, kesederhanaan dan lain-lain lagi akan terus disuburkan berkat dari amalan ibadah di bulan yang berkat ini.

Cubalah kita renungkan kekuatan iman para sahabat dan pejuang Islam yang berjuang memartabatkan Islam berperang di dalam peperangan Badar yang berlaku di Bulan Ramadhan.Walaupun dengan kekuatan tentera yang minimum tetapi dapat mengalahkan sejumlah bala tentera yang besar jumlahnya.Pastinya kekuatan rohani dan kekentalan iman menjangkaui kekuatan fizikal para syuhada’ tersebut.

Namun kita di zaman ini hanya berperang dengan nafsu lapar dan dahaga serta godaan dunia semata-mata.Tetapi ianya masih memerlukan pengorbanan dan jihad yang tidak kurang hebatnya.Berapa ramai diantara kita yang mengorbankan keimanannya dengan melanggar perintah puasa semata-mata tidak tahan dengan godaan nafsu makan dan minum.Sedangkan di dalam keadaan puasa yang menuntut kita berlapar dan dahaga itu merupakan tarbiah menundukkan nafsu yang sentiasa terdorong kepada keseronokan.Dengan berlapar itulah kita dapat menyedarkan hati-hati ini bahawa kita terlalu mewah dengan segalanya sedangkan kelaparan itulah menjadi mainan masyarakat Muslim di negara bergolak seperti di Iraq, Afghanistan dan sebagainya.

Puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dapat mendidik hati dan nurani dapat menghapuskan sifat mazmumah yang sekian lama bertapak di sanubari kita.Sifat sabar yang amat dituntut dari mengatakan sesuatu yang keji walaupun ditohmah akan menjadikan diri kita ini dihormati lawan dan rakan.Sabar dan tidak bertindak balas walaupun dicerca menjadikan jiwa semakin kental dengan roh keimanan.Manakala sabar di saat berhadapan dengan musibah dapat menyediakan diri kita untuk menjadi mu’min soleh.

Allah berfirman di dalam Al-Qur’an:

”(yaitu) orang-orang yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, orang-orang yang sabar terhadap apa yang menimpa mereka, orang-orang yang mendirikan sembahyang dan orang-orang yang menafkahkan sebagian dari apa yang telah Kami rezkikan kepada mereka.”

Surah Al-Haj :ayat 35

Ternyata sifat sabar itu mempunyai kaitannya dengan jalan untuk mendapat keberkatan Allah. Diharapkan juga kehadiran Ramadhan ini disamping ibadah puasa yang di lakukan dapat menghapuskan sifat mazmumah yang lain tamak haloba, suka membazir, suka melengah-lengahkan masa, tidak bersyukur , sika mengadu domba serta mengumpat saudara yang lain. Selain itu, tarbiah Ramadhan akan semakin menyuburkan rasa mahabbah dan kecintaan kepada saudara seagama yang lain.

Inilah Bulan yang akan lebih membibitkan rasa sayang dan keperihatinan kepada warga yang hidupnya di dalam kekurangan seperti anak yatim dan golongan miskin.Maka bagi yang senang pastilah melonjakkan rasa ingin turut berkongsi sedikit kebahagiaan dengan yang kurang bernasib baik.

Amalan memberi juadah berbuka , bertukar juadah sesama jiran di samping banyak menghulurkan sedekah kepada yang memerlukan dapat menguatkan roh persaudaraan di samping dapat menyuci dosa lalu .Apatah lagi ibadah zakat fitrah yang diberikan kepada yang berhak akan menimbulkan keinsafan dan dapat membantu insan yang memerlukan.Ini sesuai dengan maksud zakat iaitu membersihkan mereka dari kekikiran dan cinta yang berlebih-lebihan kepada harta benda.

Apatah lagi Allah sudah mengingatkan kita dengan FirmanNYA berbunyi:

”Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

 Surah At-Taubah :Ayat 103

Moga dengan keberkatan di bulan Ramadhan ini akan membuahkan rasa kehambaan yang tinggi dengan niat untuk mengubah tabiat yang kurang baik kepada yang memberi manfaat kepada semua.Moga Ramadhan yang hadirnya penuh berkat ini akan dijadikan medan latihan juga tarbiah diri dalam mengharapkan keampunan Allah.

 

* Ruzain Syukur B Mansor merupakan graduan Pengajian Ilmu Wahyu , UIAM dan terlibat sebagai aktivis dakwah remaja dan belia , kini bertugas sebagai Guru Siswazah Pendidikan Islam di Tanjung Karang Selangor Sebarang perkongsian dan maklumbalas boleh dihantar ke ruzainsyukur_mansor@yahoo.com atau layari blog peribadi di https://akademipenulisbebas.wordpress.com


Lambat dan cepatnya penulis melaporkan berita..

August 24, 2009

Assalamualaikum..

Saudara-saudari  sidang penulis;

Jangan jadi macam saya, melaporkan peristiwa yang telah berlaku tiga hari yang lalu.Hari Sabtu lalu saya berkesempatan untuk mengikuti Bengkel Menghasilkan Karya yang Sedap Dibaca..evergreen gitu..bimbingan sifu PTS Puan Ainon.

Lambat kali ini..menjadi golongan mutaakhirin pula.Hasilnya, hanya mendengar daripada luar pintu bilik kuliah, kerana ternyata bengkel tersebut padat dengan pendengar dan penulis setia dan tegar dengan Puan Ainon.Walaupun diadakan dalam Bulan Ramadhan.

Saudara SahrulAzmi , penulis buku Syoknya Ramadhan lebih khusyu’ di barisan hadapan.Hebatnya syeikh kita itu, menulis katanya tanpa pernah mengikuti sebarang bengkel.Semuanya ‘mazhab’ penulisan tersendiri.Memang berbakat orangnya.Tujuh buah buku sudah dihasilkan.

Puan Ainon dalam bengkelnya menerapkan beberapa tips menghasilkan karya evergreen yang sentiasa dibaca beberapa keturunan.Bakal pula di tatap datuk dan cucu.Ada kebenarannya.Buku untuk di tatap dan di baca.Bagi penerbit pastinya sudah bermodalkan beribu-ribu ringgit dilaburkan untuk mencetak dan promosi.Masakan buku tersebut hanya duduk di stor setahun dua dan hilang dari pasaran setelah habis tempoh panasnya.

Saya belajar pelbagai perkara.Karya evergreen yang ingin dihasilkan harus ada nilai komersil  nilai murni  yang berjalan serentak.Perkara indah dan jangan terlalu dicampuraduk dengan kematian, perpisahan dan peperangan.Timbulkan keseronokan dan sedikit unsur ‘suspen’ di dalam hati pembaca.Itupun setelah mengambil kira unsur kepelbagaian watak yang di disulami peristiwa yang berlaku di banyak tempat dan lokasi yang indah.Barulah menarik kata Puan Ainon lagi.

Manakala gaya bahasa santai dan tidak membosankan pasti menarik pembaca untuk meneruskan pembacaan.Walaupun menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dalam penulisan dialog.Fungsi sastera katanya lagi bukan untuk terus meraikan perkara buruk.Betul dan saya bersetuju.Siapa lagi yang diharapkan untuk terus mempertahankan dan memperjuangkan sastera kalau tidak penulis sendiri.Fikir-fikirkan.

Mengikuti bengkel penulisan sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan.Sesi pasca bengkel lebih menyeronokkan.Bertemu rakan-rakan penulis seperti Tuan Zamri Mohammad yang kini akan mengembangkan sayapnya di Lembah Kelang.Akan lebih aktif menulis.Beliau contoh penulis yang menjadikan bidang penulisan ini sebagai kerjaya yang berjaya.

Penulisan memerlukan semangat dan motivasi tinggi.Itulah sebabnya penulis-penulis yang sudah mahir dengan penulisan pun rajin hadir di majlis sebegitu.Selain daripada mengutip mutiara ilmu malah dapat pula bertemu rakan-rakan penulis yang lain.

Ilmu, pembacaan itu bagaikan sahabat yang paling rapat dengan penulis.Prasyarat yang utama untuk menjadi penulis.

Ruzain Syukur Mansor

www.akademipenulisbebas.wordpress.com

 

 


KERJAYA SEBAGAI GURU j-QAF

August 22, 2009

Assalamualaikum..

Pada awal kewujudan Blog akademipenulisbebas ini, saya hanya bercadang untuk memuatkan suka duka dan pengalaman hidup sebagai penulis bebas.Ketika itu saya sudah pun bergelar seorang guru.Namun ada satu entry saya yang berkenaan dengan cabaran dan usaha mempertabatkan profesion perguruan yang sentiasa di baca oleh rakan-rakan guru.Ada yang menjadikannya sebagai rujukan untuk tugasan maktab dan sebagainya.Saya terharu.Menyedari tentang para pelawat blog ini yang kebanyakannya daripada kalangan rakan-rakan guru, isu-isu pendidikan juga turut saya kupas.

Saya teringat ketika dihubungi oleh editor Majalah Millenia Muslim, Encik Zul, yang ingin saya menulis berkenaan beberapa isu pendidikan.Contohnya isu penggabungan j-QAF dan KAFA.Malah, hubungan baik saya dengan editor tersebut memberikan saya peluang untuk berkarya di Majalah Millenia Muslim kendalian Encik Zul.Terbaru artikel Berdakwah di Sekolah yang disiarkan pada keluaran Ogos Millenia Muslim.Sebelum itu, pernah juga dimuatkan artikel saya menyentuh bagaimana program j-QAF dapat membangun modal insan.

Malah, beberapa rakan guru j-QAF yang turut sama memasukkan link (pautan) blog saya ini di dalam blog mereka.Antaranya:

http://j-qafsktelokmenegon.blogspot.com/ (Ustaz Hamidi & ustazah Saliza)

http://mendidik.blogspot.com/ (Ustaz Nazri )

http://lankemahang.blogspot  (Ustaz Roslan-Lan Kemahang)

Saya terharu dengan penerimaan kalian.Merujuk kepada blog stat pengunjung kini, ramai juga pengunjung yang bertamu setelah klik pautan melalui blog-blog hebat diatas.Syukran kerana sudi berkongsi info.Walaupun Lan di Sarawak, Ustaz Hamidi yang hanya bertemu ketika kursus pemantapan, Ustaz Nazri hanya saya kenal di alam maya.Tetapi penulisan menemukan kita.Semoga usaha kalian berdakwah melalui media akan diberkati Allah.

Justeru, bagi menghargai jasa guru-guru j-QAF, malah memberikan pendedahan kepada umum tentang kerjaya sebagai guru j-QAF, berikut saya muatkan artikel berkenaan perkara tersebut.Sila berikan komen kalian untuk kebaikan bersama.

P4102107

KERJAYA SEBAGAI GURU J-QAF

OLEH :

RUZAIN SYUKUR B MANSOR

B.A. (HONS) Pengajian Ilmu Wahyu UIAM

Guru j-QAF SK Sawah Sempadan Tanjung Karang

 

Sepuluh tahun dahulu kita tidak pernah terfikir tentang suatu sistem pembelajaran j-QAF yang kini meniti di bibir ibu-bapa, para pentadbir, guru-guru serta ahli masyarakat.Namun andai situasi semasa dijadikan sebagai bahan analisis, kita melihat bagaimana ibu-bapa mula mencarikan anak-anak mereka buku-buku berkenaan dengan j-QAF, malah ada yang sibuk mencari guru-guru tuisyen yang boleh mengajar anak-anaknya dirumah khusus sebagai sesi tambahan untuk permata hati mereka menguasai apa yang dipelajarai melalui program j-QAF.

 Begitulah sedikit sebanyak impak pelaksanaan program j-QAF di Malaysia.Ianya mencetuskan kesedaran di kalangan masyarakat tentang keperluan untuk memperkayakan anak-anak mereka tentang ilmu-ilmu Al-Qur’an ,jawi bahasa arab dan fardhu ain.

 

Namun begitu tentu ada yang tertanya-tanya perihal dan keadaan kehidupan guru-guru j-QAF, malah mahasiswa Pengajian Islam di tahun akhir sudah mula sibuk mencari informasi tentang keperluan dan keadaan sebenar individu yang bergelar guru j-QAF.Penulisan ini akan cuba menyingkap tentang siapakah guru j-QAF dari segi kelayakan, bidang tugas , amanah , serta peluang peningkatan diri mereka.

Kelayakan

Graduan yang sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda pengajian Islam atau Bahasa Arab daripada universiti tempatan dan luar negara layak untuk memohon jawatan guru j-QAF.Graduan Pengajian Islam daripada universiti luar negara harus memiliki surat pengesahan ijazah daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) .

 Temuduga

Proses temuduga mengikut sistem sedia ada, calon akan dinilai melalui ujian bertulis bagi menilai sahsiah dan peribadi.Andainya melepasi tapisan ini,  calon akan diuji untuk temuduga kali kedua secara perbincangan berkumpulan mengenai isu-isu semasa, ujian bertulis mengenai esei bahasa arab serta temuduga secara berhadapan dengan panel penemuduga Kementerian Pelajaran  Malaysia.Sewaktu temuduga inilah kemampuan akademik , keagamaan, kebolehan berbahasa arab serta sahsiah calon akan dinilai .

Latihan

Latihan bagi pelatih j-QAF akan dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru melalui Institut Pendidikan Guru selama lapan belas bulan secara Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Latihan Perguruan Berasaskan sekolah (KPLI LPBS j-QAF ) .Mereka akan ditempatkan terus di sekolah-sekolah dan menghadiri kursus ketika cuti sekolah berlangsung.

Sifat yang perlu ada pada seorang guru j-QAF

  1. Sukakan kanak-kanak

Sifat terpenting yang perlu ada di dalam sanubari guru-guru j-QAF ialah suka kepada kanak-kanak.Ini kerana mereka akan ditempatkan untuk mengajar murid-murid tahun satu hingga enam dan tidak dapat lari dari tugas mengasuh dan membimbing anak-anak kecil yang begitu membara keinginan untuk menimba ilmunya. Golongan ini agak aktif sesuai dengan perkembangan dirinya

  1. Penyabar

Sesuatu yang amat penting guru j-QAF perlu memiliki sifat sabar yang tinggi.Ini kerana mereka akan berhadapan dengan seribu satu kerenah kanak-kanak yang pelbagai personaliti dan pembawakan.Ada yang digelar ’hyper aktif’, sedikit nakal, pendiam, degil, pemalu tidak kurang juga yang mempunyai masalah pembelajaran.Namun sebagai kanak-kanak usia sedemikian, adalah normal mereka memiliki peribadi tersebut , Cuma terserahlah kepada guru-guru tersebut untuk membentuk peribadi mereka sehingga menjadi anak-anak soleh dan soleh

2.Perihatin

Setiap anak-anak di peringkat sekolah rendah terutamanya di tahun satu dan dua akan menunjukkan perubahan tingkah laku berdasarkan emosi dan persekitaran yang berbeza.Sebagai seorang guru j-QAF mereka harus cepat memahami dan mengesan serta perihatin terhadap sebarang perubahan yang berlaku ke atas emosi dan tingkah laku anak murid untuk tindakan yang sepatutnya.

3.Kreatif dan berinovasi

Perubahan keadaan persekitaran di mana anak-anak terdedah dengan keadaan yang pelbagai memerlukan guru j-QAF yang kreatif dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran.Penggunaan bahan dan kaedah pengajaran yang sama akan menyebabkan kanak-kanak akan berasa cepat bosan dan akhirnya tidak berminat untuk belajar.Gunakan kreativiti anda menggunakan pelbagai sumber dan kaedah seperti teknologi maklumat, internet, akhbar di dalam darjah untuk melaksanakan pengajaran yang menyeronokkan.

4.Bijak  menarik minat

Guru j-QAF harus memahami keperluan dan psikologi kanak-kanak untuk menjadi guru yang cemerlang.  Mereka harus memahami bahawa kanak-kanak suka kepada nyanyian, warna-warni, bunyi serta sumber yang pelbagai.Oleh itu guru j-QAF harus menerapkan unsur-unsur ini supaya pengajaran yang dirancang berjalan seiring dengan keperluan kanak-kanak yang memerlukan rangsangan deria.

 Bidang Tugas dan Tanggungjawab Guru j-QAF

 Kurikulum

Guru j-QAF harus melaksanakan sepenuhnya model-model P&P j-QAF iaitu Model Pemulihan Jawi, Enam Bulan Khatam Al-Qur’an, Tasmi’ Al-Qur’an, Bahasa Arab Komunikasi dan model fardhu ain seperti Kem Bestari Solat.Selain  itu mereka perlu menjalankan sesi pengajaran Al-Qur’an , jawi dan Ulum Syariyyah bagi membantu guru-guru Pendidikan Islam sedia ada.

 

Tanggungjawab lain

Memandangkan guru-guru j-QAF merupakan sebahagian daripada warga akademik sekolah, maka mereka perlu melaksanakan tugas-tugas kokurikulum seperti menjadi pembantu pembimbing kelab dan persatuan atau kelab beruniform, melatih peserta-peserta pertandingan nasyid, tilawah Al-Qur’an dan hafazan bagi menyertai pertandingan yang di anjurkan oleh pihak Pejabat  Pelajaran Daerah dan sebagainya.

Bersama masyarakat

Guru j-QAF harus terlibat dengan program-program kemasyarakatan sebagai sumbangan kepada masyarakat.Guru j-QAF yang baik adalah mereka yang sentiasa dekat dengan program keilmuan di masjid-masjid dan surau serta aktif di dalam program ramah mesra bersama komuniti setempat

Peluang Peningkatan kerjaya

Setelah mendapat pengesahan jawatan , guru j-QAF atau jawatan hakikinya iaitu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) akan mendapat ruang peningkatan kerjaya sama seperti PPPS yang lain.Namun demikkian ianya perlu melepasi syarat ikhtisas yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

 Di bidang Perkhidmatan Perguruan , mereka ini berpeluang untuk menjadi pensyarah institut pendidikan guru setelah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan.

Di bidang pentadbiran pendidikan , kini wujud beberapa jawatan yang dilihat menguruskan pentadbiran dan hal ehwal program dan guru j-QAF seperti Penolong Pengarah j-QAF di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya di Sektor Pendidikan Islam dan Moral.Jawatan seperti di atas sebenarnya mungkin membuka peluang guru-guru j-QAF untuk mengembangkan kerjaya di peringkat pentadbiran pendidikan suatu hari nanti, namun ianya bergantung kepada keperluan dan keadaan.

 Yang lebih penting adalah tanggung jawab sebagai guru sendiri di sekolah mempunyai peluang pengembangan kerjaya di mana kini sudah wujud jawatan guru cemerlang dan pengetua cemerlang bagi insan pendidik yang menunjukkan kebolehan dan prestasi yang membanggakan.Penghargaan seperti ini membuktikan bahawa kerjaya sebagai guru ini bukan lagi dilihat sebagai kerjaya kelas kedua.Malahan , kita melihat ribuan permohonan dihantar kepada pihak Kementerian Pelajaran bagi mengisi kekosongan jawatan guru-guru berijazah melalui kursus Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang ditawarkan setiap tahun.

 Namun demikian, tanyalah kepada guru-guru j-QAF yang sudah menjawat jawatan ini, mereka mengakui bahawa tugas dan amanah ini merupakan suatu tanggungjawab yang begitu besar  nilainya iaitu untuk melahirkan insan yang benar-benar memahami dan mengamalkan ilmu-ilmu Islam serta kental imannya buat menghadapi pancaroba duniawi yang tidak terkira hebatnya terutama bagi anak-anak muda masakini.andai kerjaya ini lah yang dipilih berjanjilah kepada diri sendiri untuk sama –sama menaikkan martabat Islam melalui pendidikan dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk melahirkan modal insan yang beriman, bertaqwa dan beramal.

 

Pastikan….j-QAF tanpa gagal , Tanpa j-QAF gagal….

 

* Ruzain Syukur B Mansor merupakan graduan Pengajian Ilmu Wahyu , UIAM dan kini bertugas sebagai Guru j-QAF di SK Sawah Sempadan Tg karang

Sebarang perkongsian boleh dihantar ke  ruzainsyukur_mansor@yahoo.com atau layari blog     www.akademipenulisbebas.wordpress.com

 


Tugas asasi jangan dilupa..

August 22, 2009

Assalamualaikum..

Ada komen yang menyentuh hati saya baru-baru ini.Ucapan tahniah yang di post oleh Sahabat lama dalam blog ini, Ustaz Roslan atau lebih glamour dengan nama sibernya “Lan Kemahang”

“Teruskan menulis sebagai wadah untuk kembangkan dakwah. Harap anta terus istiqomah dgn bidang ini. Apapun core-business (guru j-qaf) harus di utamakan..”-Lan Kemahang.

Terima kasih Lan.Bunyinya ringkas tetapi memberi kesan.Begitulah sentuhan seorang penulis.Tulisannya mampu menyentuh hati.Saya akui kebenarannya.Menjadi penulis separuh masa amat memerlukan kepintaran di dalam mengurus masa.Apatah lagi tugas sebagai seorang guru yang nyata amat berkait rapat dengan pengurusan masa.Siang membawa ke malam.Tidak selesai di sekolah, kerja di bawa ke rumah.Itu tugas guru.Bila masanya ingin menulis?

Dua bulan terakhir ini juga saya diberi peluang untuk mengikuti pelbagai kursus.Ini tidak termasuk tugasan luar membantu mengendalikan program pelajar kendalian SPIM Jabatan Pelajaran Selangor.Terakhir ke Port Dickson untuk Pemurnian Buku Guru Jutawan Akhirat.Terlalu kerap meninggalkan sekolah juga adakalanya isu yang sensitif bagi sesetengah guru dan pentadbir.Guru terpaksa menggantikan kelas yang ditinggalkan.Guru Penolong Kanan pula pasti sibuk menghulur kad relieve kepada guru ganti.Tetapi itulah realitinya.Adakalanya guru berpeluang dan di beri peluang untuk meningkatkan kemampuan diri.Atau membantu pihak jabatan dan PPD menjalankan program murid.

Menulis memerlukan fokus.Kebanyakan penulis daripada kalangan guru memenuhi waktu cuti mereka untuk menghasilkan penulisan mahupun menyiapkan manuskrip buku masing-masing.Saya setuju.Cuti bagi seorang guru bukanlah hak mutlak seorang guru (boleh dipanggil bertugas di sekolah oleh bos hatta pada waktu cuti).Tetapi diakui ia waktu yang ideal untuk menulis dengan sepenuh konsentrasi.Teringat sewaktu saya menulis manuskrip Buku Tip Urus Kelab Remaja setahun yang lalu.Menulis seawal jam 8.00 pagi membawa ke pukul 5.00 petang.Macam waktu bekerja, walau pun ketika itu bercuti semester (akhir tahun).Akhirnya draft manuskrip buku tersebut dapat di hasilkan dalam masa kurang dua bulan.Fokus, konsentrasi,  istiqamah.Itu panduan saya di dalam menulis.

Hari ini bermula cuti semester.Semalam saya sempat menyampaikan sedikit bingkisan Ramadhan kepada anak-anak murid tercinta.Esok saya mulakan gerak.InsyaAllah menghadiri Bengkel Bagaimana menulis Karya Evergreen kendalian Puan Ainon , Sifu PTS.Hari-hari seterusnya bersedia untuk menyambung karya permintaan Blue T Communication.JAKIM juga menanti karya IT dan dakwah.Cuti kali ini pasti berharga.Berpuasa di bulan Ramadhan, moga diberkati segala usaha nanti.

 

Ruzain Syukur Mansor

www.akademipenulisbebas.wordpress.com


BERDAKWAH DI SEKOLAH

August 22, 2009

P4182033

BERIKUT DISIARKAN ARTIKEL SAYA YANG DISIARKAN DI MAJALAH MILLENIA MUSLIM OGOS 2009..SESUAI UNTUK TATAPAN PARA GURU TERUTAMA GURU-GURU PENDIDIKAN ISLAM

BERDAKWAH DI SEKOLAH

Oleh:

Ruzain Syukur B Mansor

B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM

KPLI j-QAF IPTeknik

Guru j-QAF SK Sawah Sempadan Tanjung Karang

akademipenulisbebas.wordpress.com

wacanasyukur.wordpress.com

 

Apabila menyebut sahaja soal dakwah maka ia merupakan bicara tanggungjawab terhadap ummat Muhammad ke arah mengembangkan Islam.Sebagai seorang guru, nyata ia bukan merupakan perkara enteng yang dikesampingkan, lebih-lebih lagi bagi seorang guru Pendidikan Islam.

 

Umum mengetahui tugas seorang guru Pendidikan Islam memang menyampaikan ilmu terus kepada anak muridnya .Menghapuskan kejahilan, memperkukuhkan amalan , menerapkan nilai-nilai murni, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.Tidakkah ia sudah dikira sebagai dakwah dan ibadah?.Begitulah bertuahnya guru Pendidikan Islam yang sudah tersedia jalan menuju redha Allah di samping menjalankan tugas sebagai pendidik.Sudah tersedia jalan dan ruang berdakwah yang nyata berjalan seiring dengan tugas hakiki mendidik anak bangsa.Selain itu mereka merupakan pakar rujuk terutama di dalam selok belok agama bagi warga guru dan kakitangan sekolah.Inilah peluang-peluang yang dilihat seharusnya dimanfaatkan oleh Guru Pendidikan Islam di dalam meneruskan kesinambungan misi dakwah junjungan Besar nabi Muhammad S.A.W.

 

Allah telah menceritakan kepada kita bahawa Ummat Muhammad SAW adalah ummat yang terbaik yang diutuskan untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sepertimana dinyatakan didalam Surah Al-Imran ayat 110:

 

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

(Al-Imran ayat 110)

 

 

Dimanakah Ruangnya?

Ada yang bertanya di manakah ruangnya guru Pendidikan Islam ini berdakwah ketika berada di sekolah?.Mereka adalah pakar rujuk yang diakui kredibiliti dari sudut ilmu dan kepakaran di dalam bidang agama.Maka di sinilah mereka harus menggunakan kemampuan ilmu yang ada untuk menjernihkan kekeliruan apabila diajukan tentang persoalan berkait dengan aqidah, syariah, hukum-hakam serta akhlaq.Itulah ruangnya untuk mengemukakan panduan dan jawapan berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan Sunnah.Tidak salah untuk kita mengatakan guru pendidikan Islam ini sebagai pakar rujuk kepada guru-guru, kakitangan pentadbiran serta murid-murid.memang begitulah hakikat berdasarkan pengalaman penulis yang sentiasa diajukan permasalahan agama daripada rakan-rakan guru yang inginkan kepastian.Cabaran kepada pendakwah di sekolah ini ialah usaha untuk memastikan ilmu sentiasa cukup di dada bagi memberikan jawapan kepada permasalahan tersebut.

 

Selain itu, gerak laku Guru Pendidikan Islam sentiasa menjadi perhatian warga sekolah ataupun murid-murid.Maka disinilah peranan mereka untuk cuba menonjolkan akhlaq Rasulullah S.A.W. baik dari sudut percakapan, berpakaian, pergaulan malah gaya berjalan pun sentiasa menjadi buah mulut orang.Inilah yang dikatakan sebagai dakwah dengan contoh tauladan.Umum memang mengetahui andai Ustaz dan Ustazah ini berperilaku dengan akhlaq yang sopan, baik tingkah laku, mudah didekati , tidak mustahillah mereka akan sentiasa menjadi guru yang cukup dihormati rakan dan lawan.Kehadiran mereka ke kelas pasti dinanti oleh murid, malah terleka lima minit datang kelas pun akan diingatkan oleh murid-murid .Bukankan menjadi pendakwah ini juga memerlukan kita menarik minat dan mempengaruhi orang lain?.Seandainya anda mempunyai perwatakan seindah Rasulullah S.A.W. pasti anak murid menjadikan anda contoh dan tauladan untuk diikuti.Bahkan gaya rambut, berpakaian serta cara bercakap pun akan ditiru oleh mereka.

 

Guru Pendidikan Islam boleh mencegah kemungkaran?.Anda tidak perlu menunggu untuk dilantik sebagai Pegawai Penguatkuasa baru mencegah kemungkaran.Sebagai Guru Pendidikan Islam  , anda mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk membetulkan segala kesilapan.Menegur untuk memperbetulkan keadaan tidak salah, asalkan kena dengan caranya.Itulah sebabnya Allah berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:

 

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

 

Kalaulah Guru Pendidikan Islam hanya mengajar hukum-hakam agama tetapi tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di sekolah adakah mereka ini sudah menjalankan tugas dan amanah yang diberi?.Memberi nasihat , menegur salah laku murid, menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik rakan sekerja, meleraikan pergaduhan di antara murid, itu semua tugas seorang pendakwah di sekolah.Namun segalanya harus dilakukan dengan penuh hikmah agar tiada seorangpun yang terguris dan hati dan perasaannya .Hikmah dengan di dalam menegur, menasihati, bijaksana di dalam berhujah akan menjadikan guru Pendidikan Islam ini sebagai insan yang dihormati oleh semua warga sekolah.

 

Bagaimana caranya

Jika anda merupakan guru Pendidikan Islam yang sudah agak senior dan dihormati, anda merupakan orang yang tepat untuk melaksanakan sesi tazkirah dan ceramah kepada warga pendidik dan murid-murid.Gunakanlah peluang yang diberikan sebagai pendakwah ini di dalam perhimpunan, majis-majlis rasmi atau di mana-mana dan ketika yang dirasakan perlu.

 

Bagi guru Pendidikan Islam yang masih muda terutamanya guru-guru j-QAF yang masih baru di sekolah dan sedang membina hubungan yang baik dengan warga sekolah, anda mempunyai beberapa piihan untuk berdakwah.

Pilihan pertama bagi yang mempunyai kekuatan , peluang dan daya penarik yang baik, anda boleh terus berdakwah melalui sesi tazkirah , ceramah, sesi perbualan dan lain-lain lagi secara langsung.

 

Namun , bagi yang belum mempunyai kekuatan dan ruang, anda boleh menjadikan ruang penulisan sebagai platform untuk berdakwah.Penulis menggunakan kaedah ini dengan menulis artikel dakwah di suratkhabar, buletin panitia, serta di mana-mana ruang penulisan yang ada.Topik penulisan berkisar tentang peranan dan tugas guru, kepimpinan, amanah dan lain-lain lagi.Ini merupakan kaedah dakwah secara tidak langsung tetapi berkesan menembusi dan menyentuh hati .Ia juga sedikit demi sedikit membina kredibiliti dan keyakinan kepada pendakwah muda untuk memulakan rentak dakwah.Di sekolah , wujudkan buletin Panitia Agama dan j-QAF untuk menerapkan artikel dan nasihat ringkas serta hadis dengan kata-kata hukama’ buat renungan warga sekolah.Jangan lupa untuk memuatkan ruangan uji minda dan sediakan hadiah kepada pemenang.Ia merupakan strategi supaya pembaca (madu’) akan setia dan tertunggu-tunggu siri-siri buletin dakwah yang akan datang .

 

Berdasarkan pengalaman penulis, anak-anak di sekolah sukakan aktiviti kesenian.Lihat sahaja andai diadakan pertandingan nasyid ketika perayaan Awal Muharam contohnya, pasti mereka sanggup berlatih dan bernasyid dengan bersungguh-sungguh.Di sinilah peluang Guru Pendidikan Islam untuk berdakwah.Rangkalah pendekatan dakwah yang menerapkan unsur kesenian dan aktiviti yang menarik yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak dan remaja.Tidak salah untuk menukar dan meniru format rancangan kesukaan remaja seperti Explorace, Cari Menantu, Akademi Al-Qur’an kepada yang relevan dalam konteks kita di sekolah.Akademi Nasyid boleh ditubuhkan di sekolah di dalam usaha pencarian bakat pelajar di dalam bidang nasyid.Rancangan  Akademi Al-Qur’an juga boleh diadakan di sekolah di dalam memncari bakat Qari dan Qariah muda serta peluang untuk menerapkan ilmu tarannum buat persedian menghadapi Majlis Tilawah Al-Qur’an (MTQ).Penjenamaan semula aktiviti Islam dengan menamakan program tersebut seperti ‘Karnival Jom Cintai Rasul’, ‘Kempen Smart Salam’, ‘Mencari Cinta Rasul’, ‘Kem Bestari Solat’, ‘Perkampungan Bestari’, ‘Perkampungan Ilmu’, ‘Perkampungan Dakwah’, ‘Bersamamu Guru’, Minggu Semarak Pendidikan Islam’, dirasakan perlu di dalam memberikan nafas baru untuk  menarik minat murid-murid menyertai aktiviti yang diadakan.

 

Kesimpulannya, ruang dakwah untuk Guru Pendidikan Islam amat terbuka luas , tepuk dada tanyalah iman .Samada anda adalah guru pendidikan Islam yang hanya mengajar mengikut sukatan pelajaran tahunan, atau guru yang bertindak sebagai pendakwah di sekolah mengajak kepada kebaikan, menghapus kejahlan dan menentang kemungkaran.Sesungguhnya tanggungjawab sebagai guru Pendidikan Islam menuntut seribu satu pengorbanan dan tauladan bagi insan yang mengimpikan suatu kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

 


AHLAN YA RAMADHAN

August 22, 2009

SIRI ARTIKEL RAMADHAN

RAMADHAN BULAN TARBIAH

OLEH:RUZAIN SYUKUR B MANSOR

(B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM, KPLI j-QAF IPTEKNIK)

http://www.akademipenulisbebas.wordpress.com

 

 

Bulan ramadhan yang dinanti kini muncul  buat Ummat Muhammad SAW yang inginkan seribu keberkatan dan keampunan dariNYA.Allah berfirman di dalam Al-Qur’an berbunyi:

 

”Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”

Surah Al-Baqarah:Ayat 183

 

Maka jelas kepada kita suatu perintah yang perlu dipatuhi yang pastinya mempunyai seribu satu rahsia khusus untuk Muslim yang beriman iaitu perintah berpuasa.Bulan Ramadhan yang pastinya menjadi medan tarbiah diri merangkap penguat iman dan jatidiri. Kehadiran bulan ini sepatutnya menjadi suatu medan untuk menguji tahap keimanan dari segenap sudut dan aspek. Sifat mahmudah seperti kesabaran, ketaqwaan, rasa syukur, kesederhanaan dan lain-lain lagi akan terus disuburkan berkat dari amalan ibadah di bulan yang berkat ini.

 

Cubalah kita renungkan kekuatan iman para sahabat dan pejuang Islam yang berjuang memartabatkan Islam berperang di dalam peperangan Badar yang berlaku di Bulan Ramadhan.Walaupun dengan kekuatan tentera yang minimum tetapi dapat mengalahkan sejumlah bala tentera yang besar jumlahnya.Pastinya kekuatan rohani dan kekentalan iman menjangkaui kekuatan fizikal para syuhada’ tersebut.

 

Namun kita di zaman ini hanya berperang dengan nafsu lapar dan dahaga serta godaan dunia semata-mata.Tetapi ianya masih memerlukan pengorbanan dan jihad yang tidak kurang hebatnya.Berapa ramai diantara kita yang mengorbankan keimanannya dengan melanggar perintah puasa semata-mata tidak tahan dengan godaan nafsu makan dan minum.Sedangkan di dalam keadaan puasa yang menuntut kita berlapar dan dahaga itu merupakan  tarbiah menundukkan nafsu yang sentiasa terdorong kepada keseronokan.Dengan berlapar itulah kita dapat menyedarkan hati-hati ini bahawa kita terlalu mewah dengan segalanya sedangkan kelaparan itulah menjadi mainan masyarakat Muslim di negara bergolak seperti di Iraq, Afghanistan dan sebagainya.

 

Puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dapat mendidik hati dan nurani dapat menghapuskan sifat mazmumah yang sekian lama bertapak di sanubari kita.Sifat sabar yang amat dituntut dari mengatakan sesuatu yang keji walaupun ditohmah akan menjadikan diri kita ini dihormati lawan dan rakan.Sabar dan tidak bertindak balas walaupun dicerca menjadikan jiwa semakin kental dengan roh keimanan.Manakala sabar di saat berhadapan dengan musibah dapat menyediakan diri kita untuk menjadi mu’min soleh.  

Allah berfirman di dalam Al-Qur’an:

 

”(yaitu) orang-orang yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, orang-orang yang sabar  terhadap apa yang menimpa mereka, orang-orang yang mendirikan sembahyang dan orang-orang yang menafkahkan sebagian dari apa yang telah Kami rezkikan kepada mereka.”


Surah Al-Haj :ayat 35

 

Ternyata sifat sabar itu mempunyai kaitannya dengan jalan untuk mendapat keberkatan Allah.

Diharapkan juga kehadiran Ramadhan ini disamping ibadah puasa yang di lakukan dapat menghapuskan sifat mazmumah yang lain  tamak haloba, suka membazir, suka melengah-lengahkan masa, tidak bersyukur , sika mengadu domba serta mengumpat saudara yang lain.

 

Selain itu, tarbiah Ramadhan akan  semakin menyuburkan rasa mahabbah dan kecintaan kepada saudara seagama yang lain.Inilah Bulan yang akan lebih membibitkan rasa sayang dan keperihatinan kepada warga yang hidupnya di dalam kekurangan seperti anak yatim dan golongan miskin.Maka bagi yang senang pastilah melonjakkan rasa ingin turut berkongsi sedikit kebahagiaan dengan yang kurang bernasib baik.Amalan memberi juadah berbuka , bertukar juadah sesama jiran di samping banyak menghulurkan sedekah kepada yang memerlukan dapat menguatkan roh persaudaraan di samping dapat  menyuci dosa lalu .Apatah lagi ibadah zakat fitrah yang diberikan kepada yang berhak akan menimbulkan keinsafan dan dapat membantu insan yang memerlukan.Ini sesuai dengan maksud zakat iaitu  membersihkan mereka dari kekikiran dan cinta yang berlebih-lebihan kepada harta benda.Apatah lagi Allah sudah mengingatkan kita dengan FirmanNYA berbunyi:

 

”Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

 

Surah At-Taubah :Ayat 103

 

Moga dengan keberkatan di bulan Ramadhan ini akan membuahkan rasa kehambaan yang tinggi dengan niat untuk mengubah tabiat yang kurang baik kepada yang memberi manfaat kepada semua.Moga Ramadhan yang hadirnya penuh berkat ini akan dijadikan medan latihan juga tarbiah diri dalam mengharapkan keampunan Allah.

 

 

* Ruzain Syukur B Mansor merupakan graduan Pengajian Ilmu Wahyu , UIAM dan terlibat sebagai aktivis  dakwah remaja dan belia , kini bertugas sebagai Guru Siswazah Pendidikan Islam di Tanjung Karang Selangor

Sebarang perkongsian dan maklumbalas  boleh dihantar ke  ruzainsyukur_mansor@yahoo.com atau layari blog peribadi di     https://akademipenulisbebas.wordpress.com


PENGALAMAN BARU

August 18, 2009

Assalamualaikum..

Minggu lepas saya bersama sahabat Ustaz Sallahuddin berkampung bersama empat lagi panel penulis Guru Jutawan Akhirat di Port Dickson.Satu penghormatan yang diberikan oleh Ustaz Shopuan Anuar, Penolong Pengarah Kanan Dakwah Jabatan Pelajaran Selangor.Penulisnya memang hebat-hebat belaka.Sebagai penulis yang melihat hasil kerja yang sudah dua tahun ‘dicanai’ pasti ia bukan tugas mudah.

Pengalaman memurnikan suatu hasil karya yang sudah menjadi manuskrip memerlukan minda berfikir dengan cukup teliti.Edit manuskrip bukannya mencari kesalahan.Tetapi sekadar memberi nafas baru dan mencadangkan beberapa penambahbaikan di mana perlu.

Sebulan yang lalu, saya ditunjukkan manuskrip akhir buku saya- “Tip Urus Kelab Remaja Masjid” yang saya tidak berkesempatan pun untuk bertemu dengan editornya.Manuskrip itu di edit editor nun jauh di Kedah.Tiada banyak  sangat  perkara yang diubah.Pengurangan? pun hampir tiada sangat..saya titip ucapan terima kasih buat saudari editor yang pastinya letih mengerah ketelitian minda bagi memurnikan manuskrip tersebut.

Memang adakalanya , fikiran sudah tepu dengan hasil karya yang sudah terhidang di depan mata.Sukar untuk melihat kesalahan sendiri, hatta ‘typing error’ yang berlaku.Hidup juga adakalanya begitu.Adakalanya mudah untuk melihat kesalahan orang.Sehingga kesalahan sendiri pun sukar untuk disedari.Perkara ini acapkali saya alami.

“Saya dapati ada typing error pada artikel di dalam blog akademipenulisbebas ini.Saya boleh terima jika kesalahan itu berlaku pada blog orang biasa, tetpi tidak sepatutnya berlaku pada blog anta-seorang penulis”

Itu komen sahabat lama -‘Lan kemahang’

Komen tersebut ada asasnya, hasilnya? bedah siasat dilakukan pada kandungan lama blog ini.Saya dapati ada juga typing error yang mungkin menyakitkan mata pengunjung.Lantas ianya dibetulkan.Terima kasih Lan!.

Saya sanjungi buah fikiran Ustaz Tajuddin dan Ustaz Sahrulazmi (antara penulis Buku Guru Jutawan Akhirat) di atas kerja minda kalian menyediakan wadah terbaik buat santapan minda guru.Anda insan yang hebat di kalangan pendidik yang melata di muka bumi.Mencurah idea membangun modal insan buat mencetus aura pemimpin masa hadapan.

Teruskan menulis.Pengalaman baru memurnikan manuskrip ini tidak akan saya lupa..saya simpulkan begini, menulis buku lebih mudah dari meng edit nya..

Ruzain Syukur Mansor

www.akademipenulisbebas.wordpress.com