MEMBINA BLURB..TIDAK SEMUDAH MEMBACANYA?

“Blurb..susah sikit ustaz, biasanya, saya tulis beberapa contoh dan editor akan pilih”, itu sms daripada seorang rakan penulis apabila saya memohon sedikit tip menulis blurb buku untuk buku terbaru saya.

Memang diakui sedikit sukar untuk menyediakan sedikit ‘ringkasan buku’ yang biasa kita baca pada kulit belakang sesebuah buku. Ianya menjadi perkara yang amat penting untuk sesebuah buku. Untuk itu jugalah saya mengambil masa yang panjang untuk memikirkan blurb buku terbaru Dakwah dan Teknologi Maklumat sepertimana diminta editor JAKIM baru-baru ini.

Apa itu blurb?

Menurut Wikipedia “A blurb is a short summary or some words of praise accompanying a creative work, without giving away any details that is usually referring to the words on the back of the book”.

Bahasa mudahnya, sedikit rumusan keseluruhan buku yang ditulis pada kulit belakang sesebuah buku. Dengan mudahnya ia mungkin sejumlah 120 patah perkataan tetapi menggambarkan keseluruhan buku secara ringkas. Tidak juga rumusan, sebab mana mungkin dengan 150 patah perkataan menggambar keseluruhan 150 mukasurat buku tersebut.

Ataupun, blurb ini adalah konotosasi komen yang akan dibaca oleh si ‘pembeli buku’ sebelum mengambil keputusan untuk membeli buku tersebut.

Blurb itu sendiri membawa makna yang pelbagai. Itulah sebabnya kita lihat pelbagai bentuk blurb ditulis oleh penulis. Ada penulis meletakkan beberapa komen beberapa tokoh yang telah membaca manuskrip buku tersebut sebagai testimoni.

Apapun, saya kongsikan beberapa idea untuk menghasilkan blurb yang baik (dibaca sebagai idea):

SATU
Sediakan ‘daya penarik’ dan ceritakan mengapakah pembaca perlu membaca buku tersebut

DUA
Sediakan petikan pendek mungkin tidak melebihi 200 atau terpulang kepada penulis. Ingat, blurb ini sebagai suatu petikan untuk mewakili keseluruhan buku

TIGA
Tuliskan perkara yang penting sahaja. Pastikan tidak panjang meleret. Biar padat, menarik dan hebat!

EMPAT
Mungkin dimasukkan kata-kata beberapa pembaca manuskrip tersebut. Tetapi ingat, jangan jadi hipokrit. Memberikan ulasan yang baik-baik, tetapi bukunya tidaklah sepertimana komen yang diberi.

LIMA
Pilihan: Boleh dimasukkan sedikit biodata ringkas. Penting juga kerana percayalah, kredibiliti penulis juga antara perkara yang dinilai oleh seorang pembaca sebelum membeli sesebuah buku.

Apapun, berbincangkah dengan pihak penerbit, tentang bagaimanakah pilihan menghasilkan blurb yang terbaik. Lain penerbit mungkin lain gaya penulisan blurbnya.

RUZAIN SYUKUR MANSOR

Leave a comment