Tampil Cool Sejak Remaja

February 29, 2012

Ini bayangan kaver buku terbaru saya Tampil Cool Sejak Remaja. Mohon tuan/puan berikan komen.

Ruzain Syukur b Mansor


E-BACA EDISI MAC 2012 YANG ISTIMEWA

February 24, 2012

Assalamualaikum
Salam Pernulisan. Kali ini percubaan menulis daripada Anggerik Terrace Coffee House. Coffee House di tepi jalan yang sangat nyaman. Sambil minum-minum sambil menulis.

Perkenalan dengan e-Baca secara serius dimulakan pada Februari apabila wartawan dan jurufoto majalah tersebut mengunjungi sekolah saya untuk mengutip kisah kejayaan murid dan sekolah tersebut.
Hasilnya? Anak murid saya Hafiz Khuzaimi tahun 6 Amanah dipilih sebagai penghias kaver. Bangga juga rasanya . Hafiz merupakan antara murid yang berjaya mengumpul tabungan hampir RM3000. Wau? Banyak tu. Bagus kan!

Dan, Hafiz juga merupakan salah seorang daripada ahli Pasukan Dikir Barat Bahasa Arab j-QAF sekolah yang telah muncul Naib Johan Peringkat Negeri Selangor tahun lepas.

“Jangan iri hati dengan kejayaan kawan-kawan. Kita harus ucapkan tahniah kepada Hafiz kerana menaikkan nama sekolah. Cerita Hafiz akan dibaca oleh seluruh pembaca di Malaysia” itu nasihat saya merangkap kata-kata motivasi kepada teman-teman Hafiz yang sebenarnya kagum dengan kejayaan tersebut.

Selebihnya, ia mengajar saya bagaimana membantu tugas editorial majalah menyiapkan bahan terbitan bulanan. Lebih mudah sekiranya lengkap kita bekalkan wartawan dengan maklumat yang diingini. Barulah kita ada peluang untuk memiliki jumlah halaman coverage yang lebih banyak.

Ia suatu pengalaman baru. Membantu wartawan dan editorial untuk mempromosikan program sekolah sangat memberikan peluang kepada saya lebih mengenali dunia kewartawanan.

Kewartawanan memang memerlukan pengalaman dan keberanian. Saya terkesan dengan bingkisan itu.

p/s : like fb e-baca untuk perkembangan terkini.

Ruzain Syukur Mansor


SENI MENULIS ARTIKEL MAJALAH

February 19, 2012

Assalamualaikum
Salam penulisan buat semua.

Baru sebentar tadi saya menghantar 2 siri artikel kepada editor sebuah syarikat penerbitan majalah. Syarikat penerbitan tersebut sememangnya sudah lama dan punya brand yang kuat dalam menghasilkan majalah untuk kanak-kanak. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk meneroka pasaran baru iaitu majalah Remaja bercorak Islami.

Al-hamdulillah Allah menemukan jodoh antara kami. Mereka mencadangkan saya untuk mengendalikan kolum teknik belajar memandangkan saya seorang pendidik. Saya mencuba dan siri pertama tulisan saya akan tersiar pada keluaran April nanti.

Lantas, siri kedua mengenai kasih ibu serta guru sempat saya emailkan tadi untuk keluaran bulan Mei. Mei merupakan bulan tema bagi Hari Guru dan Hari Ibu.

Setelah lama meninggalkan kolum dakwah dan IT Majalah Cahaya JAKIM , saya bertemu dengan peluang yang lain pula. Kali ini lebih rapat dengan jiwa saya sebagai pendidik dan pendakwah. Semuanya ketentuan Allah. Penulisan di blog akhirnya menemukan editor dan saya. Rupanya apa yang ditulis kita di dalam blog akan menjadi bahan pemilihan pihak editor sebelum dijemput mempengerusikan mana-mana kolum. Itulah sebabnya jarang sekali saya memuatkan karya penulis lain di dalam blog saya ini. Ini bagi memastikan karya di blog ini 100% milik sendiri. Cuma adalah 1-2 iklan sama ada mewar-warkan peluang sayembara penulisan kepada teman-teman.

Sekiranya diterima artikel tersebut, peluang mengemudi kolum bijak belajar majalah Muslim Teen itu akan saya santuni.

Menulis di majalah tidaklah sesukar menulis buku. Cuma apa yang penting, kita tahu apakah tema bulanan yang ingin ditulis. Contohnya tema bulan Mei pasti berkaitan dengan Hari Guru dan Hari Ibu. Lantas tulislah mengenainya. Namun, penulisan majalah sangat berbeza dari segi time-frame. Bayangkan artikel untuk keluaran Mei sudah sampai ke tangan editor seawal Februari. Bermakna dunia penulisan majalah bergerak mendahului masa. Ini sangat menarik. Jadi, hubungan antara penulis-editor sangat memerlukan komitmen yang sangat rapat.

Penulisan artikel majalah juga terikat dengan format dan konsep majalah tersebut. Ia tidak boleh keluar daripada konsep yang ditentukan oleh editor. Pada saya ia memudahkan proses penulisan kerana tidak perlu bersusah payah memikirkan apakah konsep penulisan yang ingin diutarakan. Cuma cabarannya adakah apa yang ditulis benar-bener menepati konsep yang diingini oleh editor. Itulah sebabnya perlunya hubungan yang baik dengan editor.

Buku VS Majalah. Saya memilih kedua-duanya. Saya memulakan dunia penulisan dengan artikel yang tersiar di majalah. Ia sudah sebati dan sudah maklum strateginya. Menulis di majalah memerlukan daya sensitiviti yang sangat tinggi memandangkan penulisannya yang harus berdasarkan isu dan tema terkini.

Apa yang penting, mulakan dengan sedikit untuk meneroka pasaran yang lebih besar. Sesudah beroleh peluang, komitmen yang tinggi perlu diberikan.

Ruzain Syukur Mansor


ANDAI AKU MEMAHAMI

February 16, 2012


MARI MENUKAR IMPIAN MENJADI KENYATAAN DENGAN MENULIS

February 16, 2012

Assalamualaikum.

Salam Penulisan.

Kita ini hanya akan seumur hidup membaca tulisan orang jika tiada impian untuk menulis. Kita mungkin juga menjadi pembaca blog orang seumur hidup sekiranya tidak memulakan tulisan di blog.

Saudara, sebanarnya, perbezaan antara orang yang berjaya dengan yang belum succes, adalah kebijaksanaan membina impian dan memenuhinya. Berjaya tanpa impian? Anda mungkin antara 1000 indvidu yang dikira bertuah di dunia. Anda mungkin sama ada anak seorang jutawan minyak yang sedang menanti harta tersebut dipindahkan kepada nama anda.

Selebihnya terletak kepada usaha yang menyempurnakan impian.

Kita mungkin meninggalkan anak cucu denganbeberapa bilion harta. Namun akhirnya akan habis juga. Tetapi meninggalkan legasi ilmu melalui tulisan dan karya harap-harapnya menjadi saham akhirat yang sangat bermanfaat.

Saya memulakan impian untuk mula menulis setelah acapkali melihat nama-nama penulis dengan buku-bukunya yang tersusun rapi di rak buku toko buku saban hari. Saat itu , minda mula mengimpikan “bila pula nama aku kelihatan di celah-celah buku di rak buku ini?”

2011, impian tersebut menjadi kenyataan. Terasa sangat puas apabila melihat buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid saya itu terselit di celah-celah ribuan buku di MPH SACC Mall Shah Alam. Ia antara impian yang sudah tercapai.

Impian harus dibina. Impian mennjadi penulis boleh dibina. Malah boleh direalisasikan tanpa perlu punya modal yang tinggi. Cukup dengan laptop dan buku rujukan. Selebihnya kuasa minda dan idea harus diaktifkan.

Tak pandai menulis? Baca sahaja buku kaedah penulisan. Masih buntu? Hadiri sahaja kursus penulisan seperti yang dikendalikan oleh mentor penulisan saya Tuan Zamri Mohammad.

Saya percaya ramai penulis buku tersohor memulakan usaha menjadi penulis dengan mengaktifkan kuasa membina impian. Apa beza angan-angan dan impian? Angan-angan adalah kehendak yang tidak diusahakan. Sedangkan impian adalah kehendak yang diusul dengan strategi yang disusun rapi.

Nah, pilihan di tangan anda. Tepuk dada tanya selera. Jangan hanya membina impian. Jadikan ia realiti. Mana tahu anda juga bakal penulis prolifik nanti.

Ruzain Syukur Mansor


TAMPIL COOL SEJAK REMAJA

February 15, 2012

“Tampil Cool Sejak Remaja”

Ia nada kegembiraan. Lewat petang, saya menerima e-mail daripada editor buku ketiga saya itu. Daripada tajuk sementara “Misi jadi Luar Biasa” ia berubah menjadi “Tampil Cool Sejak Remaja”. terus terang saya katakan ia tidak pernah muncul dalam fikiran. Maksudnya betapa tajamnya idea para editor dan copy writer dalam memberikan brand kepada buku tersebut.

“Ia bakal terbit dalam bulan Mac atau April” itu balasan editor kepada saya.

Jika benar, alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kepada Allah. Pesta Buku 2010, terbit dengan Tip Urus Kelab Remaja Masjid. Pesta Buku 2011 terbit dengan buku Dakwah dan Teknologi Maklumat. Pesta Buku 2012 bakal pula terbit dengan buku Tampil Cool Sejak Remaja.

Ia bukan juga suatu proses yang singkat. Lain penerbit lain gaya persembahannya. Saya merasakan produk kali ini akan tampil dengan pakej berbaloi. Apatah lagi memahami kegemaran remaja ini suatu proses yang agak sukar. Minatnya terlalu cepat berubah dan sukar dibaca. Lantas, menulis buku mengenai remaja terlalu banyak cabarannya. Bahasa kena tepat kepada sasaran. Tidak pula menggunakan bahasa membebel. Memuji sekali sekala. Yang penting adalah menyediakan tip ringkas yang berguna kepada mereka.

Jadi, saya harus terus bersabar menanti buah tangan yang ketiga saya itu. InsyaAllah jika diberi kebenaran oleh editorial, buku terbaru ini akan mendapat endorsement atau sedikit testimoni daripada salah seorang penulis yang sangat bijak memberi inspirasi. Saya nantikan dengan penuh sabar.

Sabar rupanya teman yang setia bagi seorang penulis. tetapi sabar kali ini insyaAllah berbaloi-baloi. sama-sama nantikan ya!

Ruzain Syukur Mansor
bakal terbit dengan buku “Tampil Cool Sejak remaja terbitan PTS Millenia Sdn Bhd”


CATATAN SARJANA: LULUS TETAPI BELUM LULUS

February 15, 2012

Jangan beralih! Ini benar-benar berlaku.

Lulus tetapi belum lulus.

Bagi calon sarjana, lulus bahagian kerja kursus, belum bermakna lulus dan sah bergelar sarjana. cabaran sebenar baru sahaja bermula. cabaran menyusun komitmen diri.

Pagi tadi saya saya sempat meninjau keputusan akhir bagi matapelajaran Kaedah Pengajian Usuluddin, subjek terakhir bagi mod kerja kursus sebelum memulakan penulisan. Alhamdulillah, berjaya juga akhirnya.

Sesudah itu memberanikan diri untuk mendaftar diri sebagai calon penyelidikan. Tajuk masih belum dihantar. Penyelia pula akan dirujuk tidak berapa lama lagi. Risau juga memandangkan literature masih belum mantap.

Jangan lagi menoleh ke belakang. Kenangan mengusahakan tugasan dan menjawab kertas peperiksaan sudah menjadi sejarah. Apa yang perlu di hadapan adalah kemahiran menjadi bacaan dan kajian serta pemerhatian sebagai suatu penyelidikan yang bermutu tinggi. Malah menyumbang sesuatu kepada corpus ilmu.

Kemahiran utama adalah kemahiran mengurus komitmen. Sesudah itu kemahiran mengenalpasti masalah utama yang ingin dikaji. Lantas strategi disusun untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat. Akhirnya maklumat dicanai sebaiknya untuk tujuan penulisan hasil kajian.

Melihat kepada teman-teman yang sudah memulakan rentak, rasanya saya tidak mahu ketinggalan. Impian bergelar sarjana nampaknya hanya bagaikan di seberang lautan. Kayuhan menuju seberang tidaklah sesusah mahu memulakan rentak.

Moga-moga Allah berikan keringanan dan semangat yang dicari-cari. InsyaAllah , jika kita mahu Allah tunjuk jalan yang harus dituju. Amin

Ruzain Syukur Mansor
IGB 100059


BEDAH BUKU@SKTM

February 13, 2012

Peristiwa bedah buku ini pernah saya mimpikan malahimpikan beberapa ketika dahulu.

“Ustaz, mohon mulakan slot pertama Bedah Buku di perhimpunan pagi Isnin nanti!” pelawa Puan Sharifah, guru Pusat Sumber sekolah tempohari.

Peluang yang sangat bagus.

Lantas saya memilih untuk membedah buku Motivasi 5A UPSR terbitan PTS Profesional. Karya ini hasil buah tangan Tuan Zulkifli Ismail, Tuan Mat Daus Osman dan Tuan Taufik Abdul Rahim.

Ada elemen motivasi yang ‘menggigit jiwa’. Maaf saya berkata begitu memandangkan ia bagaikan menggamit perasaan ingin kembali menebus kembali kegagalan lama. Tetapi UPSR bukan satu-satunya medan untuk menempa kejayaan. Ia permulaan kepada satu perjalanan yang sangat panjang.

Saya katakan kepada anak-anak murid saya tadi betapa buku ini punya keistimewaan. Ia gabungan elemen motivasi dan tekbnik belajar. Di celah-celah bingkisan motivasi ada kisah-kisah inspirasi yang memberikan semangat.

Membacanya bagaikan sedang mengikuti program motivasi Teknik Belajar 3 hari 2 Malam. Antara yang dimuatkan dalam buku ini adalah:

Teknik Membuat Nota

Pengurusan Masa

Cara Belajar Berkesan

Kemahiran Belajar

Teknik lulus 5A UPSR

Apa yang lebih penting, murid-murid saya telah didedahkan dengan suatu lagi bingkisan ilmu yang sangat menarik. Sesi bedah buku ini kelihatan baru kepada anak sekecil 7-12 tahun, tetapi sangat bermakna kepada para pencinta buku. Bedah buku adalah suatu peluang untuk pencinta buku berkongsi kegembiraan menitipkan mutiara minda buat khlayak.

“Ringkas, padat dan menarik” komen seorang teman sebentar tadi.

Moga-moga siri Bedah Buku akan terus subur untuk tujuan galakan membaca. Sesudah membaca, ia perlu dikongsi bersama.

Ruzain Syukur Mansor


Ya Rasulullah

February 7, 2012