Motivasi pagi: Jadilah orang yang kaya kasih sayang

April 10, 2012

“Jadilah orang yang kaya kasih sayang”
“Kasih sayang itu suatu tenaga”
“Kasih sayang itu bagaikan akaun bank yang penuh dengan wang ringgit”

Hakikatnya begitulah. Dalam ruangan motivasi pagi radio ikim.fm yang saya dengar pagi ini mengandungi falsafah tentang kasih sayang yang sangat tinggi nilai. Terus dikongsi kepada rakan taulan supaya memberikan aura positif kepada mereka.

Hakikat kasih sayang ini suatu tenaga dan aura positif. Datangnya dari dalam hati diterjemahkan melalui senyuman dan tindakan. Akhirnya akan menghasilkan tenaga kerja yang sangat mengujakan. Bekerja dari dalam hati hasil dari aura tenaga kasih dan sayang.

Di pejabat, kita bagaikan terbiasa dengan budaya menyalahkan orang. Fikiran sentiasa negatif hanya disebabkan salah tanggapan.

Ada suatu cerita:

Pada suatu hari, masuklah seorang bapa dan 2 orang anak ke dalam sebuah tren komuter. Ayah duduk dalam keadaan sugul membiarkan anaknya berlari ke sana-sini. Karenah anaknya itu sangat menimbulkan rasa kurang puas hati pengguna yang lain. Sudahlah berlari, malah diganggu pula orang yang lain. Habis tumpah air kopi yang sedang diminum seorang penumpang.

Akhirnya, seorang lelaki sudah tidak dapat menahan sabar. Lalu, lelaki itu menghampiri bapa kepada anak-anak itu.

“Saudara, anak saudara sangat mengganggu kami. Mengapa dibiarkan sahaja”” katanya.

“Oh..maafkan saya. Saya sebenarnya baru pulang dari kampung” katanya.

Dalam nada sebak lelaki itu terus cuba bersuara ” Saya baru pulang dari kampung menguruskan kematian isteri tercinta. Anak saya yang dua orang itu sebenarnya baru sahaja kematian ibunya yang tercinta. Maafkan saya”.

Lelaki tersebut terkedu. Tidak terkata. Sedih dan rasa bersalah kerana membuat anggapan buruk terhadap bapa tersebut.

“Maafkan saya. Saya minta maaf” hanya itu sahaja yang mampu diungkapkan.

Saudara, adakalanya kita terlalu mudah untuk membuat andaian, tanpa mengetahui keadaan sebenarnya. Mudah sangat kita membuat kesimpulan tanpa bertanya dan menyelidiki sebab musababnya. Jadi, tiada kasih sayang dihambur malah, kritikan pedas menjadi peluru yang tidak bermata.

Jadi, mari kita betulkan sikap kita. Mari tanam benih kasih dan sayang. Kita bajai dengan senyuman dan pertolongan selayaknya.

Ruzain Syukur Mansor


DI SINI IMPIAN BERMULA

March 18, 2012

Tanpa dirancang, minda begitu pantas mengingati memori lampau. Pada tahun 1993-1997, bumi SMA Izzuddin Shah Ipoh mennjadi saksi segerombolan anak remaja meniti usia membina impian. Lewat tahun 2000, sebahagian daripada mereka bergelar peguam, guru, arkitek, engineer dan menjawat jawatan di pelbagai agensi seluruh tanah air. Ada yang lebih bertuah merasai kehangatan dan kesejukan di tanah orang.

Setelah bertahun meninggalkan bumi ini, hari ini diri ini kembali ke sini mengabadikan kenangan terindah , mengutip mutiara pengalaman selama berada di taman ilmu dan budi ini. Di sini, terakam pelbagai memori indah suka dan duka kehidupan seorang anak yang dihantar oleh ibu dan ayah untuk berjaya menjadi insan. Terima kasih abah dan mak yang tidak putus-putus mendoakan anakanda untuk berjaya.

Di bumi inilah, segala curahan ilmu menjadi benih yang menumbuhkan impian dan 1001 cita-cita. Sebahagiannya sudah pun menjadi kenyataan. Terima kasih cikgu. Segala doa dan curahan ilmu serta budi cikgu-cikgu akan tersemat kukuh di sanubari ini. Terima kasih yang tidak terhingga.

Teman-teman alumni SMA Izzuddin Shah Ipoh khususnya tahun 1993-1997, memori bersama kalian terpahat kukuh di dalam hati. Maaf lama tidak bertemu. InsyaAllah akan bertemu tidak lama lagi. Moga apa yang kalian rancang dapat kali inni kita sertai bersama. Itulah berkat benih ukhuwwah kasih sayang disemai atas dasar iman. walau dimana pun kalian berada, teruskan membina impian. Tumpang bangga melihat kalian berjaya di dalam kehidupan. Mari saling mendoakan sesama rakan.

Agak sukar mengungkap memori lama dengan kata-kata. Setelah lama bumi ini ditinggalkan , semakin kerinduan menggamit rasa. InsyaAllah akan dikunjungi lagi. Tetapi misinya lebih bermakna, mahu menjejak guru-guru, ustaz dan ustazah yang membenarkan saya membina impian di bumi bertuah ini.

Terima kasih abah dan mak, terima kasih cikgu, terima kasih teman-teman

Tribute untuk
Guru-guru
Teman-teman seangkatan
Alumni SMA Izzuddin Shah 1993-1997


ANDAI AKU MEMAHAMI

February 16, 2012