GOLONGAN MUDA DAN MASJID.Pernah disiarkan di Majalah Millenia Muslim MMP Communication

SIRI TARBIAH DAN REMAJA

GENERASI MUDA DAN  MASJID

OLEH:RUZAIN SYUKUR B MANSOR

(B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM, KPLI j-QAF IPTEKNIK)

http://www.akademipenulisbebas.wordpress.com

 

Proses tarbiah golongan belia dan remaja di zaman yang penuh mencabar ini sepatutnya bermula di masjid .Sepatutnya proses tarbiah rohani golongan pelapis kepimpinan negara ini dilaksanakan dengan penuh bersistem dengan berlandaskan methodologi dakwah yang bersesuaian bagi menarik minat mereka untuk mengimarahkan masjid.Namun adakah masjid-masjid dan surau-surau komuniti kita dikunjungi oleh golongan belia dan remaja? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan golongan ini sedikit meminggirkan diri dari menjadikan surau dan masjid sebagai pusat kegiatan ibadah dan sosial.?

 

Trend ini sebenarnya tidak hanya boleh dilihat di kawasan bandar, tetapi fenomena ini semakin hari mula meresapi corak pemikiran golongan belia di kawasan luar dan pinggir bandar.Penulis sempat mengadakan temubual dengan masyarakat dan ahli qariah setempat di sekitar kawasan Tanjung Karang dan kawasan sekitarnya di dalam melihat isu ini termasuk persoalan mengapakah sesetengah golongan belia semakin menjauhkan diri untuk ke masjid dan surau.Kawasan kecil ini merupakan kawasan yang terletak di dalam daerah Kuala Selangor dengan dihuni masyarakat melayu dan popular dengan aktiviti pertanian tanaman padi.

 

Berdasarkan temubual penulis bersama En Adanan B Daud, seorang ahli qariah sebuah surau di kawasan Sungai Burong, kawasan perkampungan di antara Tanjung Karang dan Sekincan baru-baru ini memberikan sedikit idea kepada permasalahan ini.Beliau yang juga merupakan guru bimbingan dan kaunseling di sebuah sekolah di Tanjung Karang mengatakan trend penolakan sebahagian daripada golongan belia dan remaja terhadap masjid mungkin disebabkan tiga faktor utama.Pertama disebabkan faktor ibu bapa yang kurang memberikan galakan untuk anak-anak mereka bagi mengimarahkan surau dan masjid.Kedua disebabkan kelekaan golongan muda tersebut diasak dengan budaya hiburan di bantu dengan keseronokan teknologi maklumat seperti internet dan telekomunikasi.Faktor ketiga mungkin disebabkan kekurangan berkenaan dengan  ilmu fardhu ain dan solat dan akhirnya menyebabkan kelompok ini berasa segan untuk ke masjid.Faktor keempat beliau menyentuh tentang kemungkinan gaya pentadbiran masjid yang tidak menitik beratkan isu bagaimana untuk menarik minat golongan muda untuk ke masjid.

 

Faktor utama diulas dengan keadaan dunia yang begitu menitik beratkan kepada keperluan material menyebabkan sesetengah ibu-bapa lupa untuk memberikan penekanan kepada usaha menggalakkan anak-anak bagi mengimarahkan masjid.Ini termasuk faktor  ibu-bapa yang kurang menunjukkan contoh terlebih dahulu dalam menjadi ahli qariah masjid dan surau yang aktif mengimarahkannya.Anak-anak muda ini sebenarnya akan lebih bersemangat untuk ke surau andainya ayahnya terlebih dahulu seorang ahli yang aktif ke masjid dan surau.

 

Faktor kedua yang tidak kurang pentingnya mengapa anak-anak muda di sesetengah kawasan kurang mengimarahkan surau dan masjid kerana kelekaan mereka sendiri dikaburi dengan budaya bersosial dan berhibur.Sesetengahnya asyik bersembang dengan rakan-rakan dan kurang mengendahkan panggilan azan untuk ke surau.Ini termasuk unsur teknologi maklumat seperti kewujudan pusat siber kafe berinternet di pinggir desa dan pekan berdekatan yang semakin menarik minat golongan muda bermain permainan on-line  sehingga leka dari menjalankan tugas mereka sebagai ahli surau dan masjid yang aktif.Apa yang membimbangkan ialah budaya ini semakin mengasak golongan muda di kawasan luar bandar yang kebetulan hampir dengan bandar dan pinggirannya.

 

Penulis sempat menemubual segolongan remaja di kawasan setempat dan bertanyakan mengapakah golongan muda sebahagiannya kurang mengunjungi masjid?jawapannya mudah mereka lebih teruja dengan hingar bingar di pusat siber berinternet yang kebetulan berhampiran dengan masjid tersebut.Ini memungkinkan penulis terfikir mungkin diperlukan akta yang memastikan tiada pusat siber berinternet boleh dibenarkan beroperasi di dalam jarak satu kilometer dari masjid dan surau bagi mengelakkan golongan muda lebih berkunjung ke  pusat hiburan tersebut dari mengunjungi rumah Allah.

 

Faktor ketiga yang disentuh ialah faktor kekurangan dan kecetekan ilmu di kalangan golongan remaja dan belia .Ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan solat berjemaah umpamanya memerlukan latihan amali yang nyata boleh dipertingkatkan penguasaannya dengan bersolat berjemaah di masjid dan surau.Seandainya kelompok ini meminggirkan diri daripada masjid dan surau, ilmu-ilmu yang tidak diamalkan tersebut akhirnya semakin hilang daripada ingatan dan timbullah perasaan malu untuk solat berjemaah .Perkara ini diakui oleh Ustaz Mohd Nor, seorang pendakwah dari Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor yang ditemui baru-baru ini.Beliau berkongsi kerisauan dengan penulis apabila melihat  ramai di kalangan bakal pengantin lelaki menunjukkan ketidaksediaan mereka dari sudut ilmu-ilmu fardhu ain ketika menghadiri kursus pra perkahwinan anjurannya.Ini diakui melalui sesi soal jawab fardhu ain tidak rasmi ketika kursus dijalankan.

 

Selain itu, golongan belia dan remaja juga dilihat semakin menjauhi masjid dan surau kerana pihak jawatankuasanya yang belum bersedia melakukan anjakan paradigma .Ini termasuk kurangnya usaha menarik minat golongan belia ke masjid.Pihak Jawatankuasa Belia masjid dan surau harus lebih terbuka melalui kepelbagaian aktiviti dakwah kontemporari.Rungutan diutarakan kepada penulis oleh Ustaz Abdul Rashid b Samad, seorang guru agama muda di daerah Ijok yang mengatakan adakalanya jawatankuasa masjid masih terikat dengan gaya pengurusan lama dan kurang menerima idea baru yang dilontarkan generasi baru walaupun ianya tidak bersalahan dengan methodologi dakwah.Usaha Masjid Ar-Rahmah di Seksyen 8, Shah Alam baru-baru ini contohnya  harus dipuji.Jawatankuasa belianya menganjurkan aktiviti luar bersama belia setempat melibatkan aktiviti ’paint ball’ dan permainan ekstrem di Pusat Ekstrem Seksyen 13, Shah Alam.Aktiviti sebegini merupakan satu bentuk program yang benar-benar menarik minat belia dan merupakan ruang-ruang dakwah yang boleh diisi dengan pengisian rohani disamping beriadhah.

 

PENYELESAIAN

 

Allah berfirman tentang kepentingan menyuruh kepada kebajikan sepertimana ayat di bawah:

 

”Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

 

Surah An nahl:ayat 90

 

Ayat di atas menunjukkan perintah Allah untuk menyuruh manusia kepada kebajikan dan larangan Allah kepada perkara kejahatan.Maka kita boleh mengambil pengajaran bahawa ibu-bapa juga harus mengambil tanggung jawab untuk memberi galakan kepada anak-anak belia mereka untuk mengimarahkan surau dan masjid di dalam erti kata lain menggalakkan amalan solat berjamaah di rumah Allah .Mereka harus terlebih dahulu menjadi contoh dan tauladan dengan menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan.

 

Namun demikian usaha dakwah ini bukan hanya terletak di tangan ibu-bapa sahaja.Malah ianya patut dikongsi dengan ahli masyarakat yang lain.Para mahasiswa Pengajian Islam di Universiti awam misalnya sepatutnya diberi peluang untuk menjalani latihan praktikal dakwah dengan melibatkan mereka di dalam pengurusan masjid dan dakwah belia.Ini kerana inilah medan dakwah sebenar yang akan mereka lalui selepas menamatkan pelajaran di menara gading nanti.Penulis teringat kepada pengalaman rakan-rakan yang pernah menjalani latihan dakwah di Penjara Sungai Buloh kepada banduan dan tahanan sewaktu mereka menuntut di Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) suatu ketika dahulu.Pendedahan seperti ini akan menyediakan mereka apabila berdepan dengan usaha dakwah di dalam masyarakat yang pelbagai.

 

Selain itu, guru pelatih di Institut Perguruan terutamanya bakal guru Pendidikan Islam juga patut di beri beberapa jam kredit latihan praktikum bersama jawatankuasa masjid dan surau di dalam usaha menyediakan mereka berhadapan dengan usaha dakwah .Biarlah kelompok ini berhadapan dengan golongan belia memandangkan peringkat umur pun tidak jauh beza .Diharapkan budaya belia yang terlalu suka berhibur dapat diseimbangkan dengan perbincangan ilmiah dan perkongsian menarik dibimbing oleh  para pendakwah muda profesional ini lantas kembali memeriah dan memakmurkan masjid seperti di zaman Rasulullah SAW .

 

Sementara itu, kekurangan ilmu fardhu ain di kalangan belia dan remaja harus diberi perhatian khusus. Allah berfirman :

 

”Tetapi orang-orang yang mendalam ilmunya di antara mereka dan orang-orang mukmin, mereka beriman kepada apa yang telah diturunkan kepadamu (Al Quran), dan apa yang telah diturunkan sebelummu dan orang-orang yang mendirikan shalat, menunaikan zakat, dan yang beriman kepada Allah dan hari kemudian. Orang-orang itulah yang akan Kami berikan kepada mereka pahala yang besar.”

Surah An-Nisa’ :ayat 162

Ayat tersebut menjelaskan kepada kepada kita tentang keadaan orang yang berilmu dan beriman yang kelak akan dikurniakan ganjaran yang besar.Maka bagi memenuhi keperluan ilmu di kalangan belia, sepatutnya pihak pengurusan masjid mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas bimbingan khusus bagi golongan ini dengan bimbingan guru-guru agama yang memahami keperluan kelompok ini.

 

Dari bentuk pengisian ilmu yang sesuai dengan belia dan remaja, dicadangkan dilaksanakan pengisian mingguan secara ringkas tetapi berterusan di masjid.Cukup hanya pengisian ringkas selama sejam bagi satu sesi dengan pengisian merangkumi ibadah, motivasi, akademik, pembangunan diri melalui slot Latihan Dalam Kumpulan, tayangan multimedia mahupun ceramah interaktif.

 

Bagi tujuan perhubungan , menarik juga diwujudkan portal interaktif serta blog yang akan menarik minat remaja dan belia untuk terus berhubung melalui internet.Ini bagi mengekalkan ukhuwah yang terbina walaupun dipisahkan oleh jarak serta ruang untuk mereka menyampaikan cadangan .

 

Paling penting bagi mewujudkan pengurusan masjid mesra belia , maka sudah pastilah pihak pengurusan masjid dan surau harus melakukan anjakan paradigma dan minda serta membuka ruang perbincangan untuk menjadikan masjid sebagai sebahagian daripada pusat latihan dan tarbiah remaja serta belia.Mereka harus memahami keperluan untuk mewujudkan ruang yang lebih terbuka khususnya dalam menyediakan pengisian untuk anak-anak muda di masjid.Maka sudah pasti keterbukaan ini memerlukan lebih ramai lagi ahli jawatankuasa masjid di lantik dari kalangan pemuda dan remaja bagi memudahkan penyaluran idea dan maklumat.

 

Ini selaras dengan firman Allah berbunyi:

 

”Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(At-Taubah:18)

 

Kesediaan dan keterbukaan ini seharusnya disambut dengan pemerkasaan  jawatankuasa belia dan remaja sebagai sebuah jawatankuasa yang mampu merencana dan mencadangkan idea untuk pembangunan modal insan kelompok bakal pemimpin negara ini.

 

Baru-baru ini sekolah tempat penulis bertugas menerima kunjungan dari Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor diketuai oleh Ketua Jabatan Dakwahnya Ustaz Ashraf B Suarin yang melaksanakan program motivasi dan muhasabah diri kepada para pelajar.Pendekatan ceramah multimedia dan interaktif di susun dengan kesan bunyi yang hebat  pembawaan imam muda Masjid Daerah Sultan Ibrahim Kuala Selangor  ini menimbulkan kesan dan kesedaran yang tinggi di kalangan peserta program.Pendekatan sebeginilah sebenarnya dituntut di dalam usaha dakwah belia dan remaja kontemporari di mana segala teknologi yang bersesuaian dengan diri remaja dan belia diguna pakai untuk usaha dakwah.

 

Jelasnya hubungkait di antara usaha dakwah yang berkesan dan menyeluruh dengan tanggungjawab ahli masyarakat secara total merupakan kunci untuk menarik minat golongan muda memakmurkan masjid.Apa yang dibincangkan melalui penulisan ringkas merupakan lontaran idea yang perlu disambut oleh pihak pemerintah serta pendakwah bersama dengan segenap ahli masyarakat bagi mengelakkan ianya menjadi omongan kosong semata-mata.Segala usaha sepatutnya tidak hanya bersifat retorik tetapi memerlukan strategi dan pelaksanaan yang efektif.

 

* Ruzain Syukur B Mansor merupakan graduan Pengajian Ilmu Wahyu , UIAM dan terlibat sebagai aktivis  dakwah remaja dan belia , kini bertugas sebagai Guru Siswazah Pendidikan Islam di Tanjung Karang Selangor

Sebarang perkongsian dan maklumbalas  boleh dihantar ke  ruzainsyukur_mansor@yahoo.com atau layari blog peribadi di     https://akademipenulisbebas.wordpress.com

 

Leave a comment