Mengapa kajian pasaran penting?

March 25, 2012

Assalamualaikum
Salam penulisan.

Mengapa kajian pasaran juga penting untuk majalah?
Baru-baru ini saya dihubungi oleh editor majalah baru untuk remaja “Muslim Teen”. Ia terbitan Blue T Communication. InsyaAllah, saya diberi peluang mengisi kolum bijak belajar dalam majalah tersebut edisi April.

“Warnanya agak tenggelam” itu komen ikhlas apabila diminta oleh editor. Memandangkan ia adalah majalah baru, ia perlu jauh lebih menyerlah daripada majalah sedia ada. Membaca fikiran remaja agak sukar sebenarnya. Minat mereka cepat timbul dan cepat pula berubah.

Ini memungkinkan editor untuk melakukan kajian terhadap minat remaja. Isu dan topiknya biasanya agak santai. Menyampaikan maklumat harus secara tepat dan tidak meleret. Unsur kegemaran mereka juga perlu. Animasi perlu menarik. Ilustrasi perlu up to date.Warna warni illustrasi perlu mengambil kira kecenderungan gender. Lelaki dengan warna garang. Perempuan dengan warna lembut seperti pink. Jangan diwarnakan baju remaja lelaki dengan warna pink. Boleh menimbulkan salah anggapan nanti.

Kepada penulis artikel remaja, perlu lakukan sedikit kajian. Bercampurlah dengan anak remaja untuk mengetahui isu terkini. Bahasa mereka bagaimana? Isu menulis untuk kepuasan diri sudah lama berlalu. Untuk diterima editor, penulisan anda perlu ke arah adakah ianya bersesuaian dengan kehendak pembaca? Itu yang perlu difikirkan.

Moga bermanfaat dan selamat menulis.

Ruzain Syukur Mansor
Pengasas Akademi Penulis Bebas


MENULIS DARI HATI, IMPAKNYA MERUNTUN JIWA

March 25, 2012

“Ustaz, jom ke Majlis Pelancaran buku bekas pelajar kita” itu undangan seorang rakan guru.

Lantas, undangan dipenuhi. Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Nia Rissa diadakan gilang gemilang di Pusat Kecemerlangan Proton Shah Alam. Nia Rissa merupakan bekas pelajar SK Telok Menegon dan kini sedang bertungkus lumus membina menara kejayaan di SAMT Hishamuddin Kampung Jawa Klang. Penulis muda ini diuji beberapa kali dengan masalah kesihatan yang memaksanya menangguhkan pengajian buat beberapa ketika. Dengan kejayaan 5A dalam UPSR dan 8A PMR membuktikan Nia Rissa seorang yang tabah walau diuji dengan pelbagai dugaan.

Dalam kesibukan membina impian, bakat kurniaan Allah tidak dipersiakan. Garapan puisi lontaran idea anak muda remaja muslimah ini dijadikan azimat buat dirinya yang kini diuji. Betapa ujian baginya adalah ubat yang mujarab untuk diri.

Menjadikan tema ‘dugaan Allah’ sebagi tema utama, ternyata puisi Nia Rissa berjaya meruntun jiwa khalayak pendengar. Tulisannya lahir dari hati. Sangat ikhlas dan menyentuh jiwa. Bait perkataan diukir penuh hikmah dan cermat menggambarkan perasaan yang pelbagai hasil tarbiah ibu bapa dan guru.

Aku Redha.

Dengan kesucian Kalam-Mu ya Allah
Aku menghirup secangkir ketenangan
Pada setiap kalimah yang indah teratur
Dalam kalam yang tidak ditandingi
Walau dengan sejuta manusia cerdik

Aku pasrah dengan segala kehendak-Mu
Aku redha dengan setiap ketentuan-Mu
Kerana hidupku ini hanyalah
Satu pinjaman bagiku

…Petikan puisi bertajuk Aku Redha-Nia Rissa

Dalam diam, jiwa Nia Rissa harus mengundang pujian ramai. Betapa kekuatan dan ketabahan menjadi benteng yang kuat. Malah, tiada riak pun diwajahnya mengatakan bahawa dia adalah pesakit kanser. Syabas Nia.

Didoakan agar lahir Sasterawan Negara bertitik tolak daripada kejayaan membukukan antologi puisi yang pertama ini . Moga adik Nur Khairunnisa akan menjadi sebaik-baik wanita sama makna dengan namanya. Moga tabah ibu dan ayahnya. Moga tidak henti-henti doa guru-gurunya. Jadilah apapun, kerana di sisi-Mu ada Allah yang sudi memberikan pertolongan.


DI SINI IMPIAN BERMULA

March 18, 2012

Tanpa dirancang, minda begitu pantas mengingati memori lampau. Pada tahun 1993-1997, bumi SMA Izzuddin Shah Ipoh mennjadi saksi segerombolan anak remaja meniti usia membina impian. Lewat tahun 2000, sebahagian daripada mereka bergelar peguam, guru, arkitek, engineer dan menjawat jawatan di pelbagai agensi seluruh tanah air. Ada yang lebih bertuah merasai kehangatan dan kesejukan di tanah orang.

Setelah bertahun meninggalkan bumi ini, hari ini diri ini kembali ke sini mengabadikan kenangan terindah , mengutip mutiara pengalaman selama berada di taman ilmu dan budi ini. Di sini, terakam pelbagai memori indah suka dan duka kehidupan seorang anak yang dihantar oleh ibu dan ayah untuk berjaya menjadi insan. Terima kasih abah dan mak yang tidak putus-putus mendoakan anakanda untuk berjaya.

Di bumi inilah, segala curahan ilmu menjadi benih yang menumbuhkan impian dan 1001 cita-cita. Sebahagiannya sudah pun menjadi kenyataan. Terima kasih cikgu. Segala doa dan curahan ilmu serta budi cikgu-cikgu akan tersemat kukuh di sanubari ini. Terima kasih yang tidak terhingga.

Teman-teman alumni SMA Izzuddin Shah Ipoh khususnya tahun 1993-1997, memori bersama kalian terpahat kukuh di dalam hati. Maaf lama tidak bertemu. InsyaAllah akan bertemu tidak lama lagi. Moga apa yang kalian rancang dapat kali inni kita sertai bersama. Itulah berkat benih ukhuwwah kasih sayang disemai atas dasar iman. walau dimana pun kalian berada, teruskan membina impian. Tumpang bangga melihat kalian berjaya di dalam kehidupan. Mari saling mendoakan sesama rakan.

Agak sukar mengungkap memori lama dengan kata-kata. Setelah lama bumi ini ditinggalkan , semakin kerinduan menggamit rasa. InsyaAllah akan dikunjungi lagi. Tetapi misinya lebih bermakna, mahu menjejak guru-guru, ustaz dan ustazah yang membenarkan saya membina impian di bumi bertuah ini.

Terima kasih abah dan mak, terima kasih cikgu, terima kasih teman-teman

Tribute untuk
Guru-guru
Teman-teman seangkatan
Alumni SMA Izzuddin Shah 1993-1997


MISI GUBAL MODUL

March 13, 2012

Salam Penulisan.

Ini percubaan menulis dari tingkat 20 ketika saya sedang menghadam Modul Dakwah untuk Remaja dan Kanak-Kanak anjuran sebuah institusi agama di Selangor.

Apabila sudah mula menulis, kita harus berani dengan beberapa komitmen. Dengan menulis, anda sudah mempunyai sedikit kepakaran. Lantas, apabila diminta berkongsi kepakaran, silalah sahut cabaran tersebut. Berkongsi tidak akan mengurangkan ilmu, malah akan menambahkan ilmu dan kemahiran.

Berkongsi ilmu dengan enam orang Jurulatih Dakwah, kami mengorak langkah menyediakan panduan mengendalikan program motivasi. Modul lengkap dengan kaedah pelaksanaan modul bakal memberikan panduan kepada mana-mana pengendali latihan. Ia suatu panduan praktikal untuk semua. Ilmu memang untuk dikongsi.

Berikut adalah tip untuk menggubal modul:

1. Dapatkan penerangan yang jelas daripada penganjur tentang objektif sesebuah modul.
2. Tetapkan objektif bagi setiap modul. Apakah aspek yang ingin ditekankan di dalam modul tersebut?
3. Cadangkan bentuk aktiviti modul tersebut :LDK, ceramah, main peranan, lakonan, atau lain-lain.
4. Bina modul. Sediakan langkah pelaksanaan modul tersebut. Sebelum, semasa dan selepas slot.
5. Alatan? Cadangkan apakah alatan yang sesuai dengan aktiviti modul yang dijalankan.
6. Bina dan cadangkan refleksi. Refleksi di sini adalah falsafah di sebalik sesuatu modul tersebut.
7. Re-hearse. Cuba laksanakan modul tersebut. Dapatkan bantuan rakan untuk menguji modul tersebut.

Menggubal modul tidak sama seperti menulis buku. Ada banyak aspek teknikal yang perlu dipatuhi. Keselarian modul dengan konsep yang ingin diterapkan menjadikan ia agak mencabar untuk dihadam. Namu, bagi yang sukakan cabaran, ia sangat menarik.

Ruzain Syukur Mansor


GURU JUTAWAN AKHIRAT-SEINDAH NAMANYA

March 7, 2012

Guru Jutawan Akhirat memang tajuk buku yang unik. Ia garapan sahabat-sahabat saya Panel Penulis Sektor Pendidikan Islam , Jabatan Pelajaran Selangor.

Dalam kata pengantarnya tertulis indah kata-kata ini:

” Buku ini bicara hati daripada guru kepada guru. Ditulis oleh guru kepada guru. Mengajak untuk kita merasa bahagia sebagai seorang guru , tenang dengan himpitan tugas, amanah dengan kerja, bertanggungjawab terhadap anak didik”.

Ia dicanai dengan begitu rapi. Pengalaman merasai kehangatannya ketika pemurnian akhir di Port Dickson sebelum buku ini lahir menemui pembacanya sangat mengujakan. Melihat betapa kegigihan penulisnya mencerna idea sangat menginsafkan. Ini bagi menyediakan khalayak teman seperjuangan suatu wadah motivasi yang sangat membangkitkan semangat.

Hanya guru yang lebih memahami profesion perguruan. Alangkah beruntungnya pasangan guru, samada suami atau isteri seorang guru yang tumpang sekaki mendengar segala macam keluhan dan peristiwa yang mewarnai kehidupan insan bernama guru. Tetapi hakikatnya hanya mendengar sahaja masih lebih jauh daripada memahami jerih payah profesion seorang guru. Suatu profesion yang dianggap unik dan istimewa, diingati orang walaupun sudah hanya bertemankan batu nisan di pusara . Bertuahnya menjadi guru.

“Ustaz, saya mencari buku yang boleh mengelakkan burn-out di kalangan guru” itu getus seorang teman guru tadi. Seorang guru muda yang sangat berinspirasi. Tetapi semangat tanpa penghargaan tidak cukup untuk mengekalkan semangat membara sama seperti bulan-bulan pertama ketika bergelar guru dahulu.

“SEtiap kesukaran harus ditukar menjadi peluang. Bacalah buku-buku jejak Guru Cemerlang menyusun strategi sebelum bergelar seorang GC. Mereka insan yang terpilih telah berjaya menukar suatu masalah di sekolah menjadi peluang untuk memajukan diri” ikhlas dari saya.

Dalam kata pengantar buku Guru Jutawan Akhirat jelas dengan kata-kata motivasi ini:

” Guru, katakanlah dengan berani dan yakin ” aku ingin masuk syurga dengan tiket seorang guru”

Itu antara laungan keramat yang harus dijadikan azimat bagi seorang guru. Ini bertepatan pula dengan catatan pada blurb buku ini yang menyatakan bahawa:

“Jika kita bercita-cita menjadi seorang jutawan di dunia, guru bukanlah jalannya kerana 74% jutawan di dunia adalah ahli perniagaan. Jika kita bercita-cita untuk menjadi seseorang yang berkuasa, guru bukan medannya. Jika bercita-cita menjadi jutawan di akhirat, jalannya terbentang luas. Kita telah berada di landasan yang betul”

Berikut dikongsikan beberapa bingkisan motivasi yang dicoretkan khusus untuk bakal Jutawan Akhirat:

” Sekali kita menjadi guru, selamanya akan dipanggil cikgu”

” Marilah kita menjadi guru yang pertama . Pertama dalam mengajar. Pertama menyentuh hati pelajar. Pertama di hati pelajar. Pertama menyeru kebaikan dan pertama dalam membuat kebaikan.”

” Ayuh kita semua bercita-cita menjadi sorang guru yang memiliki 5M: mudarris, muallim, muaddib, murabbi lagi mursyid”

Moga bingkisan mendidik jiwa seperti buku Guru Jutawan Akhirat menjadi penguat semangat dalam melalui ranjau bergelar guru yang diredhai Allah. Sekali bergelar cikgu, selamanya tetap menjadi guru!

Ruzain Syukur Mansor


MOTIVASI DIRI: TERIMA KASIHLAH KEPADA ANGIN YANG MENENTANG

March 7, 2012

OLEH RUZAIN SYUKUR B MANSOR

Lihatlah kepada layang-layang yang terbang jauh di udara. Siapa sangka kertas senipis itu boleh terbang setinggi itu. Malah, hanya dipandu dengan tali yang halus. Sangat halus. Layang-layang yang terbang gah di udara tadi mungkin akan terjunam apabila talinya putus. Keegoannya yang tinggi di udara akan secara tiba-tiba akan tergugat hanya kerana talinya tidak mampu mengawalnya lagi. Putus kerana sifatnya halus.

Apakah peranan angin dalam misi penerbangan tersebut? Ya, layang-layang tersebut terbang kerana angin yang menentang arus memberi tekanan yang hebat. Makin lama, semakin tinggi menerjah udara. Hebat bagaikan tiada tandingan. Asalnya lemah tetapi kuat setelah menghadapi rintangan angin yang sangat kuat.

Makin kuat angin yang menentangnya, makin tinggi naik layang-layang itu ke udara. Justeru, angin yang menentanglah sumber kekuatannya.Sama ada kita sedar atau tidak,  hidup kita ini melalui pelbagai proses. Gagal dan berjaya itu suatu proses kematangan.

Adakala kita ini dipuji dan adakalanya kita dikritik.

Adakalanya kita dikritik hebat oleh rakan-rakan dan majikan.
         
“ Saya tidak yakin dengan kemampuan kamu”
          “ Tugasan kamu tidak dilakukan dengan sempurna”
          “ Kamu tidak dapat menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya”

Jadi, apa pilihan yang ada pada kita. Melenting? Pasti pada mulanya kita berasa terhina dan marah kerana sindiran tersebut. Tetapi sedarkah kita bahawa sindiran dan kritikan tersebut sebenarnya telah membongkar kelemahan dan kekurangan kita. Kekurangan itulah harus dibaiki. Lantas, apabila kekurangan dan kelemahan itu dibaiki kita bakal menjadi seorang yang hebat.

Maka, kita harus mengucapkan terima kasih kepada orang yang mengkritik . Sama seperti kes layang-layang yang terbang kerana angin yang merintangi usahanya naik ke puncak. Layang-layang tersebut harus berterima kasih kepada angin yang menentangnya. Jika tiada angin yang menentang mana mungkin ia boleh berjaya menghasilkan  tekanan untuk naik ke atas.

            Tip terima kasih      
1. Ucapkan terima kasih kepada rakan atau majikan  yang mengkritik diri anda.
2. Analisa kelemahan diri melalui kritikan mereka dan bina semangat baru.
3. Perbaiki kesilapan lalu dan cuba lakukan penambahbaikan.
4. Berlapang dada dengan semua orang.
5. Jadilah pendengar yang setia.
6. Sudi untuk mendengar kritikan orang.

“Berterima kasihlah kepada angin yang menentang, kerana tanpanya layang-layang takkan naik ke udara”
“Berterima kasihlah kepada pengkritik, kerana tanpanya kita mungkin akan terus sombong dan tidak menyedari apakah kekurangan dan kesilapan diri”

Sumber cerita: Tn Hj Zailan b Wagiman
              Ketua Sektor
              Sektor Psikologi dan Kaunseling                        
Jabatan Pelajaran Selangor