UMURMU HANYA PINJAMAN

 

“Tahniah Ruzain?” bos bersuara.

“Kenapa ya hajah?” penuh kehairanan

“Selamat Hari Lahir” tambah bos lagi.

“Allah! Lupa lagi” sambil menepuk dahi.

Seingat ku ini bukan sekali dua malah banyak kali lupa pada tarikh tarikh istimewa sendiri. Hari lahir sendiri pun diingatkan orang.

Ada pelbagai konotasi yang muncul di minda. Samada mahu melupakan bahawa umur yang akan bertambah atau terlalu sibuk berfikir perkara lain.

Umur sifatnya pinjaman. Alhamdulillah, syukur ya Allah. 34 tahun sudah dipinjamkan umur dan usia kepadaku. Sebanyak mana nafas dan udara diberi sepatutnya sebanyak itu jualah sumbangan kepada ummah.

Kalau dikira umur 63 umur wafat Nabi Muhammad SAW, nescaya ia tidaklah berbaki terlalu lama lagi, sedangkan masih banyak impian yang masih belum tertunai. Namun ia masih membara walaupun tertunai entah bila.

Namun, selagi berbaki akan dimanfaatkan minda dan idea untuk membangun jiwa yang alpa. Ada beberapa sasaran dakwah pena yang belum menemui titik usai. Malah, harus segera diberi nafas agar dicapai penuh jaya.

Selangkah menjengah usia baharu, selangkah juga sebenarnya mengetuk pintu barzakh. Ingatan buat diri dan buat yang lupa diri. Bagaikan lidi yang semakin pendek hujungnya dimamah geselan pada simen lantai. Cantiknya peribahasa semakin tunduk semakin berisi terlekat kemas di minda. Semakin kita merendah diri semakin kita dikasihi dan dihormati.

Ini ingatan buat diri demi usia yang berbaki. Buah iman itulah amal. Buah amal pastilah syurga. Selamat hari lahir yang ke-34 buat diriku Ruzain Syukur b Mansor. Moga kau tidak lupa lagi saat hari lahirmu yang ke-35 tahun hadapan. Itupun jika masih diberi kesempatan bertemu dengan tanggal 22 Jun 2015.

Ruzain Syukur b Mansor

Tanggal usia 34 tahun@ 22 Jun 2014

Leave a comment