APABILA DUA PENULIS BERTEMU

April 19, 2012

Allah sebaik-baik perancang. Setelah lama ingin bertemu, 2 orang penulis ditemukan Allah petang tadi. Alangkah baiknya pula ia dihostkan oleh editor e-Baca , Tuan Saharom. 2 orang penulis dalam kolum e-Baca bertemu , menghadap editor dan wartawannya. terima kasih Tuan Saharom dan Cik Puan Suhana.

Apabila penulis bertemu, akan terpercik api semangat yang sangat memotivasikan. Saling memotivasi sebagai rakan sepenulisan itu sudah tentu. Itu yang berlaku siang tadi. Cikgu Razali antara penulis muda yang sudah miliki brand penulisan buku bijak teknik belajar dengan buku 5A UPSR bersama karangkraf.

Moga pertemuan yanag tidak dirancang ini membuahkan idea baru.

Detik manis yang akan terpahat di kotak minda. Moga akan ada ruang kerjasama antara kami bertiga

Ruzain Syukur Mansor


KALIMAH AJAIB DALAM MAJALAH MUSLIM TEEN EDISI 2

April 18, 2012

Kalimah ajaib. Ini adalah artikel pertama saya dalam majalah Muslim Teen. Tentang syukur. Adakalanya kita kurang bersyukur dengan nikmat yang kita miliki. Tetapi kita rasa kehilangan dan terasa dengan ketiadaannya.

Justeru, syukur dan teruslah bersyukur. Saya jauh lebih beruntung daripada tuan puan sekalian, kerana nama saya saja pun sudah RUZAIN SYUKUR. Terima kasih abah. Visimu demi melihat anakmu bersyukur, redha dengan takdir.

Dapatkan Majalah Muslim Teen edidi ke 2 terbitan Blue T Communication.
Ruzain Syukur Mansor


DARI PENULIS KE KOLUMNIS

April 18, 2012

Dari penulis ke kolumnis. Tajuk kali ini ringkas sementelah penulisnya sudah kepenatan. Alhamdulillah, hari ini satu lagi sejarah tercipta. Dalam beberapa tahun pengalaman menulis ini, ini kali pertama diberi peluang menjadi kolumnis.

Maka bermulalah episod kejar mengejar. Yang pasti, lebih kepada dikejar oleh editor.

“Ustaz, hantar artikel untuk edisi Ogos ya” itu bunyi email saudara editor Majalah Muslim Teen tadi.

Sekarang baru sahaja bulan April, tetapi langkahnya sangat cepat dan jauh kehadapan. Saya kagum dengan gaya kerja geng majalah bekerja. Langkahnya mendahului masa. Itulah kekuatan mereka. Kehidupan mereka mengejar deadline. Segalanya mesti pantas. Edisi Mei sudah pun menemui pembaca walaupun kita masih di bulan April. Cuba bayangkan seawal bulan ke berapa mereka sudah bersedia?

Apapun, ini amanah baru. Allah yang menggerakkan hati mereka. Saya menyahut seruan itu.

Muslim Teen adalah majalah Islami terbaru di pasaran keluaran Blue T-Communication. Kira-kiranya ia abang kepada majalah Ana Muslim. Sesuai untuk bacaan remaja. santai dan memberi inspirasi.

Sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengisi kolum Alahai Cikgu dalam majalah tersebut. Tambah teruja apabila tajuk pertama saya dalam Muslim Teen adalah berkenaan dengan SYUKUR. Subhanallah. Itu Allah empunya perancangan.

Moga Allah berikan kekuatan untuk saya terus mengisi kolum tersebut. Alang-alang diberi peluang jadi kolumnis akan saya isi sebaiknya.

Ruzain Syukur Mansor
Kolumnis Kolum Alahai Cikgu Majalah Muslim Teen


Bagaikan 1 jasad : Cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit

April 15, 2012

BAGAIKAN SATU JASAD
CUBIT PAHA KANAN, PAHA KIRI TERASA SAKIT

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a., Nabi s.a.w. bersabda : Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain adalah seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.”-Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam satu peribahasa melayu pernah menyatakan bahawa cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit. Itu suatu pernyataan untuk menggambarkan betapa akrabnya sebuah hubungan. Saling melengkapi antara satu sama lain. Senang sama diharungi. Susah sama pula dilalui. Bagaikan ketika kita ini sakit gigi dan senak perut, maka seluruh badan akan terasa ngilu dan senaknya.

Sebagai muslim, kita ini bersaudara. Siapa pun kita, masih dari rumpun yang sama. Sama-sama mengejar keredhaan Ilahi. Lantas harusnya saling sokong-menyokong. Mana yang miskin dibantu. Mana yang papa diberi kudrat. Bagi yang kaya , tidak lupa tanggungjawabnya kepada yang susah.

Di dalam hidup berkerjaya, kita masih perlu berpegang kepada konsep ‘bagaikan satu jasad’. Adakalanya sahabat dan teman sekerja punya tanggungjawab mahupun tugasan yang harus dibantu. Tidak kira kita bertugas di Kementerian, jabatan mahupun di sekolah. Istimewanya kita ini, apabila dianugerahi Allah sedikit kelapangan dan kemampuan. Apatah lagi kita ini punya kemahiran pelbagai. Maka itu mungkin jalan kepada kita beroleh pahala. Lantas, jangan kita terlalu berkira untuk membantu teman yang lain.

Ingatlah, setinggi mana pun jawatan dan pangkat kita, akhirnya nanti hanya kain kapan putih yang akan membaluti diri. Tiada istimewanya kita di sisi Allah berbanding yang lain melainkan ketaqwaan yang dimiliki. Allah berfirman di dalam al-Qur’an berbunyi:

“Maksudnya:Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” -al-Hujurat : 13

Lantas, atas dasar itu, mari kita buang rasa ego dan berkira di dalam tugas. Mari bertindak cara Rasulullah s.a.w. mengajar kita. Lihat sahaja keakraban sahabat baginda s.a.w. yang sangat ikhlas dan saling bantu membantu sahabatnya yang lain. Keihlasan sahabat nabi s.a.w. Abu Bakar r.a. yang menginfakkan hartanya buat memtarabatkan Islam di muka bumi. Lihat juga bagaimana golongan Ansar dan Mujahirin yang saling lengkap melengkapi. Apakah tidak cukup untuk kita gambarkan kesatuan hati-hati mereka? Mereka boleh sahaja mengatakan “aku daripada golongan bangsawan, sedangkan dirimu berbangsa badwi”. Tetapi ketaqwaan yang dibina menjadi bagaikan suatu binaan batu-bata yang sangat kuat menyatukan hati mereka.

Maka benarlah pesanan Baginda s.a.w. dalam hadisnya yang berbunyi:
Ertinya: Daripada Nu’man bin Basyir r.a., Nabi s.a.w. bersabda: Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas, kasihan antara orang mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar.-Riwayat al-Bukhari dan Muslim.


KUASA MOTIVASI FOKUS: AURA FOKUS

April 14, 2012

Image

Segala-galanya perlukan fokus. Hidup caca marba akan menghasilkan satu lagi kegagalan. Mengejar semua benda akan tidak membawa kita ke mana. Lantas belajar untuk fokus dan terus bertindak dengan efektif.

 

Saya punya seorang teman. Beliau seorang penulis prolifik yang terkenal. Sahrulazmi Sidek namanya. Beliau sudah menulis 17 buah buku agama, motivasi dan produk terbarunya motivasi sirah. Beliau ada petua dalam memastikan dirinya terus istiqamah menulis. Beliau akan memastikan sehari beliau menulis sekurang-kurangnya 10 muka surat. Jika tak cukup hari ini 10 mukasurat, esok qadha jadi 20 muka surat. Inilah kuasa konsisten dalam penulisan.

 

Saya memilih untuk FOKUS pada tahun 2012. April menjadi titik permulaan. Bertugas di tempat baru yang penuh dengan cabaran. jauh laebih sibuk berbanding di tempat lama. Atas nama cabaran dan pengalaman, saya amenyahut cabaran tersebut.

 

Alhamdulillah, jika sebelum ini, dalam sebulan hanya sekitar 5-7 entry sahaja berjaya dimuatkan ke dalam blog ini. Tetapi sejak mula fokus April 2012, sehingga 15 April sahaja, sudah ada 8 entry dimuatkan. InsyaAllah ia akan lebih menjelang akhir bulan ini. Moga-moga Allah membantu.

Mengapa ia penting? ia sangat berkait rapat dengan fokus dan mengapa kita menulis. Dengan kuasa tagging dan kategories saya sudah dapat menjangkakan sekurang-kurang 3 buku akan lahir daripada adaptasi entry di dalam blog akademi penulis bebas ini. Antaranya Travelog Penulis Bebas, Catatan Sarjana dan Kuasa Motivasi Fokus. Apabila objektif penulisan dilihat dengan jelas, momentum pena akan terus terserlah.

 

Fokus pada majalah? saya hampir sahaja putus asa untuk menulis di majalah apabila majalah sebuah institusi dakwah yang biasa menerima artikel saya hanya mampu menerbitkan 2 siri keluarannya pada tahun lepas. Tetapi fokus memberikan saya tenaga untuk menerokai pasaran baru. Al-hamdulillah diketemukan dengan editor e-Baca dan Muslim Teen yang memerlukan sumbangan artikel saya sepanjang tahun. Rahsianya? Tahu fokus bulanan majalah tersebut. Kuasanya masih kepada F.O.K.U.S. Menulis di majalah memerlukan kita tahu apakah dia fokus atau tema bulanannnya. Ini memudahkan editor memilih karya tanpa banyak melalukan pengubahsuaian.

 

Cukup dahulu kerana bagi penulis, fokusnya adalah mindanya. Minda yang sihat pasti perlukan rehat secukupnya. Moga ketemu lagi dalam siri motivasi fokus yang lain. Wassalam


“Writing is a struggle against silence. -Carlos Fuentes”

April 14, 2012

“Writing is a struggle against silence. -Carlos Fuentes”

Seorang teman mohon saya terus menulis . Menulis jambatan ukhuwwah katanya.

Saya bersetuju memandangkan ia juga janji saya kepada anak didik dan teman guru yang ditinggalkan sementara saya berhijrah ke Cyberjaya.

“Penjarakan jasad seorang penulis, tetapi minda dan tulisannya akan terus meronta.Ada betulnya juga kata Carlos Fuentes di atas. Writing is a struggle against silence. Memecahkan kebuntuan minda bukannya suatu perkara mudah. Ia suatu perjuangan. Kita mungkin punya banyak ilmu tetapi hanya berapa peratus sahaja yang mampu dicoret di atas kertas. Lantas, dengan menulis bagaikan memecah ketulan ais di minda.

Daripada tiada apa, tulisan mencorak sesuatu. Itu sebabnya, tulislah apa-apa idea sementara ia hadir. Apabila ia hilang, re-call lah bagaimana sekalipun, ia hanya menjadi sejarah.

Itu sebabnya ada teka-teki berbunyi:
“Dalam banyak-banyak air, air apa yang paling mahal?”Jawapannya: pastilah IDEA. Daripada kosong idea dicetuskan mencorak masa hadapan. Daripada angan-angan menjadi impian.

Dalam konteks tersebut saya ingin nyatakan :
“Orang yang mempunyai impian dan angan-angan yang tinggi berjaya lebih luar biasa cepat daripada orang yang langsung hidup tanpa impian”

Jadi, mari bina impian diri. Apabila punya impian, TULIS lah ia di mana-mana. Setkan di dalam minda aku mampu untuk mencapai impian. Ia pasti jadi realiti. Pasti. Beranilah membina impian.

Ruzain Syukur b Mansor


Pengalaman jadi panel pertandingan menulis jawi

April 13, 2012

Beberapa hari lalu, saya dijemput menjadi salah seorang daripada panel perancang untuk pertandingan penulisan jawi sebuah Kementerian yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Jarang juga diadakan sayembara penulisan artikel jawi Apatah lagi ia memerlukan peserta menulis skrip jawapan dengan menggunakan tulisan tangan. Menarik juga. Pasti menarik dan saya akui teruja melihat hasilnya. Bersama-sama dengan beberapa orang pegawai penerbitan daripada sebuah badan agama di Putrajaya akhirnya kami berjaya juga menyiapkan skema pemarkahan beserta tajuk cadangan.

Apabila anda dijemput menjadi panel untuk mana-mana pertandingan, pastikan semua syarat pertandingan diperhalusi terlebih dahulu. Apabila sudah jelas, rangka borang pemarkahan. Draft sedikit cadangan isi kandungan jawapan (skrip jawapan). tapi ingat, penulis tidak suka diikat mindanya. Biarkan mereka bebas lepas menyusun idea.

Melalui bengkel tersebut, Saya belajar suatu proses baru membentuk tajuk. Ia aplikasi daripada kaedah KJ Method. Lihat kepada tema pertandingan. Bincang-brain storm dan keluarkan sebanyak mungkin idea. Teliti pilihan yang ada, dan susun mengikut kesesuaian.

Kami berjaya akhirnya mengumpul kira-kira 40 tajuk soalan yang saya kira boleh terus menjadi bab sebuah buku. Tetapi memandangkan ianya adalah mesyuarat panel,cadangan tersebut menjadi hak milik penganjur.

Rupanya kaedah KJ Method ini sesuai untuk diaplikasi kepada pelbagai kegunaan. Di Jepun, KJ Method digunakan oleh kakitangan syarikat untuk mencari solusi kepada maslah yang timbul. Menarik juga!

KJ METHOD
keluarkan idea+tulis pada kertas kecil+susun dan kelompokkan mengikut kategori

Tidak kira kita ini sebagai panel sesebuah pertandingan, ia masih dalam kerangka mengangkat martabat bahasa. bahasa adalah jiwa bangsa.

Pak Samad Said Sasterawan Negara pernah mengungkapkan “Bahasa yang punah akhirnya meruntuhkan sebuah bangsa” hancur bangsa salah satunya akibat bahasanya yang dicantas dan dicincang. Kita pernah melalui saat itu dan kini berada di landasan yang betul untuk memperbaikinya.

Fikir-fikrkan

Ruzain Syukur Mansor


Motivasi pagi: Jadilah orang yang kaya kasih sayang

April 10, 2012

“Jadilah orang yang kaya kasih sayang”
“Kasih sayang itu suatu tenaga”
“Kasih sayang itu bagaikan akaun bank yang penuh dengan wang ringgit”

Hakikatnya begitulah. Dalam ruangan motivasi pagi radio ikim.fm yang saya dengar pagi ini mengandungi falsafah tentang kasih sayang yang sangat tinggi nilai. Terus dikongsi kepada rakan taulan supaya memberikan aura positif kepada mereka.

Hakikat kasih sayang ini suatu tenaga dan aura positif. Datangnya dari dalam hati diterjemahkan melalui senyuman dan tindakan. Akhirnya akan menghasilkan tenaga kerja yang sangat mengujakan. Bekerja dari dalam hati hasil dari aura tenaga kasih dan sayang.

Di pejabat, kita bagaikan terbiasa dengan budaya menyalahkan orang. Fikiran sentiasa negatif hanya disebabkan salah tanggapan.

Ada suatu cerita:

Pada suatu hari, masuklah seorang bapa dan 2 orang anak ke dalam sebuah tren komuter. Ayah duduk dalam keadaan sugul membiarkan anaknya berlari ke sana-sini. Karenah anaknya itu sangat menimbulkan rasa kurang puas hati pengguna yang lain. Sudahlah berlari, malah diganggu pula orang yang lain. Habis tumpah air kopi yang sedang diminum seorang penumpang.

Akhirnya, seorang lelaki sudah tidak dapat menahan sabar. Lalu, lelaki itu menghampiri bapa kepada anak-anak itu.

“Saudara, anak saudara sangat mengganggu kami. Mengapa dibiarkan sahaja”” katanya.

“Oh..maafkan saya. Saya sebenarnya baru pulang dari kampung” katanya.

Dalam nada sebak lelaki itu terus cuba bersuara ” Saya baru pulang dari kampung menguruskan kematian isteri tercinta. Anak saya yang dua orang itu sebenarnya baru sahaja kematian ibunya yang tercinta. Maafkan saya”.

Lelaki tersebut terkedu. Tidak terkata. Sedih dan rasa bersalah kerana membuat anggapan buruk terhadap bapa tersebut.

“Maafkan saya. Saya minta maaf” hanya itu sahaja yang mampu diungkapkan.

Saudara, adakalanya kita terlalu mudah untuk membuat andaian, tanpa mengetahui keadaan sebenarnya. Mudah sangat kita membuat kesimpulan tanpa bertanya dan menyelidiki sebab musababnya. Jadi, tiada kasih sayang dihambur malah, kritikan pedas menjadi peluru yang tidak bermata.

Jadi, mari kita betulkan sikap kita. Mari tanam benih kasih dan sayang. Kita bajai dengan senyuman dan pertolongan selayaknya.

Ruzain Syukur Mansor


BRANDING DALAM PENULISAN

April 8, 2012

Dalam sibuk berbengkel, saya sempat dikunjungi oleh seorang pakar branding buku mengenai penjenamaan buku pertama saya itu. Apabila difikirkan ia penting untuk memberikan nafas baru kepada buku tersebut. Pasarannya akan lebih luas. malah, ini peluang untuk menambah idea-idea baru kepada buku sedia ada.

Jadi, ia akan berubah 360 darjah bagi memberikan nafas baru dengan sasaran pembaca yang lebih luas. Daripada pembaca di kalangan AJK Masjid kini sesuai diaplikasi oleh semua guru. Ia suatu panduan buat guru memperkasakan kelab dan persatuan di sekolah.

Penjenamaan buku ini juga nampaknya penting bagi merencana semula strategi pemasaran. Menurut pakar tersebut, pelan pemasaran perlu dirancang seawal kertas cadangan buku dihantar kepada penerbit. Bukan setakat buku, malah ada video promo di Youtube. Perlu ada pakej modul bengkel dan latihan di sekolah. Edaran ke sekolah-sekolah malah ada diskaun kepada pembeli bertuah.

Dengan penuh yakin, saya dengan ini melantik konsultan penjenamaan buku untuk menjenamakan semula buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid menjadi Tip Perkasa Kelab dan Persatruan Sekolah. Nantikan ya tuan-puan hasilnya.

Ruzain Syukur Mansor


INI BARU BERGURU NAMANYA

April 8, 2012

Hidup ini perlu berguru. Saya selalu berpesan kepada rakan dan teman “Jika mahu cepat berjaya, cari orang yang sudah berjaya, tiru jalan dan jejaknya ke puncak jaya”.

Itulah yang saya dan teman-teman Pengkarya Guru Majlis Buku Kebangsaan sedang usahakan. Bersama mentor-mentor penulisan yang hebat-hebat kami mengutip mutiara ilmu mengenai penulisan. Secara khususnya, terima kasih Puan Fatimah , mantan editor kanan Bahagian buku Kanak-kanak Dewan Bahasa Pustaka. Perwatakannya lembut dan mudah didekati. Tetapi awas. Katanya ” Editor ini boleh mencincang manuskrip penulis”

Untuk berjaya menjadi penulis hebat, bergurulah dengan editor yang hebat. Kerana editor memahami kehendak pasaran. Ilmu penerbitannya tinggi.Karya ditolak, diubah dan dicincang selumat-lumatnya itu perkara biasa bagi penulis muda. Jangan berputus asa, cuba baiki dan hantar sekali lagi sehingga editor berpuas hati.

Berbicara dengan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan tengahari tadi sangat memberikan inspirasi.

Kata beliau ” Perlu ada hubungan dua hala apabila mula menulis iaitu penulis dan pembaca. Pembaca adalah khalayak. Jika buku kanak-kanak, pembaca adalah pelajar di sekolah. jadi, perlu ada kesinambungan dalam melahirkan bakat penulis pelapis”

Malam sebelumnya beliau mengungkapkan kata-kata yang sangat indah “1 langkahan kecil bagi seorang kerdil bersamaan dengan 1 lompatan saujana gergasi”

Bermakna usaha yang kecil sebenarnya tetap memberi sumbangan. 1 buku yang dihasilkan oleh setiap guru yang menyertai Program Pembangunan Pengkarya Guru Majlis Buku Kebangsaan akan tetap menyumbang kepada pertambahan jumlah buku negara. Jumlah buku juga menjadi indikator pencapaian negara maju. Lantas sumbangan menghasilkan buku ini suatu yang sangat besar ertinya.

Ada 3 siri lagi yang perlu ditempuhi. Perjumpaan seterusnya awal Mei dengan pertembungan hebat pastinya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Moga kumpulan 100++ penulis tersebut akan kental semangatnya. Bayangkan ada penulis yang sanggup terbang daripada Sarawak dengan menggunakan DUIT POKET SENDIRI. Saya ulangi DENGAN DUIT POKET SENDIRI. Bukan calang-calang semangat yang ditunjukkan oleh mereka demi menyahut seruan menerbitkan buku untuk negara. Syabas dan moga bertemu di atas pentas pelancaran buku Bologna Itali nanti.

Ruzain Syukur Mansor
Peserta
Program Pengkarya Guru
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia