BRANDING DALAM PENULISAN

April 8, 2012

Dalam sibuk berbengkel, saya sempat dikunjungi oleh seorang pakar branding buku mengenai penjenamaan buku pertama saya itu. Apabila difikirkan ia penting untuk memberikan nafas baru kepada buku tersebut. Pasarannya akan lebih luas. malah, ini peluang untuk menambah idea-idea baru kepada buku sedia ada.

Jadi, ia akan berubah 360 darjah bagi memberikan nafas baru dengan sasaran pembaca yang lebih luas. Daripada pembaca di kalangan AJK Masjid kini sesuai diaplikasi oleh semua guru. Ia suatu panduan buat guru memperkasakan kelab dan persatuan di sekolah.

Penjenamaan buku ini juga nampaknya penting bagi merencana semula strategi pemasaran. Menurut pakar tersebut, pelan pemasaran perlu dirancang seawal kertas cadangan buku dihantar kepada penerbit. Bukan setakat buku, malah ada video promo di Youtube. Perlu ada pakej modul bengkel dan latihan di sekolah. Edaran ke sekolah-sekolah malah ada diskaun kepada pembeli bertuah.

Dengan penuh yakin, saya dengan ini melantik konsultan penjenamaan buku untuk menjenamakan semula buku Tip Urus Kelab Remaja Masjid menjadi Tip Perkasa Kelab dan Persatruan Sekolah. Nantikan ya tuan-puan hasilnya.

Ruzain Syukur Mansor


INI BARU BERGURU NAMANYA

April 8, 2012

Hidup ini perlu berguru. Saya selalu berpesan kepada rakan dan teman “Jika mahu cepat berjaya, cari orang yang sudah berjaya, tiru jalan dan jejaknya ke puncak jaya”.

Itulah yang saya dan teman-teman Pengkarya Guru Majlis Buku Kebangsaan sedang usahakan. Bersama mentor-mentor penulisan yang hebat-hebat kami mengutip mutiara ilmu mengenai penulisan. Secara khususnya, terima kasih Puan Fatimah , mantan editor kanan Bahagian buku Kanak-kanak Dewan Bahasa Pustaka. Perwatakannya lembut dan mudah didekati. Tetapi awas. Katanya ” Editor ini boleh mencincang manuskrip penulis”

Untuk berjaya menjadi penulis hebat, bergurulah dengan editor yang hebat. Kerana editor memahami kehendak pasaran. Ilmu penerbitannya tinggi.Karya ditolak, diubah dan dicincang selumat-lumatnya itu perkara biasa bagi penulis muda. Jangan berputus asa, cuba baiki dan hantar sekali lagi sehingga editor berpuas hati.

Berbicara dengan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan tengahari tadi sangat memberikan inspirasi.

Kata beliau ” Perlu ada hubungan dua hala apabila mula menulis iaitu penulis dan pembaca. Pembaca adalah khalayak. Jika buku kanak-kanak, pembaca adalah pelajar di sekolah. jadi, perlu ada kesinambungan dalam melahirkan bakat penulis pelapis”

Malam sebelumnya beliau mengungkapkan kata-kata yang sangat indah “1 langkahan kecil bagi seorang kerdil bersamaan dengan 1 lompatan saujana gergasi”

Bermakna usaha yang kecil sebenarnya tetap memberi sumbangan. 1 buku yang dihasilkan oleh setiap guru yang menyertai Program Pembangunan Pengkarya Guru Majlis Buku Kebangsaan akan tetap menyumbang kepada pertambahan jumlah buku negara. Jumlah buku juga menjadi indikator pencapaian negara maju. Lantas sumbangan menghasilkan buku ini suatu yang sangat besar ertinya.

Ada 3 siri lagi yang perlu ditempuhi. Perjumpaan seterusnya awal Mei dengan pertembungan hebat pastinya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Moga kumpulan 100++ penulis tersebut akan kental semangatnya. Bayangkan ada penulis yang sanggup terbang daripada Sarawak dengan menggunakan DUIT POKET SENDIRI. Saya ulangi DENGAN DUIT POKET SENDIRI. Bukan calang-calang semangat yang ditunjukkan oleh mereka demi menyahut seruan menerbitkan buku untuk negara. Syabas dan moga bertemu di atas pentas pelancaran buku Bologna Itali nanti.

Ruzain Syukur Mansor
Peserta
Program Pengkarya Guru
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia