SEINDAH NAMAMU NURUL INSYIRAH (CATATAN BUAT ANAKANDA)

Image

Assalamualaikum anakanda Nurul Insyirah. Ini catatan pertama ayahanda bagi tahun 2014. Khusus ayahanda titipkan buat anakanda. Biarlah ia menjadi dokumen yang pertama anakanda baca setelah anakanda pintar mengenal huruf dan kata. Sekiranya ayahanda masih menghirup udara, ia menjadi pesanan, jika sudah tiada ia bersifat  wasiat buatmu.

Anakanda Insyirah, tujuh tahun lamanya ayahanda dan bonda menunggu kehadiranmu. Penuh sabar bondamu melayan segala pertanyaan sanak saudara dan teman akan kehadiranmu. Ayahandalah yang sentiasa memberikan semangat dan memujuk rasa gundah gulana bondamu. Justeru, 9 Jun 2013..kelahiranmu menjenguk udara dunia menghilangkan rasa perit bondamu melahirkanmu. Tahniah anakanda Insyirah. Inilah dunia. Anakandalah pewaris ayahanda dan bonda. Bakal kami wariskan anakanda dengan segala ilmu dan pedoman agama agar menjadi puteri solehah dan bakal mendoakan kami  di alam yang kekal abadi nanti.

Image

Tujuh tahun kami beraya sebelum kehadiranmu. 2013, kita bertiga anakanda. Walaupun anakanda hanya terlentuk manja ketiga mahu kami zahirkan kegembiraan di pagi Aidilfitri. Cukuplah Allah sebagai saksi bahawa ini antara nikmat-Nya yang wajib disyukuri. Lihatlah senyum di bibir bonda yang sudah hilang segala gundah gulananya.

Image

Biarlah dikata orang, ayahanda ini kurang waras hanya kerana memberikan buku bacaan kepada anaknya yang hanya berumur 3 bulan. Tetapi di dalam hati ayahanda bangga melihat anakanda sudi menikmati keenakan aroma buku. Orang kata melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, bacalah anakanda. Persiapan awal buat dirimu sebelum bergelar penulis. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu agar menjadi orang yang berguna. Berkawan rapatlah dengan buku agar terus membuka pintu ilmu.

Image

Anakanda Insyirah, teropong ayahandakah? Maafkan ayahanda, kerana sering tiada di rumah melihat dirimu membesar. Demi tugas pada agama, ayahanda bermusafir mencari rezeki dan pengalaman. Namun, dunia teknologi tetap mendekatkan kita. Demi Allah, tanggungjawab pada anakanda tidak akan ayahanda lupakan. Teroponglah sayang..di dalam hati ayahanda kan tetap terpahat akan dirimu. Doakan ayahanda agar tetap istiqamah berkhidmat buat memartabatkan agama.

Image

Senyum tawamu mengubat keletihan ayahanda dan bonda. Ketika sakit demammu, tercerna ilmu baru di minda. Keletahmu, keletah anak kecil ingin meneroka ilmu dan kemahiran baru. Lihatlah dunia sebagai bekalan untuk dibawa bertemu Allah nanti wahai anakanda Insyirah.

Image

Alangkah terkejutnya para teman sepenulisan, melihat usaha ayahanda membawamu menyertai bengkel penulisan. Alangkah bertuahnya anakanda apabila berpeluang untuk menyertai bengkel penulisan seawal usiamu 5 bulan. Ia langkah awal latihan melahirkan penulis hebat buat mewarisi bakat ayahanda. Biarlah anakanda tahu betapa seronoknya bergelar penulis.

Image

Walaupun pandangan anakanda kosong ketika itu, malah tidak faham langsung apa yang diperkatakan oleh penceramah, tapi biarlah sebagai pendedahan. Menulislah daripada hati nescaya impaknya meruntun jiwa. Menulislah untuk ummah agar tercerna tamadun hebat. Menulislah dengan ikhlas jangan minta dibalas.

Image

Tidurlah anakanda, walaupun ayahanda tahu, tidurmu mencari idea dan meluaskan horizon minda. Tidurlah tetapi jangan tertidur.

Image

Nurul Insyirah, anak sulung sifatnya tabah dan sanggup berkorban. Jadilah anak  yang solehah dan menggembirakan ayahanda dan bonda. Jadilah dirimu sendiri dipandu dengan iman dan taqwa. Pilihlah untuk menjadi apa agar di dalam hati tertanam kemas iman dan taqwa. Di hadapanmu laluan penuh berliku, tetapi ingatlah kita ada agama sebagai panduan. Mudah-mudahan dirimu berjaya menjadi mutiara, permata ayah dan bonda

 

Ayahandamu

Ruzain Syukur b Mansor

21 Jun 2013

dari Menara The Royale Bintang Seremban

 

Leave a comment