Aura Re-Code

October 27, 2011

Kali pertama membaca entry Re-code Tuan Fauzul Naim http://www.fauzulnaim.com.my saya hanya membacanya sambil tangan pantas menanda kertas peperiksaan murid. Makin lama membacanya, tumpuan lebih terarah kepada bait indah coertan pengalamannya. Akhirnya..Nah ketepi sebentar kertas peperiksaan, fokus kepada Re-code. Apakah ia bahana re-code?

Saya mengenali Tuan Fauzul Naim ketika mula berjinak-jinak dengan ceramah penulisan Puan Ainon sifu PTS beberapa tahun yang lalu. Beliau memang suka mencabar. Mencabar untuk melahirkan penulis-penulis prolifik.

Akhirnya, beliau memilih untuk mengembangkan bakat mengemudi akademipenulis, sebuah akademi latihan untuk melahirkan penulis berkaliber. PTS adalah sebuah toko penerbitan yang tidak menyekat bakat. Itu antara kata-kata Puan Ainon Mohd yang saya ingati.

Lahirnya buku pertama saya Tip urus Kelab Remaja masjid, saya promosikan ianya dan dijual di kedai buku on-line Tuan Fauzul untuk rapat dengannya. Memperkenalkan diri sebagai penulis walaupun tidak dengan PTS. Ketika itu saya masih kerdil di mata mereka.

Suatu hari saya mengikuti sendiri kursus kendalian Tuan Fauzul Naim. sangat menginspirasikan. Ia mempunyai serampang dua mata. 1 untuk ilmu. 2 untuk mencuba nasib dengan PTS. Serius, mahu terbit buku atas kapal PTS. Melalui ceramah beliau, Barulah saya tahu bahawa kuasa pengurus penerbitan sangat besar sekali di dalam menentukan manuskrip mana yang ingin diluluskan oleh PTS. Kalau saya tahu, sudah lama saya mengikuti kursus Tuan Fauzul.

Di Pesta Buku KLIBF 2010, saya mengikuti wacana buku PTS. Tuan Fauzul menajdi panelnya. Saya bangun bertanya ” warga guru sangat menginginkan adanya buku-buku ditulis mengenai pendidikan..panduan menjadi setiausaha kokurikulum misalnya, malah lain-lain buku seumpamanya..sila tuliskan..kami beli!”.

Dengan mudah beliau menjawab ” Cikgu, mengapa tidak cikgu sendiri yang menulis buku-buku tersebut?’.

“Aduh!” beliau mencabar nampaknya.

Di Pesta Buku KLIBF 2011 sekali lagi saya bertemu dengan Tuan Fauzul di booth PTS. Pssst..dibaca sebagai sengaja mahu bertemu beliau. Di tangan saya ketika itu adalah buku kedua saya yang bertajuk Dakwah dan Teknologi Maklumat. Masih belum bersama PTS. Tetapi masih dengan misi sama. Saya mahu bersama PTS. Sekurang-kurangnya Tuan Fauzul mengetahui ketika itu saya bukan main-main menulis.

Kini, Tuan Fauzul tampil sangat serius dengan misinya membina jenama sendiri. Setaraf nanti dengan teman-temannya malah tokoh sehebat Dato’ Dr Hj Fadzilah Kamsah. Fine Akademi kendaliannya mengorak langkah agresif sekali. Memberikan latihan penulisan kepada bakal penulis untuk organisasi seluruh Malaya. Saya tahu, beliau sedang membina jenama. Jurulatih Utama Penulisan. Tahniah tuan!.

Beliau punya misi besar. Saya juga begitu. Membuktikan saya ini salah seorang produk beliau , lahir daripada kursus penulisan yang beliau kendalikan. Apa yang pasti, misi saya juga hampir menjadi realiti. Menempatkan diri sebagai salah seorang penulis di bawah kapal PTS. Terima kasih Tuan Fauzul atas motivasi dan ilmu juga cabaran lalu. Moga terus memandaikan bangsa. Apa yang penting, jenama anda sedang berkembang. Moga terus ke puncak jaya!

Ruzain Syukur Mansor
Penulis buku:
1.Tip Urus Kelab Remaja Masjid
2. Dakwah dan Teknologi Maklumat
3. bakal terbit: Misi Jadi Luar Biasa.


JEJAK PENULIS JUTAWAN

October 26, 2011

Ini perkiraan ringkas. Jika jualan buku seseorang penulis berjumlah RM 1 juta, maka penulis berkemungkinan dibayar royalti sebanyak RM 100, 000 setahun . Jika jumlah royalti tersebut diperolehi secara konsisten dengan jumlah yang sama selama 10 tahun , maka jumlah royaltinya menjangkau RM 1 juta. Wow! Penulis tersebut sudah bergelar PENULIS JUTAWAN!

Selang beberapa jam mendengar celoteh Pak Latip, bakal penulis jutawan Malaysia, saya terus pula menelusuri blog beliau di http://abdullatip.blogspot.com . Ada banyak rahsia untuk muncul penulis jutawan didedahkan.

Dengan rezeki yang Allah kurniakan, Pak Latip dapat mengembara ke beberapa buah negara untuk mendapat nilai sumber ilmu yang sangat tinggi. Beliau ke Turki malah ke London mencari sumber ilmu. Akhirnya buku yang ditulis dirasakan sangat rapat di hati pembaca. Mengapa? Sumber penulisan diperolehi daripada penceritaan insan-insan yang rapat dengan tokoh yang ingin ditulis. Mewawancara para anak murid, tokoh ilmuwan di tempat kelahiran tokoh sejarah yang ingin ditulis menjadikan penulisan Pak Latip sungguh bermutu.

Kedua, penulis jutawan sangat fokus. Genrenya sangat berfokus. Jenama dibina. Bukunya bukan 1, tetapi mungkin 1 setiap bulan. 12 buah setahun. Atau mungkin lebih dari itu.

Ketiga, penulis bijak memasarkan karya. Melalui sesi bedah buku, penulis meningkatkan jenama. Pesta buku, rajin turun bertemu PEMINAT. Ceramah, motivasi di TV dan radio. resensi buku sana dan sini. Siri bedah buku lebih meluas di Indonesia. Namun, budaya bedah buku di Malaysia kini mula berkembang.

Keempat, penulis jutawan bijak menggunakan rangkaian teknologi. Facebook suatu ruang promosi buku. Jual buku secara on-line harus dimanfaatkan. Di mana ada pasaran di situ karya disebar.

Kelima, anugerah? Saya belum bertemu kajian yang menunjukkan prestij penulis akan meningkat setelah muncul pemenang sesebuah pertandingan atau anugerah penulisan. Tetapi realitinya begitu. Penulis prolifik pastinya berkredibiliti dan diakui kepakarannya apabila menerima sebarang anugerah. Apatah lagi sekiranya anugerah tersebut adalah prestijnya tinggi. Lantas, pasti jualan terhadap buku-buku tulisannya akan melonjak.

Apapun, ini adalah berdasarkan pemerhatian saya terhadap senario penulisan tanah air. Jika trend ini sentiasa konsisten, tidak mustahil ramai penulis jutawan akan dihasilkan. Ada banyak faktor harus difikirkan. Antaranya faktor pembaca, bahan yang dihasilkan dan kemampuan penerbit. Teruskan menanti..lahirnya PENULIS JUTAWAN DI MALAYSIA


BICARA BUKU PAK LATIP DI PESTA BUKU ISLAM 2011

October 26, 2011

Inilah antara penulis yang menerima royalti yang sangat tinggi tahun ini. Pak Latip merupakan penulis buku-buku novel sejarah tokoh-tokoh Islam. Pagi ini saya sempat mengikuti bicara buku melibatkan tokoh penulis yang disukai kanak-kanak dan dewasa ini. Buku-buku baru beliau diperaga. Dikhabarkan beliau baru sahaja pulang dari Turki untuk mencari bahan untuk novel mengenai tokoh mujaddid-Badiuzzaman.

Menulis buku seperti Mustafa Kamal at-Taturk agak sulit baginya. Ini kerana menurut Pak Latip, tokoh tersebut punya beberapa sisi negatif yang sedikit mengganggu fikiran.

“Ada buku yang hanya ditulis dalam masa sebulan. Buku-buku seperti Imam Syafie ditulis dalam keadaan yang menyenangkan” tambah beliau lagi. Betapa prolifiknya Pak Latip.

Suatu ketika dahulu, buku-buku sejarah hanya digemari oleh penggemar sejarah sahaja. Tetapi dengan gaya penulisan novel sentuhan method surah Yusof menambah nilai kepada karya sejarah.

“Ketika mula-mula menulis menggunakan gaya ini, memang ada cabaran. Ada yang tidak bersetuju dengan dialog-dialog yang diadaptasi daripada karya sejarah” tambah Pak Latip lagi.

Saya akui. Malah ketika saya membedah suatu artikel sirah baru-baru ini ada yang bertanya “betulkah dialog ini pernah diungkapkan oleh tokoh tersebut?”.

Di akhir sesi, amat mengejutkan tatkala seorang anak kecil bangun bertanya kepada pak Latip mencadangkan beliau menulis tentang beberapa tokoh. Kanak-kanak itu berumur 11 tahun dan sudah banyak membaca karya sejarah tulisan pak Latip. Kata-katanya teratur. Rupa-rupanya membaca tulisan yang berbahasa melayu tinggi sangat memberi impak yang positif kepada kemahiran berbahasa.

Saya sangat berpuas hati. Merasai buah fikiran seorang tokoh yang berkaliber di bidang ini. Bagi penulis baru seperti saya, tidak salah mencuba genre yang baru. Penulisan tokoh sejarah. Namun, saya harus belajar dengan lebih mendalam lagi. Tetapi sebenarnya….Saya belum berani!


EKSPO BUKU ISLAM 2011@KL SENTRAL

October 26, 2011


KONSISTEN

October 26, 2011

“Setiap hari saya telusuri blog Prof Kamil” getus seorang teman. Beliau akan berangkat menuju ke kota suci menunaikan haji. Di tangannya adalah catatan Travelog Haji Profesor akaun tersebut.

Saya juga begitu. Kerana apa? Bagi penulis, bagaikan dapat merasakan denyut emosi penulis yang lain. Profesor Kamil (Travelog Haji) bertufas sebelum ini di UiTM yang sangat berprestij dan ianya di bumi sendiri. Berhijrah ke Madinah pastinya memberikan 1001 cabaran. Tulisan prof nampaknya bagaikan luahan emosi akibat karenah pentadbiran yang sangat hebat. Lantas, tulisannya sangat konsisten. Setiap hari satu entry. Malahlah lautan pengunjung ke blog Kehidupan Ringkas Tetapi Signifikan melonjak sangat luar biasa. Benarlah di kata orang “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri”. Tapi bagi saya, kalau yang hujan emas itu di negeri orang baik saja saya ke sana.

Rupanya, di dalam oven tekanan itu, idea menulis akan meluap-luap. Tetapi ini hanya teraplikasi kepada penulis-penulis yang luar biasa. Saya antara penulis yang sangat tidak suka menulis ketika menulis. Ada bahayanya. Kerana yang timbul di skrin nanti adalah luahan amarah yang mungkin menyakitkan hati.

Lantas, saya menganggap Prof Kamil antara penulis prolifik yang mampu saja menulis di dalam apa keadaan sekalipun. Hebat memang hebat. Langsung tidak terkesan dengan sebarang tekanan. Tulisannya tetap konsisten. Memberi makna kepada sesuatu. Melihat sesuatu dengan pandangan hati. Melihat masalah untuk mencari jalan penyelesaian. benarlah kata seorang sifu ” jika ada masalah face it, don’t facebook”.

Ini perihal konsisten. Konsisten dalam menulis. Konsisten kepada pengikut. Jangan nanti ditegur rakan “blog anda bersawang”. Bersawang kerana apa? Tiada entry berbulan-bulan.

Ruzain Syukur Mansor


HARGA SEGELAS ASAM BOI..

October 23, 2011

“Ustaz!” satu laungan menjengah telinga sebaik menjejak kaki di Taman Tasik Alam Impian.

“Oh, anak muridku rupanya” nuraniku bersuara rasa bangga. Anak itu sudi menegurku. Disisinya ayah dan ibu anak kecil itu yang sedang sibuk melayan pelanggan. Berniaga kecil-kecilan rupanya. Padanlah anak kecil itu acapkali menerima tempahan air asam boi rakan sekelasnya.

“Tolong ayah ya, bagus” ringkas sapa ku.

Ini mengingatkanku pada detik motivasi keramat itu.

“Mahu susah macam Abah? Kalau tidak mahu, kena belajar sungguh-sungguh. Ubah nasib keluarga” itu keluar dari mulut abah. Motivasi di kebun kelapa. Ia mengubah persepsi terhadap sebuah kehidupan. Berjaya dalam hidup memberikan suatu kepuasan kepada ayah dan bonda.

Melihat jerih dan payah ibu dan ayah membesarkan kita begitu menginsafkan. Apatah lagi merasai sendiri bagaimana susahnya ayah mencari rezeki melonjak semangat dan motivasi diri untuk mengubah nasib mereka.

Lantas? Kucupan bonda di dahi ini di saat keluar daripada Dewan Konvokesyen suatu ketika dahulu menjadi detik kepuasan yang sukar dilafazkan dengan kata-kata.

Melihat anak-anak didikku yang sama sibuk menolong ayah dan ibu di medan sangat menginsafkan. Ada yang selalu tidak hadir ke sekolah. Rupanya penat semalaman menolong ayah menjual durian di pinggir kota. Ada pula yang tidak segan silu mempromosikan minuman dan makanan jualan ayah dan ibu. Bertuahnya ibu dan ayah mereka. Punya anak yang cakna kepada kesusahan ibu dan ayah. Anak sebegini akan cepat matang di dalam hidupnya. Kerana mereka merasai sendiri denyut nadi ibu dan ayah mencari sesuap nasi buat keluarga.

Saya merenung panjang keletah Iqbal, seorang anak didik saya yang tekun menemani ayah berniaga di pinggir taman. Seawal 10 tahun dia punya naluri untuk bermain seperti anak-anak kecil yang lain.

“Iqbal, mana dia ni..” cari si ayah.

Mata saya sudah tertancap pada kelibat Iqbal yang berlari mengejar sesuatu di padang berhampiran. sudah hidup kanak-kanak memang begitu. Kita yang dewasa sahaja yang membentuknya supaya lekas dewasa dan melupakan dunia kanak-kanak buat sementara.

“Ayah, berceritalah tentang kehidupanmu kepada anak-anak anda” itu sempat saya titipkan sewaktu berceramah kepada orang kampung sendiri awal 2011.

Lantas, pengalaman melihat ketabahan Iqbal menjual asam boi sangat menyentuh hati. Melihat Akmal di disisi pondok niaga durian milik ayahnya meruntun hati. Ini anak-anak yang sangat luar biasa. Luar biasa kerana di didik untuk menjadi cepat dewasa. Moga Iqbal dan Akmal sama hebat meneraju bisnes keluarga. Moga dua insan ini kelak membanggakan keluarga. Apa yang penting, mereka tidak pernah malu untuk mengatakan orang tua mereka adalah peniaga durian dan minuman. Malah, merekalah sebenarnya tulang belakang yang menjadi kebanggaan ayah dan ibu.

Catatan ini catatan yang menginsafkan. Melihat mata mereka bagaikan tersirna suatu harapan yang sangat tinggi. Harapan untuk mengubah nasib keluarga. Moga Allah izinkan mereka untuk berjaya.


TULISLAH PENGALAMAN ITU.

October 22, 2011

“Cikgu, jika ada masa, tulislah pengalaman sewaktu di sana. Ia bukan catatan pengalaman biasa, tetapi perjalanan rohani” itu sempat saya titipkan buat rakan setugas yang berkesempatan mengerjakan ibadah haji baru-baru ini. Beliau meminati catatan travelog Prof Kamil yang kini bertugas di Universiti Toyyiba Madinah.

“InsyaAllah, boleh jadi catatan travelog. Tahun depan beli ya” guraunya penuh visi. Saya sendiri belum ke sana. Jika ada rezeki 2013 nanti menemani ayah dan ibu. Itu suatu harapan dan impian yang harus dipenuhi. Apatah lagi menemani ayah dan ibu yang bersungguh-sungguh mohon menjadi peneman mereka.

Gaya tulisan terhadap buku-buku pengalaman haji kini sudah berubah. Segala macam ilmu boleh diperolehi melalui buku dan kursus-kursus haji di merata tempat. Tetapi pengalaman istimewa ketika di tanah suci lagi penting buat dihadam anak dan cucu. Maka Catatan buku-buku travelog kembara menunaikan haji menjadi pilihan bakal haji untuk ke sana. Pengalaman kisah benar memang seronok untuk dibaca. Malah ia menjadi pengajaran ikhlas yang wajar dicontohi.

Apa yang penting, setiap pengalaman harus ditulis. Saya mungkin seorang guru yang sangat rugi kerana segala pengalaman ketika mendidik anak bangsa tidak ditulis. Sekolah merupakan sumber 1001 pengalaman untuk diabadikan.

Menulislah untuk hari esok. Sekurang-kurangnya menjadi catatan memori pengubat rindu pada kenangan lama. Sekurang-kurangnya untuk menaikkan semangat yang layu apabila kurang dibajai dengan motivasi. Justeru , penulisan itu suatu motivasi yang sangat hebat. Pilihlah untuk menulis segala penglaman diri. Biar menjadi bukti kita ini pernah melalui zaman kelam mahupun gemilang.

Ruzain Syukur Mansor


catatan sarjana: konvo tonik untuk diri

October 6, 2011

Sepetang di hadapan dewan besar Universiti Malaya memberikan semangat luar biasa yang sukar diungkapkan. Melihat para graduan sibuk bergambar dengan ibu dan ayah tercinta..aduh hebat sekali kenangannya. Itu belum lagi lambungan mortar board ke udara tanda kepuasan diri tahap maksimum.

Mereka berhak untuk bergembira. Ini detik untuk mereka bergembira. Malah menyerahkan skrol tanda kejayaan kepada ibu dan ayah tercinta pasti meninggalkan kesan mendalam kepada jiwa. Ibu dan ayah, anakmu ini berjaya membawamu ke dalam dewan konvo menyaksikan langkahan keramat menerima ijazah.

Saya? Sedang menanti tempoh itu. 1 tahun lagi insyaAllah. paling lama setahun setengah daripada sekarang. Suatu komitmen yang harus dibayang-bayangkan. Lantas strategi harus diatur. Bergelar sarjana bukanlah semudah yang diimpikan. Tetapi apa yang sukar itu harus menjadi dugaan dan cabaran terbesar!.

Melihat kegembiraan graduan di hadapan dewan konvokesyen itu rupanya suatu tonik ajaib untuk diri. Melihat kegembiraan graduan bergaya dengan ayah dan ibu di sisi memberikan semangat luar biasa.

Lantas, jangan dilengah-lengahkan. Moga dipermudahkan ya Allah

Ruzain Syukur mansor
IGB 100059
APIUM Kuala Lumpur


sabar dan terus menanti..

October 5, 2011

“Buku insyaallah terbit Oktober. Setakat ini tiada apa-apa masalah” ringkas bunyi sms orang kuat rumah penerbitan yang bakal menerbitkan buku ke 3 saya ” Misi Jadi Luar Biasa”. Suatu buah tangan yang akan ditatap pertamanya oleh calon UPSR sekolah saya yang mendapat keputusan 5A. Mereka sangat bersemangat mendengar janji tersebut.

Perihal bersabar sudah acapkali disebut di dalam blog saya ini. Tetapi kali ini penuh suspen. Suspen kerana sehingga ke detik ini belum melihat kelibat caver buku tersebut. Pasti berapi. Penuh kepercayaan saya berikan kepada tuan designer dan editornya. Suspen juga nanti menanti penerimaan pembaca. Detiknya memang betul. Buku remaja sempena cuti sekolah!.

Al-hamdulillah. Ia cetusan semangat. Menulis dan terus menulis. Berjumpa teman dan sahabat Tuan Sahrulazmi menambah semangat untuk terus menulis. Barisan buku-buku beliau di toko buku menambah semangat untuk terus berkarya.

Sabar dan terus menanti. Menulis memang begitu.