ALWAYS BE THERE- MAHER ZEIN

October 8, 2010

Ya Nabi Salam Alaika..

October 8, 2010

RESENSI BUKU KETIKA HATIKU INGIN BERHIJRAH KARYA USTAZ AZMI AHMAD

October 1, 2010

Ketika Hatiku Ingin Berhijrah
Karya Azmi Ahmad (2010) terbitan Must Read Sdn Bhd

Menatap kulit buku yang menarik ini tiba-tiba menyentuh hati. Malah melihat kepada nama penulis buku Ketika Hatiku Ingin Berhijrah mengingatkan saya kepada seseorang. Azmi Ahmad. Namanya bagai pernah tercatat di dalam sejarah hidup saya. Membaca profilnya jelas memberi jawapan. Ustaz Azmi Ahmad. Kini beliau pensyarah Bahasa Arab di Kolej Islam Darul Ridzuan dan pernah mengajar saya sewaktu di SMA Izzuddin Shah. Lantas buku ini saya hadamkan dalam tempoh sejam. Non-stop. Tidak puas rasanya membaca kupasan tentang tema hijrah yang dikarangnya. Kerinduan padanya mula dirasakan. InsyaAllah akan ketemu nanti ustaz.

Buku Ketika Hatiku Ingin Berhijrah diterbitkan oleh Mustread Sdn Bhd cetakan 2010. Kulitnya menunjukkan seorang anak muda yang mula menuju jalan hijrah mengubah diri.

Ustaz Azmi Ahmad yang saya kenali memang pencinta Bahasa Arab. Jika ada pelawat daripada timur tengah yang memberi tazkirah di surau kami SMA Izzuddin Shah, pasti beliaulah yang menterjemahnya. Malah, sesuailah dengan kecintaan dan kelayakannya sebagai di bidang penterjemahan.

Buku ini secara ringkas menyentuh aspek penting tentang hijrah. Ia menjawab persoalan mengapa manusia perlu berubah dan berhijrah. Kupasannya agak mudah difahami di suntik dengan ayat Al-Qur’an dan hadis. Persoalan hijrah dihubungkaitkan dengan aspek aidah, syariah, tauhid dan kehidupan sosial.

Pembaca akan diajak untuk berfikir tentang kehidupan ini. Malah bermuhasabah tentang diri, mengapa dan adakah ruang untuk mengubah diri. Lantas ia akan membuahkan suatu tindakan untuk membaiki diri ke suatu tahap yang lebih baik.

Apa yang jelas ia bagaikan ‘manual’ panduan untuk memulakan hijrah bagi yang ingin mengubah diri. Ataupun sebagai peringatan agar diri tidak lalai dengan kelekaan kehidupan dunia.

Suatu yang menariknya, membaca buku ini seolah-olah membawa kita membaca kitab-kitab lama yang menginspirasikan. Ini kerana ia turut dimuatkan dengan kata-kata pujangga arab serta kata-kata hikmah yang jarang dimuatkan dalam karya biasa. Pembawakannya luar biasa sekali.

Saya kongsikan sebahagiannya:

(1)Penyair arab bermadah:
Orang ramai tanpa pemimpin
Huru hara punah binasa
Tidak layak disebut pemimpin
Jika si jahil memegang kuasa

(2) Penyair arab bermadah
Setiap kamu pemimpin penguasa
Kami hanyalah rakyat biasa
Semua pasti bertemu tuhanNya
Segalanya nanti dihitung ditanya

(3) Kata penyair
Apabila kematian datang menerpa
mencengkam dengan kukunya
Ketika itu engkau dapati tangkal tiada aberguna lagi

(4)Imam Syafie berkata
“Barangsiapa yang terluput masa, tidak mengaji di kala muda, ucapkan takbir empat kali, kerana dia telah pun mati.

(5)Kata Ibn Abbas:
“Seseorang ahli ilmu lebih sukar disesatkan oleh syaitan berbanding dengan seribu ahli ibadah”

(6) Nabi SAW bersabda:
“Orang yang cerdik ialah mereka yang melakukan muhasabah terhadap dirinya sendiri beramal untuk bekalan selepas mati. dan orang yang lemah pula ialah orang yang memperturut hawa nafsu dan berangan-angan terhadap rahmat Allah
(Riwayat At-Tirmizi)

(7) seorang pujangga bermadah
Laungan azan bergema merata
Suara bilal entah ke mana
Menara tertegak di seluruh daerah
Masjid kekosongan ahli ibadah

(8) Kata penyair arab
Bilakah bangunan siap sepenuh
Engkau membina mereka meroboh
Binaan tiada tegak dan teguh
Jika dibina, kemudian diruntuh

(9) Imam Al-Sindi menghuraikan maksud hijrah:
“Maksud hijrah ialah menghampirkan diri kepada Allah. Ianya tidak akan terlaksana dengan sempurna tanpa meninggalkan dosa. Orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang melaksanakan tuntutan hijrah yang sebenar iaitu meninggalkan dosa.”

Banyak lagi petikan hadis , madah dan pujangga arab yang cukup menarik dimuatkan oleh Ustaz Azmi Ahmad dalam bukun Ketika Hatiku Ingin Berhijrah yang ditulisnya ini.

Jadi sila dapatkan di pasaran. Baru sahaja terbit. Bacalah ia kerana ini karya yang enak buat hati kita. Buat mencari idea mengubah diri. Terima kasih Al-Fadhil ustaz Azmi Ahmad. Moga ketemu lagi nanti

Ruzain Syukur Mansor
Anak didik kepada Ustaz Azmi Ahmad