PESAN UNTUK DIRI..

December 24, 2010

Abah ada berpesan baru-baru ini:

“Tinggalkan dunia, sebelum tinggalkan dunia”

Saya merenung dengan pandangan kosong. Terkedu dan faham apa yang tersirat.

“Ambil dunia sekadar yang perlu-perlu sahaja. Tinggalkan yang lain” tambah abah lagi.

Tepat sekali. Ia suatu ingatan abah buat saya. Mungkin ada benarnya. Mengejar dunia menyebabkab 24 jam itu bagaikan tidak cukup untuk dimanfaatkan.

“Jangan fikir apa yang masyarakat sumbangkan, tetap fikrkan apakah sumbanganmu buat masyarakat”.

Apa sumbanganku buat masyarakat? Menulis di majalah buat ingatan minda? Hanya 1 artikel. Egonya. Sibuk untuk diri sendiri. Malasnya. Dimana kecintaanmu kepada masyarakatmu? Dimana perananmu untuk berdamping dengan masyarakat? Ya Allah, kerdil dan bersalahnya aku kepada komunitiku.

Kalau di sekolah, berapa ramai anak didikmu yang berjaya mengenal alif, ba dan ta tanpa gagal? Berapa ramaikah antara muridmu sudah pandai membaca al-Qur’an tanpa silap? Berapa ramai pula yang boleh membaca dan menulis jawi dengan baik? Terduduk dan terus terduduk.

Tuan Iswandi dari Mindef ketika ceramahnya bertajuk AKRAB dalam perkhidmatan Awam di Masjid negeri berkata “sebagai penjawat awam , gaji kita dibayar oleh dana pembayar cukai, jadi sejauh mana kita menjaga tugas dan tanggungjawab kita?”

Bagaimana jika terambil dan tercuri masa kerja contohnya dengan bersembang-sembang dengan teman dan sebagainya?

Saya? Sepanjang 2010 yang susah sekali sebulan penuh di sekolah. Ada sahaja surat panggilan hadir ke Jabatan Pelajaran atau Pejabat Pelajaran daerah samada berkursus dan mengendalikan kursus. Bagaimana ya? Walaupun itu atas tiket tugas rasmi, bagaimana pula dengan anak didik yang ditinggalkan. Subhanallah. Astagfirullah. Maafkan ustaz wahai anak didikku, maafkan saya wahai teman-teman sekerja kerana banyak menyusahkan kalian.

Bila mengetuk kesalahan diri memang idea itu bagaikan tersekat di kotak minda. Gelap. Tidak semudah melihat kesalahan orang. Tetapi, itulah hakikatnya.

Adakalanya kita rasa kita menjalankan tugas dengan baik. Tetapi adakah ia mendapat hasil yang baik. Tujuan catatan refleksi di akhir pengajaran seorang guru adalah untuk menilai keberkesanan pengajarannya? Adakah refleksi ini benar-benar asli, lahir dari dalam lubuk hati yang ikhlas atau berkarat?

Semakin lama, entry ini ditulis, semakin sesak rasanya dada. Ini penulisan sendiri untuk diri saya sendiri. Saban hari diulit dengan kejayaan demi kejayaan. Lancar buku sana, hantar manuskrip ke sana dan kemari. Dijemput orang berceramah. Tetapi adakah sudah selesai segala keperluan diri dan keluarga? Bagaimana ibu dan ayah di kampung? Sempatkah diziarahi? Maafkan saya ibu..terleka kadang-kadang anakmu ini.benar kata abah “tinggalkan dunia sebelum tinggalkan dunia”

Cukuplah hati, cukuplah, jangan bicara lagi. Semakin kau berbicara, semakin terlihat kekhilafanku. terima kasih kerana berbicara. Beriku ruang untuk menebus kesilapan itu. Panjangkan umurku ya Allah untuk kutebus segala dosa itu.

Ruzain


syahdu apabila dihargai

December 24, 2010


Martinelli Hashim :Ruzain, Naim, Noryzal wajib hadir…. akan jadi kenangan seumur hidup insyaAllah.

Itu catatan ringkas Puan Martinell Hashim dalam akaun facebook censervian. Beliau mentor saya di bidang khidmat masyarakat ketika di UIAM. Beliau kini masih kekal hebat dengan dunia khidmat masyarakat di UIAM. membimbing anak-anak muda supaya cintakan komunitinya.

Jemputan untuk menghadiri CENSERVE Humanitarian Night 2010 oleh mentor saya itu saya renung dalam-dalam. Mengapa dikatakan ‘wajib datang?’. Pastinya ada yang istimewa.

Saya gagahi juga untuk ke Taman Ilmu dan Budi itu walaupun badan keletihan berkongsi minda dengan remaja ketika program Power Friday@Masjid Jumhuriah selepas solat Jumaat tadi.

Sempat saya capai Buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid (TUKRM) saya itu yang tinggal stok terakhir di tangan. Ada rezeki , ia menjadi milik Puan Nelli. Dan sempat saya berikan kepad Puan Nelli sebagai hadiah.

Ketika khusyuk melihat paparan multimedia, tiba-tiba muncul muka saya diraikan sebagai alumni CENSERVE..lengkap dengan gambar memegang buku TUKRM. Ada sedikit catatan, “seorang guru dan aktivis serta penulis buku….”. Amat terharu melihat penghargaan itu. Patutlah bersungguh-sungguh Puan Nelli ajak hadir ke majlis. Rupanya ada sedikit bingkisan sebagai hadiah kenang-kenangan.

Kenangan diperkenalkan kepada Rektor UIAM, Prof Dr Syed Arabi Idid sebagai salah seorang daripada alumni Censerve, merupakan suatu kenangan yang sangat indah. Itu saat yang tidak pernah saya perolehi ketika menuntut di kampus UIAM sepanjang 2000-2003, terima kasih Puan Nelli..patutlah ada tagline “akan jadi kenangan seumur hidup insyaAllah” pada jemputannya terdahulu.

Buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid menyebut tentang penglibatan saya yang bermula dengan menyantuni anak-anak qariah masjid As-Syarif Gombak. Bergabung dengan teman-teman di bawah payung SENDI As-SYARIF , Centre for Community Services (censerve) merupakan saat saya mula mengenali erti menyantuni masyarakat. Konteks dakwah juga. Lantas, malam tadi merupakan suatu imbauan kenangan yang cukup menarik.

Sejarah dan penulisan itu tidak dapat dipisahkan. Suatu sejarah perlu ditulis. Bukan hanya untuk kenangan, tetapi untuk dibaca orang. Saya amat berharap, ada ruang untuk buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid ini akan dibaca oleh warga penggerak Censerve. InsyaAllah, akan ada stok tambahan untuk menjadi rujukan supaya selain Misi, steadfast, sendi, akhi, titian asli, semuanya ada buku panduan. Akan disusahakan nanti insyaAllah. Moga ada ruang.

Ruzain syukur Mansor
Alumni Sendi As-Syarif Gombak
Censerve 2000-2003


Keseronokan membimbing mentee

December 24, 2010

Segalanya berlaku sungguh pantas. Beberapa minggu lepas, saya bersama dengan salah seorang anak didik c.Azmi Musa, Saudara fahmi mengendalikan program Friday Power untuk remaja masjid Jumhuriah Petaling Jaya.

Fahmi merupakan seorang aktivis dakwah remaja yang sangat kreatif. Daripada pembantu faci, sehinggalah kini bertaraf jurulatih. Sangat inovatif terutamanya dalam melaksanakan sesi permainan untuk latihan.

Lantas, saya ajukan idea kepadanya kenapa tidak ditulis segaa modul permainan yang selama ini hanya bermain di dalam mindanya. Alangkah baik jika ianya disusun dan dijadikan buku. Mudah dibawa kemana-mana malah mampu dikongsi jurulatih yang lain.

Idea itu lantas disambut baik oleh Fahmi. Modul disusun dengan baik, saya garap dengan panduan menulis buku. Rupanya membimbing orang menulis ini sangat menyeronokkan. Menulis buku secara bersuet ini pula sangat berkesan kerana mampu menjana idea yang pelbagai. Kreatif dan kritis.

Tidak sampai sebulan, rangka 70% buku 30 Permainan Untuk Jurulatih mampu dijana. Alhamdulillah, petang tadi, sempat pula saya membentangkan cadangan buku tersebut kepada sebuah penerbit besar di Batu Cave. Sangat bersemangat mentee saya itu. Idea orang muda memang perlu diraikan.

Sebulan kami harus menunggu. Menunggu dengan sebuah harapan yang tinggi. Mahu melihat usaha mentor-mentee penulisan saya ini berhassil. Terima kasih Cik Puan Editor kerana sudi mendengar dan berkongsi idea

Ya Allah permudahkan.

Ruzain


GRAMEDIA DARI SETIA ALAM KE MINES

December 19, 2010

Ada satu impian saya yang masih belum tercapai. Mahu pergi ke toko dan pameran buku terkemuka di Indonesia. Kerana di sana merupakan satu lubuk buku yang sangat subur.

Tetapi Gramedia dibawa ke bumi Malaya. Saya mengenali toko buku Gramedia sejak ianya bertapak di Tesco Setia Alam lagi. Tiba-tiba berpindah. Melalui Tuan Zamri, Gramedia kembali saya jejaki di The Mines. Sempat saya berkunjung semalam. Wah, tidak terkata. Besar, hebat dengan tambahan buku-buku Indonesianya.

Sebelum menulis buku, para editor mengajar saya tentang analasis pasaran dan kajian buku. Mengkaji buku-buku yang serupa di pasaran dan bagaimana pasarannya. Laris atau tidak?. Selain itu, perlu juga dilihat bagaimana isi kandungannya, laras bahasa serta konsepnya. barulah mula menulis. Menulis bukan sebarangan!

Semalam, saya memiliki dua buah buku indonesia:
1.Agar menulis-mengarang bisa gampang
2.100 permainan rakyat.

Kedua-duanya karya penulis Indonesia. Kira-kiranya membantu penulisan terbaru saya bersama Saudara Fahmi. Karya ini akan dihadam dan diteliti agar tidak sama konsepnya dengan buku yang bakal ditulis nanti. isu plagiat dan ciplak ini perlu diteliti. Untuk inovasi dan penyegar minda saya katakan ya. Buku ini belum tamat dihadam, tetapi ada ciri-cirinya yang menarik hati.

Antara beberapa ciri-ciri buku indonesia yang sempat saya lihat sewaktu di Gramedia adalah:
1. Kulit buku yang menarik
2.Tajuk buku yang catchy
3.Dua buku di atas penulisannya santai tetapi menyentap jiwa

Sesuatu yang menarik harus diambil sebagai contoh. Analisa buku dan pasaran ini penting rupanya. Jangan terburu-buru mula menulis. Ini saya belajar daripada editor-editor yang sudi berkongsi ilmu. Cari buku seumpamanya, baca dan analisa.

Buat perkara betul dengan betul-betul! Barulah perkara betul menjadi betul kerana dilakukan dengan betul!.

Ruzain Syukur Mansor
20/12/2010 7.05 am


BERANI MENCUBA?

December 18, 2010

Bertemu lagi. Antara keberanian seorang penulis adalah menukar genre penulisannya. Atau mengubah selera penulisannya. Saya adalah penulis genre motivasi dakwah remaja. Tetapi mencuba sesuatu yang baru. Genre motivasi kanak-kanak. Suatu dunia yang tidaklah baru sangat tetapi belum dicuba.

Tiada halangan cuma belum pernah mencuba. Masalah bahasa? adakah pengalaman bergaul dengan murid-murid di sekolah rendah tidak mematangkan saya soal bahasa anak kecil?. Saya guru yang mengajar sekolah dasar (sekolah rendah) .Ini persoalan berani atau tidak. Suatu yang kita tidak tahu perlu dicuba supaya kita ini nanti tahu.

Lantas, perjumpaan dengan seorang editor baru-baru ini membuka peluang untuk saya berkecimpung dalam penulisan motivasi kanak-kanak. Ada ruang untuk menulis buku motivasi kanak-kanak. Pantas kertas cadangan buku dihulur menunggu respon.

“Ustaz, bila mahu tulis untuk kami?” itu pernah ditanya oleh anak-anak murid saya suatu ketika dahulu.

Lantas ini serampang dua mata, selain memberikan bahan bacaan untuk dibaca oleh anak-anak yang lain, nyata ia penulisan untuk anak didik sendiri di sekolah. Tunggu ya murid-murid kesayanganku.

Nah, kertas cadangan buku 1001 Motivasi Untuk Adikku sudah pun dihantar ke editor untuk ditimbang tara. Moga ada rezeki untuk mengembangkan bakat. Moga ada laluan untuk mencuba bidang penulisan motivasi kanak-kanak. Moga berhasil nanti

Ruzain Syukur Mansor


MAHER ZEIN THE CHOSEN ONE

December 18, 2010

TRANSFORMASI MANUSKRIP MENJADI BUKU

December 17, 2010

Saya hanya mampu tersenyum ketika membaca komen awal teman-teman di facebook tentang kulit buku terbaru saya dakwah dan Teknologi Maklumat itu. Bunyinya menggerunkan. Tetapi ia petanda positif. bahawa masih ada yang meminati topik ini. Ada 1 tajuk yang dicadangkan oleh teman lama Pok Syeikh : Dakwah di Hujung Jari. Memang menyengat dan bisa menarik perhatian ramai. Tetapi, atas sebab tertentu, tajuk asal terpaksa dikekalkan. Ia garapan yang sangat lama. Sejak 2006 kajian ini bermula seingat saya. Pada masa itu saya masih terkial-kial mencari rentak ketika memulakan pengajian Sarjana Usuluddin (Dakwah) di Universiti Malaya. Ijazah Sarjana yang diharapkan tidak dapat digenggam. Gugur di tengah jalan. Tetapi indahnya, kajian saya ketika itu mengenai dakwah dan teknologi maklumat, terus dan terus diaplikasi untuk tujuan dakwah akhirnya sudi untuk diterbitkan sebagai buku. Alhamdulillah.

Tahun 2011, mengharap sinar baru, kembali menyambung ‘tali’ yang putus. Moga harapan dapat menyudahkan pengajian sarjana Usuluddin (Dakwah) di tempat yang sama. Di tempat saya meulakan kajian mengenai Dakwah dan Teknologi Maklumat.

Buku Dakwah dan Teknologi Maklumat benar-benar mengajar tentang erti kesabaran. Kesabaran bagi seseorang penulis. Rupanya, apabila ia ditakdirkan untuk diterbitkan, prosesnya seakan sepantas kilat. Terkejar-kejar puan editor yang cukup teliti untuk mengejar ‘dateline’. Moga dipermudahkan dan semoga Allah sahaja yang membalas jasa dan budi puan editor.

Melihat manuskrip yang sudah diatur susun huruf memang amat mengujakan. Berlainan dengan buku pertama dahulu Tip Urus Kelab Remaja Masjid yang hanya sempat saya tatapinya setelah ianya berada di booth jualan penerbit.

Antara perkara baru yang dipelajari ialah perlunya penulis memahami dasar penulisan sesebuah penerbit. Katakan sebuah penerbit menggunakan gaya bahasa dewan, alangkah bagusnya jika anda menulis menggunakan gaya bahasa yang sama. Jika tidak? alamat peninglah editor terkulat-kulat mengedit manuskrip.

Kedua, sentiaslah berhubung rapat dengan editor sewaktu proses ‘proof reading’. Anda masih sempat jika mahu menambah atau mengurangkan isi kandungan sesuai dengan konsep buku. Komunikasi ini amat penting.

Ketiga, bertolak ansurlah dengan editor. Editor perlu patuh dengan dasar penerbitannya. Manakala penulis memegang idea dan konsep utama. Justeru, cari titik kesepakatan. Berunding dan berpakatlah untuk bersetuju.

Keempat, berikan inovasi dan idea yang segar. Bayangkan, penulisan buku Dakwah dan Teknologi Maklumat dilakukan beberapa tahun yang lalu. Sedangkan teknologi bergerak dengan begitu pantas. lantas, fikirkan inovasi dan up to date dengan keadaan semasa.

Kelima, jangan terlalu memaksa editor untuk kebaikan kita sendiri. Fikirkan tentang apa yang mereka fikir. Bantu mereka memikirkan yang terbaik untuk buku kita itu. Sekali sekala, puji hasil kerja mereka.

2011 mungkin ada sinar mendatang. Ingin kembali menjadi penulis artikel majalah dan ada peluang menanti..Moga dipermudahkan


PANDUAN TEMUDUGA KPLI/j-QAF

December 5, 2010

Sejak beberapa yang lalu, beberapa orang teman memohon panduan untuk menghadapi temuduga KPLI j-QAF untuk waktu terdekat. Itu jugalah yang saya dapati melalui maklumat carian di blogstat blog saya ini. Saya bukanlah hebat orangnya dalm membicarakan topik ini. Ini juga memandangkan topik ataupun format temuduga mungkin berbeza.

Lantas, apa yang saya kongsikan ini adalah sebahagiannya daripada pengalaman saya sendiri dalam menghadapi temuduga untuk ambilan guru j-QAF beberapa tahun lalu. Ia tidak menjanjikan ketepatan 100% kerana dinamiknya proses temuduga tersebut.

Apapun adalah sedikIt panduan untuk dikongsikan.

SEBELUM TEMUDUGA
1.Sediakan sijil dan dokumen photocopy yang telah disahkan
2.Sediakan sijil asal yang dimasukkan ke dalam file holder dengan kemas.
3.Susun sijil asal di dalam file holder mengikut susunan sepertimana yang terkandung di dalam surat panggilan temuduga
4.Sediakan pakaian yang kemas sebelum temuduga.
Lelaki: Kameja lengan panjang warna terang, seluar gelap , bertali leher dan berkasut kulit gelap
Perempuan:Baju kurung yang kemas.

SEMASA TEMUDUGA
1.Tunjukkan muka yang manis semasa temuduga
2.Perkenalkan diri seadanya , ceritakan sedikit sebanyak pengalaman dan mengapa memilih menjadi guru
3.Jawab soalan dengan sopan dan jujurlah dengan jawapan yang diberi. Jangan cuba menipu.
4.Tunjukkan eye contact dengan penemuduga dan jawablah soalan dengan penuh keyakinan
5.Jika ada sesi perbincangan dalam kumpulan, mulakan sesi perbincangan. Bertindaklah selaku moderator atau pengerusi kepada sesi perbincangan tersebut
6.Berinteraksilah dengaan baik ketika perbincangan kumpulan.

SELEPAS TEMUDUGA
1.Ucapkan terima kasih kepada penemuduga
2.Senyum dan jangan terlalu memaksa penemuduga memberi keputusan

FORMAT TEMUDUGA (ketika saya ditemuduga untuk ambilan j-QAF 2007)
1.Perbincangan kumpulan.
7-8 calon diberi tajuk isu semasa, dan diminta berbincang dalam kumpulan. Berkomunikasilah dan cuba cari peluang terbaik untuk mengutarakan pandangan yang bernas. Jangan hanya diam sahaja. Anda sedang dinilai

2.Bacaan Al-Qur’an/tajwid
Ada sesi di mana anda diminta untuk membaca beberapa potong ayat Al-Qur’an dan akan disoal hukum tajwid. Jadi, ulangkaji sedikit sebanyak hukum tajwid

3. Sesi temuduga face to face
Ada beberapa orang panel penemuduga akan menemuduga calon.
Antara perkara yang MUNGKIN akan ditanya (ini adalah sebagai andaian berdasarkan pengalaman lalu). Selebihnya saudara/saudari perlu banyak membaca tentang isu dan dasar pendidikan.

4.Soalan esei bahasa arab (30 minit, ada 2 pilihan tajuk)

ANTARA YANG MUNGKIN DITANYA BERDASARKAN PERKARA BERIKUT

PENGETAHUAN IKHTISAS
Adalah menjadi harapan Lembaga Temuduga bahawa guru-guru terlatih yang ditemuduga mempunyai pengetahuan yang wajar dan mempunyai kemahiran berbincang secara canggih (intelligent discussion) mengenai perkara-perkara berikut :-

a) Sejarah pembentukan dan perkembangan Sistem Pendidikan Negara dari segi dasar, pengurusan dan pentadbiran, sistem persekolahan, kurikulum dan sistem penilaian. Adalah diharapkan calon-calon telah membaca, mengkaji dan menerapkan fakta-fakta penting di dalam Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Akta pendidikan 1961 dan Laporan Kabinet mengenai perlaksanaan Dasar Pelajaran (1979);

b) Struktur dan sistem pengurusan dan pentadbiran negara pada peringkat pusat, negeri, daerah dan sekolah.

c) Falsafah Pendidikan Negara, khasnya dari segi perlaksanaannya di sekolah dan dalam bilik darjah.

d) Pengetahuan yang mendalam mengenai Dasar Pembangunan Negara/Wawasan 2020 dan hubungkaitnya dengan pendidikan dari segi falsafah dan amalannya.

e) Pengetahuan akademik yang wajar berkaitan dengan matapelajaran yang diajar opsyen/matapelajaran pengkhususan di institut/ maktab perguruan/ universiti.

f) Metodologi dan perkaedahan matapelajaran yang diajar dengan tumpuan khas kepada aplikasinya di dalam bilik darjah.

g) Konsep, teori dan prinsip pedagogi dan psikologi dengan tumpuan khas kepada aplikasinya di dalam bilik darjah.

h) Falsafah dan konsep mengenai kurikulum dan perkembangan kurikulum dengan tumpuan khas kepada KBSR dan KBSM dan hubungkaitnya dengan matapelajaran yang diajar dan matapelajaran opsyen/pengkhususan di Institut/maktab perguruan/ universiti.

PENGETAHUAN AM/ISU SOSIAL SEMASA
Pengetahuan semasa/am dikaitkan dengan aspek celik budaya. Celik Budaya diertikan sebagai kepekaan, keprihatinan dan daya ingin tahu terhadap alam persekitaran hidup dari segi fizikal, sosial, ekonomi, pentadbiran dan politik. Seseorang yang celik budaya mempunyai pengetahuan dan maklumat asas mengenai alam persekitarannya dan dapat berbincang secara canggih mengenainya dari berbagai-bagai sudut pandangan dan perspektif.

JANGAN LUPA:
1.Cari info berkenaan dengan PELAKSANAAN j-QAF
-Dasar dan latarbelakang j-QAF
-Model-model j-QAF
-Kaedah pengajaran untuk kanak-kanak
Boleh cari melalui internet (cadangan web Gema Islam) dan sebahagiannya ada pada sebelah kanan panel blog saya ini. (boleh download)

2.Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006-2010)-RUJUK INTERNET ATAU LAMAN WEB kEMENTERIAN PELAJARAN)

3.NKRA Pendidikan-RUJUK INTERNET DAN LAMAN WEB KEMENTERIAN PELAJARAN

4. Ulangkaji sedikit apa kandungan ijazah pertama anda. Mungkin ada isu berkenaan dengan bidang ijazah anda dahulu.

Apapun , saya doakan para calon temuduga KPLI/j-QAF untuk membaca sebanyak mungkin isu pendidikan. Soalannya mungkin berlainan daripada seorang calon dengan yang lain. Ia fleksible. Apa yang ditulis diatas adalah panduan sahaja. Apa yang penting berdoalah moga dipermudahkan. Berusaha, berlaku jujur dengan penemuduga, berkeyakinan. Moga-moga berjaya. Lakukan solat hajat, dan minta restu ibu dan ayah

Ruzain Syukur Mansor


POWER FRIDAY@ MASJID JUMHURIAH

December 4, 2010

Saya masih ingat antara butiran temuramah saya bersama Pak Utih (Shafiai Uda), aktivis JIM yang aktif mengendalikan latihan remaja masjid di Singapura suatu ketika dahulu. Sebahagian butiran temubual tersebuat dimuatkan di dalam buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid tulisan saya dan Cikgu Azmi.

Antara resipi kejayaan program remaja masjid di Singapura menurut Pak Utih adalah :

1. Iklan program yang menarik
2. Nama program yang catchy
3. Pengisian program ringkas tapi menarik
4. Penggunaan blog yang menarik untuk tujuan promosi
5. Jemput tokoh remaja @ belia top yang boleh menjadi contoh mengendalikan program
6. Latihan untuk penggerak remaja masjid
7. Kerjasama daripada AJK masjid.

Baru-baru ini telah berlangsung dua siri motivasi dakwah remaja masjid Power Friday@Masjid Jumhuriah Taman Dato’ Harun Petaling Jaya. Ia inisiatif Mentor dakwah saya Cikgu Azmi Musa serta beberapa aktivis dakwah serta kerjasama mantap AJK Pemuda masjid tersebut. Ia nampaknya mendapat kerjasama pihak pentadbiran masjid.

Program nampaknya ringkas, 2-4 pm selepas solat Jumaat menyasarkan golongan remaja setempat. Bermula dengan baik untuk slot Talk Show kumpulan nasyid kontemporari Frenz dan Khalid Soff One. Ia disusuli dengan sesi motivasi pada minggu kedua oleh seorang peguam muda lulusan UIAM Saudara Razlan. Ada sesi LDK, pembentangan, smart solat dan lain-lain sesi yang ringkas.

Nampaknya setakat ini, Program Power Friday memberikan nafas baru kepada program remaja masjid. Dengan jenama program yang baru. Promo iklan menggunakan design menarik serta perkongsian dari penceramah muda menarik ,maka Jumaat bagi warga muda di Jumhuriah adalah jumaat yang hebat serta imarah dengan program bermanfaat.

Moga usaha dakwah remaja masjid ini akan diberi nafas baru serta penjenamaan semula agar kekal up to date dan mengikut perkembangan zaman remaja

Ruzain Syukur Mansor


MARI MENYUBUR BAKAT DAN MINAT

December 4, 2010

Bulan Disember adalah bulan yang cukup sinonim dengan kesibukan bagi individu yangg berkerjaya dengan organisasi. Bekerja dengan orang terutamanya dunia pentadbiran. Menghadapi audit, ISO, laporan tahunan serta perancangan tahun hadapan. Nasib baik saya seorang cikgu. Kesibukan di atas selesai pada bulan November. Disember adalah ruang muhasabah dan peluang, maklumlah cuti sekolah. Duduk lepak di rumah?. Oh tiada istilah cuti bagi seorang penulis bebas dan penggemar dunia latihan seperti saya.

Seorang jurulatih penulisan memberitahu saya bahawa antara penulisan yang baik adalah apabila penulis itu menulis sesuatu yang tidak dapat dicapainya atas sebab halangan tertentu. Contohnya seorang guru, yang sibuk dengan dunia pendidikan mungkin amat berminat dengan fotografi. Mungkin ingin jadi wartawan dan mengembara jika berpeluang tetapi tersekat atas keperluan kerjaya yang tidak mengizinkan. Jadi, individu tersebut boleh meluahkan keinginannya yang tersekat itu melalui penghasilan buku. Pasti laku keras buku tulisannya itu.

Bagi saya, bulan-bulan cuti ini adalah bulan peluang. Peluang untuk menyubur bakat. Tn Fauzul memberitahu, organisasi yang menyekat bakat, lama-kelamaan bakat itu akan pergi. Ini bulan untuk menyubur minat di bidang latihan dan penulisan. Suatu bakat yang berjaya membina diri saya secara tidak sedar. Memberi ceramah motivasi kepada remaja dan belia memberikan saya keyakinan untuk berdiri di hadapan khalayak. Dapat pula memahami permasalahan remaja yang menyesakkan dada. Penting sebagai pendakwah untuk menyediakan solusi. Saya beroleh kepuasan maksimum.

Sewaktu sidang persekolahan berjalan, peluang untuk menghadiri kursus dan seminar memang banyak. Apatah lagi, tugasan selaku Jurulatih Kokurikulum Pendidikan Islam Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Selangor telah memberikan peluang saya mendapat ilmu dan kemahiran sebagai seorang jurulatih. Tetapi isunya cukup besar. Meninggalkan sekolah untuk 2-3 hari bermakna mengundang tiket relief kepada rakan-rakan. Ada kelas yang perlu diganti, malah ada murid yang perlu ditinggalkan walaupun atas tiket tugasan jabatan. Tidak patuh arahan mungkin mengundang konflik lain. Hadir kursus, ada insan yang terpaksan menanggung tugasan yang ditinggalkan.

Disember kini mula menmpakkan diri. Di kala ini ada orang yang mula menanam azam baru. Pada saya ini bukan permasalahan azam baru, tetapi adakah sudah tertunai azam tahun ini. Saya berehat daripada menulis artikel pada tahun 2010 kerana ingin memfokuskan keapda penulisan buku. Alhamdulillah, Buku pertama Tip Urus Kelab Remaja Masjid berjaya diterbitkan. Buku kedua Dakwah dan Teknologi Maklumat kini memasuki fasa bacaan Pruf kedua. Manuskrip buku ke 3 Aduhai Remaja masih di dalam penilaian penerbit.

Buku ke 3 Aduhai Remaja meniti banyak persoalan. Andainya berjaya diterbitkan, merupakan suatu cabaran besar kerana diterbitkan oleh penerbit besar dan terpaksa melalui proses pemasaran yang tidak kurang hebatnya. Itu peranan penulis membantu penerbit memasarkan buku. Tetapi jika tiada rezeki, bukanlah maksudnya penamat kepada segalanya. Alhamdulillah, masih mampu membangun potensi dan bakat walaupun tugasan asasi yang terlalu banyak untuk diselesaikan.

Apapun, kerjaya bukan penyekat bakat dan minat. Bukan tidak berminat dengan profesyen, tetapi individu yang kekal konsisten dengan minat tanpa mengganggu kerjaya, bakal muncul hebat dengan visi dan misi membangun potensi diri.

Moga membangun potensi ini menjadi disiplin yang mengangkat martabat diri ke suatu arah membanggakan. Membangun potensi menanamkan kepuasan dalam diri. Moga-moga terus menyubur bakat dan minat.