BERGURU DENGAN TUAN FAUZUL AKADEMIPENULIS..TERIMA KASIH TUAN.

November 29, 2010


Ianya berlangsung dalam sekelip mata. Terbaca iklan di Facebook, mendaftar dan terus hadir ke training.com untuk kursus penulisan kendalian tuan Fauzul AkademiPenulis.

SATU
Tuan Fauzul berjaya membina brand untuk dirinya. Pakar jurulatih penulisan. Pakar dalam melatih penulis super serta aspek-aspek berkaitan dengannya. Malah menjadi perunding untuk beberapa organisasi swasta dan kerajaan

Kita harus akui perkara ini. “Atas tiket apa kita ini mahu dikenali?. Penulis motivasi, agama, dakwah, novelis?” tambahnya lagi. Lantas membawa erti kita harus membina kepakaran untuk dikenali. Perlu fokus kepada suatu bidang untuk membina brand dan jatidiri penulisan.

Saya mahu dikenali sebagai penulis motivasi dakawah remaja. Buat ketika inilah, tapi pada masa akan datang saya tidak mahu menyempitkan sasaran penulisan.

DUA
Kita menulis apa yang orang lain mahukan. Penulis yang tidak dibaca bukunya adalah penulis syok sendiri. Apalah ertinya menulis dengan pada jangkaan kita hebat isinya tetapi langsung tidak mahu dibaca orang. Lantas ini perihal kajian pasaran. Lakukan sedikit analisa pasaran. Karya bagaimana yang disukai pembaca. Memang ada konflik antara minta sendiri dan permintaan pembaca. Beginilah, seimbangkan antara keduanya. Ini bagi memastikan bahawa buku anda itu tidak hanya terperuk di dalam stor penerbit dan menjadi bebanan kepada mereka kerana tidak laku di pasaran. Kecuali anda penulis yang memang suka melabur untuk menerbitkan buku sendiri dan tidak kisah samada buku tersebut dijual ataupun tidak.

TIGA
Menulis perlu ambil tahu dasar dan strategi pemasaran penerbit. Jangan hanya sembrono menghantar manuskrip kepada penerbit tanpa tahu dasar penerbitan penerbitan. Bagaimanakah dasar bahasa manuskrip yang diterima.Fikirkan. Ambil tahu juga tentang masa yang sesuai untuk menghantar manuskrip.

EMPAT
aspek teknikal jangan dilupakan. Ambil tahu tentang perjanjian penerbitan. Baca dan fahami sedalamnya. Tanya dan berundinglah dengan penerbit jika mahu penambahbaikan. Aspek royalti terutamanya.

LIMA
KONSISTEN DAN TUNJUKKAN KREDIBITI SEBAGAI PENULIS
Menjadi penulis yang baik harus juga hebat di mata editor dan pengarah penerbitan. Tunjukkan anda dalah penulis yang profesional dan tidak melatah. Cuba dan terus mencuba untuk metakinkan abhawa karya anda istimewa dan indah. Penerbit meneriba banyak karya berbentuk manuskrip. Bagaimana mahu manuskrip anda dipilih?. Pastikan ia luar biasa, kreatif, inovatif dan dalam bahasa ekonominya …boleh dijual.

Lain-lain akan dikemaskini nanti. Projek penulisan belum bermula sepenuhnya. InsyaAllah akan rancak sedikit masa lagi..

Ruzain Syukur Mansor


TIP MEMPERSEMBAHKAN MANUSKRIP SECARA PROFESSIONAL

November 24, 2010

Semalam saya berkesempatan untuk menghantar manuskrip buku motivasi remaja menemui pihak penerbit yang tersohor di Batu Caves (biarlah saya rahsiakan dahulu buat sementara waktu nama penerbitnya…)

Ada tip berguna yang saya praktikkan semasa bertemu dengan editor, mungkin boleh menjadi panduan buat teman-teman

SEBELUM
1.Sediakan 1 set profil penulis
2.Jangan lupa sediakan juga 1 set kertas cadangan buku
3. 1 set manuskrip buku (jika sudah sedia untuk diserahkan kepada editor)
4. Burnkan cd yang mengandungi semua butiran dia atas
5. Setkan temu janji dengan editor berkenaan sehari sebelum pertemuan (seelok-eloknya)

SEMASA PERTEMUAN
1.Berpakaian dengan kemas

2.Hulurkan kad nama dan perkenalkan diri (serahkan profil diri)

3.Ceritakan sedikit tentang pengalaman penulisan untuk meyakinkan editor

MULAKAN PEMBENTANGAN
1. Ceritakan konsep manuskrip buku secara jelas A-Z

2.Benarkan editor bertanya.

3.Jelaskan lagi konsep buku sehingga editor benar-benar memahami susunan bab serta mengapa ia ditulis sedemikian rupa

4.Cadangkan sebarang buku sebagai panduan atau contoh konsep bagaimana buku anda itu akan direkabentuk

5.Cadangkan siapakah sasaran sebenar buku anda itu. Siapakah agaknya golongan yang akan membaca buku anda itu nanti?

6.Cadangkan juga bagaimana buku itu akan dipasarkan. Alangkah bagusnya jika penulis juga memainkan peranan untuk memasarkan buku tersebut. Contohnya bertuahnya jika anda seorang penceramah yang juga akan membawa buku sepanjang program tersebut. Mungkin ada yang berminat untuk membeli selepas program

7.Berbincanglah dengan editor tentang masa hadapan buku tersebut. Apakah ada siri-siri seterusnya?. Atau apakah ada pelan selanjutnya untuk menghasilkan buku-buku seumpamanya.

MENGAKHIRI PERBICANGAN
1.Mengucapkan terima kasih kepada editor kerana sudi untuk meluangkan masa

2.Mendoakan yang terbaik moga ada ruang untuk menerbitkan buku tersebut.

3.Mengakhiri pembentangan dengan nada yang positif, terbuka dan tidak memaksa editor untuk membuat keputusan. Editor akan membentangkan manuskrip tersebut kepada pihak pengurusan untuk dinilai.

4.Tinggalkan sebarang nombor atau email untuk dihubungi oleh editor.

5.Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Menghadapi penolakan adalah kemungkinan biasa bagi seorang penulis. Malah, ia adalah perkara yang paling membina buat diri penulis. Ini kerana setiap penolakan akan memungkinkan ruang muhasabah diri. Mungkin bahan yang ditulis belum mampu memikat hati editor atas sebab tertentu.

Moga-moga manuskrip buku motivasi remaja yang saya serahkan untuk penilaian penerbit di Batu Cave ini diberikan penilaian sewajarnya. Apa yang menarik hati, layanan profesional seorang editornya. Ini baru benar-benar professional. Maka berhadapan dengan editor professional begini juga harus dengan secara professional. Baru hasilnya nanti pasti hebat.

Ruzain Syukur Mansor


DETIK YANG DINANTI SUDAH TIBA

November 20, 2010

Detiknya sudah tiba. Apa ya?. Cuti sekolah. Bagi insan guru cuti sekolah bukanlah suatu yang mutlak. Boleh dipanggil bertugas pada bila-bila masa.

Bagi penulis separuh masa seperti saya, ini detik untuk mengemaskan mana-mana manuskrip yang longgar. Masih ada manuskrip yang perlu dihantar kepada penerbit. Mencuba dengan sebuah penerbit yang agak tersohor di Malaya. Mana tahu ada ruang dan peluang di depan mata.

Mengalami penolakan bagi seorang penulis yang ‘tiada nama’ adalah perkara biasa. Tiada soal putus asa. Penolakan terhadap manuskrip akan membuka mata penulis tentang kecacatan yang ada. Ya bagus kalau begitu. Lantas ada ruang penambahbaikan.

Dasar penerbitan sebuah syarikat penerbitan berbeza. Lantas bijak-bijaklah menghidu peluang disamping memahami apakah dasar penerbitan syarikat tersebut. Ada syarikat yang mengamalkan dasar bahasa melayu tinggi. Lanats hormatilah dasar mereka. Patuhi syarat yang ditetapkan. Siapa lagi yang ingin kita harapkan untuk memartabatkan bahasa kalau tidak kita ini sidang penulis.

Apa yang penting, kita meletakkan sasaran kepada dunia penulisan peribadi. Setelah bakal terbit dengan buku kedua Dakwah dan Teknologi maklumat terbitan jakim, saya makin yakin. Mula pula meneroka bidang baru sebelum menempuh dunia penulisan imiah tahun hadapan. Menulis karya ilmiah untuk tujuan akademik memang jauh sangat bezanya dengan penulisan kreatif.

Selamat menulis wahai penulis bebas. Ramai yang menanti karyamu


AKAN TERBIT! DAKWAH & TEKNOLOGI MAKLUMAT TERBITAN JAKIM

November 6, 2010

4 November 2010, saya menerima panggilan yang dinanti-nanti. Panggilan yang mencetus senyum berpanjangan

“Manuskrip Dakwah dan Teknologi Maklumat yang saya tulis itu akan diterbitkan oleh JAKIM bulan 12 ini”

Manuskrip Dakwah dan Teknologi Maklumat ini juga punya sejarah yang amat panjang. Melalui proses penulisan yang amat meletihkan. Turut melalui kajian yang pelbagai. Bacaan majalah, jurnal dan buku-buku dakwah. Pernah dinasihatkan oleh editor untuk ambilnya kembali untuk diterbitkan di tempat lain. Tetapi rezekinya bersama JAKIM. Saya punya sejarah yang panjang dan baik dengan JAKIM. Pernah diberi ruang yang banyak untuk menulis dengan majalah Cahaya dan Sinar Rohani terbitannya.

Buku ini diharapkan mencetuskan sesuatu dalam dunia dakwah. Saya berharap buku ini dibaca oleh ketua-ketua jabatan sehinggalah kepada pengarah jabatan dakwah di mana-mana organisasi. Individu berpengaruh ini mempunyai sedikit kuasa untuk mencetus perubahan. Biar dakwah masakini tidak kalah kepada kecanggihan penggunaan IT. Biarlah dakwah dalam pelbagai lapangan bijak menggunakan sumber teknologi maklumat sebagai medium. Biar program dakwah sifatnya menggunakan IT dan pelbagai kecanggihan sumber teknologi.

Pendakwah berperanan untuk menghapuskan kemungkaran di alam maya. Jadi menjadikan internet sebagai medan dakwah khususnya menghapuskan salah tanggapan terhadap Islam menajdi suatu tugas penting. Lantas buku Dakwah & Teknologi Maklumat ini menjadi suatu bahan bacaan yang memberi kesedaran. Wahai pendakwah, jenguk-jenguklah internet untuk berdakwah. Jelaskan mana yang kusut. Selamatkan anak bangsa. Berikan maklumat tepat bagi teman-teman yang ingin kepada Islam. Itu antara yang dimuatkan dalam buku terbaru saya ini. Tunggukan kemunculannya

Menerima kata-kata semangat daripada teman-teman melalui akaun facebook sungguh mengujakan. Menaikkan semangat yang hampir longlai dek kesibukan tugas asasi pada hujung tahun ini. Menutup akhir tahun dengan terbitan buku ke dua nampaknya amat menarik sekali. Sebagai motivasi indah menyiapkan projek e-Book dan beberapa buku hujung tahun ini

RUZAIN SYUKUR MANSOR


MENULIS MEDAN MELUAH RASA

November 3, 2010

Sesekali menatap blog teman-teman penulis separuh masa sepi tanpa update. Bagi penulis blog daripada kalnagn pendidik, akhir-akhir tahun begini bagaikan tidak cukup masa 24 jam melangsaikan tugasan.

“Dah dua hari tak tidur ni..” kata seorang sahabat ketika bersama menyiapkan data murid untuk dihantar siang tadi.

Daripada data murid, peluang berkursus, komitmen sebagai jurulatih pembangunan diri, persediaan majlis graduasi memerlukan daya ketahanan yang tinggi.

Impaknya?

Blog sepi tanpa berita walaupun hati meronta ingin menulis. Itu hakikat kehidupan seorang penulis separuh masa seperti saya. Malah ramai lagi yang sependapat. Itu hakikat yang perlu di tanggung oleh penulis separuh masa.

Banyak kali diulang dalam blog ini ” orang yang paling bijak mengurus masa adalah orang yang paling sibuk” . Kata-kata yang saya pegang supaya dapat mengurus kerja dengan baik dan dapat mengelakkan diri daripada sindrom suka mengeluh.

Menulis ini suatu pilihan bukannya paksaan. Kecualilah penulis yang menjadikan penulisan sebagai mata pencariannya. Mahu tidak mahu menulis itu satu keperluan.

Maka benarlah, ubat dan penawar bagi kesibukan adalah menghadapinya. Masalah tidak akan selesai jika kita melarikan diri daripada menghadapinya. Kedua, luahkan apa yang terbuku. Justeru, menulis itu juga meluahkan apa yang tersimpan di kalbu. Walaupun menulis di dalam kesibuan itu akan melahirkan penulisan yang menzahirkan kecelaruan minda (cubalah faham-fahamkan ayat tersebut).