MENULIS SEOLAH BERCAKAP?

May 29, 2010

Malam tadi saya memberikan sedikit tazkirah kepada rakan-rakan pendidik SK Sawah Sempadan.Mereka ber family day di Port Dickson.Semalaman menyediakan teks tazkirah.

“Saya bukan penceramah profesional”, saya memetik kata-kata sahabat Ustaz Sahrul Azmi.Justeru saya menggunakan saat-saat genting untuk menyediakan teks tazkirah. Saya bukan penceramah yang mampu terus beraksi spontan.Saya belum ke tahap itu.Di celah-celah lampu neon, saya berpandukan teks tazkirah yang saya tulis.Al-hamdulillah.Baru belajar-belajar memberi tazkirah.

Justeru, bagaimanakah bahasa teks tazkirah yang saya sempat hasilkan.Adakah bahasanya seolah-olah saya berbicara dengan khalayak?.Selayaknya begitu.Ini saya inspirasikan daripada pembacaan buku-buku Ustaz SahrulAzmi Sidek.Yang terbaru, Berani Berubah Dari Sebutir Jagung.Berbicara dengan khalayak.

Jika begitu, teks khutbah yang di baca khatib, (pendapat saya) terperangkap di antara olahan membaca teks, atau sepatutnya teks yang seolah bercakap dengan pendengar.Fahamkah saudara? pening juga ingin merungkaikannya.

Begini:
“Sedarkah tuan-tuan bahawa masalah sosial hari ini semakin meruncing.Berapa ramaikah dari kalangan anak gadis kita mengandung tanpa diketahui ayahnya?”

“Bagaimana agaknya kita ingin merungkai masalah ini.Beratkan saudara?.Malang sungguh rasanya, jika kita hanya tahu menggeleng kepala tanpa membuat sesuatu.Malah kita hanya sibuk mengata itu dan ini .Hakikatnya, di manakah kita di saat remaja kita di kepung dengan pelbagai cabaran?. Di kedai kopikah kita?, atau di beranda masjidkah kita sambil menghisap rokok berkepul-kepul !”

Saya rasa pasti ramai yang tersedak-sedak jika khutbah jumaat dibaca berbunyi begitu.Khatib seolah berkomunikasi dengan khalayak di hadapannya.Itu gaya bahasa penulisan tetapi seolah bercakap-cakap dengan audien.

Sebaliknya pula, teliti gaya bahasa penulisan di bawah.

“Masalah sosial masakini sudah agak meruncing.Sejumlah XXXXX bayi kes buang bayi di laporkan di negeri XXXX pada tahun 2010.Ia menampakkan pertambahan yang amat membimbangkan.Kita sebagai ahli masyarakat perlu menggandakan usaha bagi membasmi gejala pembuangan bayi ini.”

Gaya mana satu yang lebih berkesan?Gaya pertama bukan! Menulis tetapi seolah berkomunikasi dengan pembaca.Kalau khutbah , konsep teks yang di tulis seolah khatib berbicara dengan sidang hadirin.Barulah berkesan.

Itu antara apa yang dikongsikan bersama ketika majlis Pra Penulisan bahan ceramah Jurulatih Dakwah Klang baru-baru ini.Cabaran menulis masakini adalah untuk menghasilkan bahan yang di baca orang.Ada bahan baru.Fakta baru.Menarik dan bukan perkara biasa.

Ruzain Syukur


MENULIS MODUL MUHASABAH..

May 28, 2010

Remaja..

Saya berdepan tugas berat.Di amanahkan untuk membentuk modul muhasabah atau “re-call” kepada madu’ UPSR/PMR dan SPM yang akan diguna pakai oleh Jurulatih Dakwah daerah Klang.Satu bengkel Pembinaan Modul Ceramah Hari Kebesaran Islam akan dijayakan oleh Jurulatih Utama Dakwah Daerah Klang di Institut latihan dan Dakwah Selangor di Sabak Bernam 1-3 Jun ini.

Melembutkan hati remaja bukanlah tugas mudah.Menyentuh hati yang sudah keras juga sesuatu yang sukar.Tetapi sentuhan-sentuhan hati itulah mampu mencairkan hati-hati remaja dan anak-anak kita.Puas sudah guru-guru menggunakan segala pendekatan.Psikologi, kaunseling, ‘rotanlogi’, namun kes-kes disiplin di sesetengah sekolah masih berada di tahap membimbangkan.

Apa mungkin dengan gaya muhasabah yang menyentuh hati mampu melembutkan hati mereka?.Sentuhan kasih sayang melalui zikir yang mendayu-dayu.Alunan ayat-ayat Al-Qur’an yang mengusik kalbu.Serta berperanankah ingatan terhadap dosa-dosa yang lalu kepada jiwa mereka?.

Mengendalikan sesi muhasabah memerlukan kekuatan pengendalinya.Kekuatan emosi, serta bijak memainkan perasaan peserta.Bukan mudah.Bukan sedikit sesi muhasabah yang menjadi bahan gelak ketawa peserta hanya kerana pengendali kurang cekap mengendalikannya.

Justeru, saya kini mencari-cari idea, bagaimanakah nanti modul muhasabah yang memang jarang di dokumentasi orang mampu di realisasikan.Memang sukar tetapi tiada yang mustahil.Jika kita berharap Allah memudahkannya.Jika kita mengharapkan kemudahan daripada Allah.

Saya bakal menimba ilmu baru dalam dunia penulisan.Iaitu ilmu penulisan modul muhasabah.Salah satu cabang daripada dunia penulisan sejak saya berjinak-jinak dengan unit Pendidikan Islam PPD mahupun JPS.

Ruzain Syukur Mansor

Sesetengah


MENGHARGAI WAKTU SIBUK

May 25, 2010

Assalamualaikum.

Sedar tidak sedar, 2010 sudah menghampiri setengah tahun perjalanannya.Diri saya juga melalui perkara-perkara baru.Selamat melancarkan buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid, berkhidmat di sekolah baru serta pelbagai perkara lagi.

Mei menuju ke Jun merupakan antara waktu yang agak sibuk bagi seorang guru.Usai sambutan Hari guru, kini bersedia menghadapi peperiksaan pertengahan tahun.Pasti sibuk cuti nanti dengan menanda skrip jawapan.Data oh data, jangan dilupakan.E-laporan, LAB, dan pelbagai data untuk dikemaskini.Pesan saya kepada diri diri:

“Jangan jadi cikgu jika malas!”

Momentum bagi penulisan artikel di majalah dan akhbar sedikit menurun tahun ini.Beralih arah.Belajar membimbing orang untuk menulis.Al-hamdulillah.Setakat ini berjaya mengadakan tiga bengkel penulisan blog dan buletin.Buletin ringkas dan mudah untuk remaja.Masjid Jumhuriah dan Bukit Jelutong.Sekurang-kurangnya blog Wadah Basyiroh (remaja Bukit Jelutong Shah Alam) sudah mula mengorak langkah memulakan usaha penulisan dakwah untuk remaja. Satu usaha sedikit berdikit-dikit.

Seingat saya Mei atau Jun 2009 juga terlibat dengan bengkel pemurnian buku Guru Jutawan Akhirat Jabatan Pelajaran Selangor.Buku dakwah tersebut kini sudah ditatap oleh rakan-rakan guru seluruh negeri Selangor.

Mei tahun ini pula berpeluang untuk menjadi panel penulis team Jurulatih Dakwah Daerah Klang untuk Projek Penghasilan Modul Ceramah Hari Kebesaran Islam.Ini usaha mengumpulkan para jurulatih dakwah dalam membina modul yang boleh digunapakai dalam ceramah-ceramah di sekolah.Amat bertuah rasanya kerana dapat bersama-sama menganggotai panel penghasilan modul ini.

Apa lagi ya? undangan menjadi ‘artis jemputan’ rakan seperjuangan sewaktu di Sawah Sempadan masih perlu diusahakan.Mencari tajuk dan topik yang sesuai untuk di kongsi bersama rakan-rakan pendidik yang pernah mendewasakan saya 2-3 tahun kebelakangan ini.

Teringat saya kepada pesan Puan Martinelli , pembimbing dakwah saya ketika berada di UIAM dahulu.

“Orang yang paling hebat menguruskan masa adalah orang yang sibuk”

Saya cukup terkesan akan kata-katanya sehingga ke hari ini.Di dalam kesibukan itu ada sesuatu yang hebat akan di hasilkan.Penat dan lelah itu suatu masa nanti kan terasa kemanisannya.Penat dan lelah menghasilkan manuskrip Tip Urus Kelab Remaja Masjid suatu ketika dahulu seolah-olah hilang di saat berada di pentas perasmian buku tersebut.

Ada lagi..Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. salah satunya , masa lapang sebelum datang masa sibukmu..

Justeru menghargai waktu sibuk itu suatu perkara yang agak penting untuk difikirkan.Kesibukan bukan untuk kita mengeluh kesah.Kesibukan dan tanggungjawab mendatang adalah suatu amanah yang perlu di bereskan.

Moga-moga kita tergolong di dalam insan yang sentiasa bersyukur di atas nikmat yang Allah berikan.Selagi mampu, tanggungjawab itu harus di bereskan.Biar kita menjadi orang yang sibuk.Bukan penyibuk.Biar kita mengejar masa.Bukan di hambat masa.Biar kita menghargai masa.

Hargai waktu sibuk!

Ruzain Syukur


SELAMAT HARI GURU..

May 18, 2010


Merenung kembali senarai entry di blog akademipenulisbebas ini, memang tidak lari daripada membicarakan isu pendidikan.Sementelah sebagai seorang pendidik, itulah topik yang dilihat di depan mata setiap hari.Hari-hari berhadapan dengan murid dan guru.Papan putih dan pen marker.Tapak perhimpunan dan kantin.Makmal komputer dan perpustakaan.

16 Mei 2010.Itu tarikh keramat bagi insan guru.Diraikan seadanya.Hari Guru.Tersenyum girang saat menatap kiriman sms rakan dan teman.

Guru pembina negara bangsa.Guru penyambung warisan.Guru membina manusia.Opps..minda manusia.Sehingga mampu untuk membentuk arah dan tujuan dan arah kehidupan.

Siapalah kita tanpa guru.Ingatlah kita kepada sajak Usman Awang.Guru O Guru.Seorang doktor mampu merawat segala macam sakit.Tapi sedarkah kita siapa yang terlebih dahulu merawat “sakit dirinya di kala tanpa ilmunya” suatu ketika dahulu.Tentulah guru.

Justeru, hari guru merupakan medan muhasabah diri.Kejayaan yang kita capai hari ini, pasti dimulakan langkahnya dengan mengenal A,B, dan C.Ingatlah kita pada sukar dan jerihnya cikgu memahamkan kita.Ingatlah kita kepada sukar dan payahnya cikgu mengajar adab.Supaya pandainya kita nanti penuh beradab.

Terima kasih cikgu-cikgu di SK Telok Buloh, SMA Izzuddin Shah, UIAM serta Institut Perguruan Teknik Cheras.Kalian bagaikan mutiara yang sentiasa bersinar.Menerangi kegelapan.Menghapus kejahilan.Moga terus membangun anak bangsa.Amin

Buat rakan-rakan seperjuangan yang pernah memberi banyak pengalaman di Sawah Sempadan, kalian tetap di hatiku.Rindu rasanya akan ketenangan sawah padinya.Rindu dengan keseronokan berada dengan rakan-rakan guru-guru di Sk Sawah Sempadan.Sawah Sempadan memang terpahat di jantung dan hatiku.

rakan-rakan di SK Telok Menegon.Terima kasih kerana menerima kehadiranku sebaiknya.Terima kasih daun keladi.
Ruzain Syukur Mansor


SETABAH HATI IBU..

May 9, 2010

Pagi itu pagi yang bahagia.Hari Raya Aidil Adha.Tahun 2004.Tapi ada cerita sedih yang ingin kuceritakan.Di saat itu ibu menunjukkan tanda-tanda kesakitan.Kesakitan yang amat sangat.Jelas di wajahnya.Aku kerisauan.Begitu juga yang lain.Apakah ini ujian untuk ibu?

Keadaan menjadi semakin menajdi tidak keruan.Kesakitan ibu tidak terperi.Itu jelas melalui riak di wajahnya.Kami segera bertindak.Ibu segera di bawa ke hospital Sabak Bernam.Entah kenapa hati ini begitu sebak.Risau yang amat sangat.

“Mak di syaki mengalami masalah jantung” ringkas kata-kata cho, abang yang sulung.Tetapi penuh kerisauan.Gawat sekali.

“Patutlah teruk sangat kesakitan yang di alami ibu tadi” hatiku terus bermonolog.

Seketika menanti di penghujung simpang 3, sebuah ambulan laju memecut membawa ibu ke hospital Teluk Intan untuk rawatan lebih rapi.

Keadaan ibu begitu membimbangkan.Perlukan rawatan lanjut.Tidak lama sahaja, ibu bertuah kerana segera menerima rawatan di IJN.Ketika itu aku mengenali apa itu Angiogram.Beratnya rasa hati melihat tubuh ibu lemah menerima rawatan.Pembedahan demi pembedahan.Ibu lemah.Tetapi semangat anak-anak menguatkan semangat.Ibu yang kukenali memang kental semangatnya.

Dipanggil ke ICU dan bilik pembedahan mengiringi pembedahan ibu cukup menggerunkan hati.Lantas doa dan zikir peneman yang setia.Tidak sanggup rasanya melihat ibu mengalami keadaan itu.Namun ,semuanya atas tiket usaha.Ibu redha dengan ujian.Abah juga begitu.Dugaan ke atas ibu, menguatkan ukhuwwah kami adik beradik.

Abah insan yang amat tabah.Di rautnya penuh ketenangan.Doa dan zikir membasahi lidahnya.Di sebalik gelodak hatinya hanya Allah yang tahu.Abah penguat semangat kami menghadapi penderitaan yang di tanggung ibu.

Kami dilahirkan ibu sembilan orang adik beradik.Cho, nyah, alang, uda, andak, anjang, Tam, tih dan Cu.Complete set.Satu ibu tetapi pelbagai perwatakan.Tangisan, ketenangan, doa silih berganti.Aku memilih untuk menjadi si tenang.Jarang menunjukkan tangisan di hadapan yang lain.Aku mahu jadi tabah setabah abah.Sedih tetapi tenang.

2010.Sudah enam tahun peristiwa itu berlalu.Al-hamdulillah pada hari ibu ini, aku masih dapat mendengar suara ibu.Kesakitan di wajah ibu dahulu menjadi nostalgia yang sukar dilupakan.Syukur kehadrat Allah yang memberikan kesihatan kepada ibu.Ibu masih tabah walaupun adakalanya di himpit dengan masalah kesihatan.

Ibu ceria mendengar anak-anaknya berjaya.Menamatkan pelajaran ke menara gading.Ibu ceria apabila di bawa melancong.Ibu ceria melihat telatah cucunda tercinta.

Alhamdulillah..Ibu memang tabah orangnya.Ya Allah, berikan daku ruang untuk aku berbakti sepuas-puasnya kepada ibu dan abah.Aku masih belum puas berbakti kepada mereka.Ibu sumber inspirasiku.Abah contoh tauladan pemimpin.Jelas sekali kepimpinannya.

Moga-moga sifat-sifat mulia ibu, ketabahan ibu dapat kuwarisi.Terima kasih ibu.Terima kasih kerana melahirkanku.Terima kasih kerana menyayangiku.Aku sayang ibu..Sariyah Bt Shahmiran..

Ruzain Syukur Mansor